SEARCH

#SERONOKNYAJEJU 10 Lokasi ‘Rare’ Di Pulau Jeju Yang Ramai Tidak Tahu

#SERONOKNYAJEJU  10 Lokasi ‘Rare’ Di Pulau Jeju Yang Ramai Tidak Tahu

Jeju adalah pulau yang penuh dengan keajaiban. Pulau terbesar di Korea Selatan ini menawarkan 1001 pengalaman, baik dari segi makanan, budaya, lokasi bersejarah, bentukan semulajadi atau pemandangan yang indah seluas saujana mata memandang.

Gunung Halla (Hallasan Mountain) menjulang tinggi di tengah-tengah jantung Pulau Jeju. Ia gunung yang tertinggi di Korea dan mencecah ketinggian 1.950 meter di atas paras laut. Pulau Jeju terbentuk dua juta tahun lalu melalui letusan gunung berapi bawah laut. Jadi tidak hairanlah pulau ini dipenuhi dengan batu basal atau batu hitam gunung berapi berongga yang kelihatan di hampir setiap pelusuk pulau volkanik ini.

Pulau Jeju juga sangat terkenal dengan julukan nama “Samda-do” yang bermaksud “Pulau Yang Dilimpahi Tiga Perkara” yakni batu, angin dan dewi. ‘Penjaga’ pulau ini pula dikenali sebagai Dol Hareubang atau ‘Datuk Batu’ oleh penduduk tempatan. Dol Hareubang sangat dihormati dan diletakkan di hampir setiap premis dan kediaman. Dalam catatan sejarah, pulau yang terletak di Selat Korea ini pernah dikenali sebagai Juho, Doi, Tangna dan Tamra.

Shalma dan Adriana mengambil gambar kenangan bersama Dol Hareubang yang terdapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju

 

Selain Gunung Halla, sebut sahaja lokasi-lokasi menarik lain di Pulau Jeju seperti Jeongbang Waterfalls, Yongmeori Coast, Camelia Hill, Aqua Planet, PLAY KPOP, Jeju Glass Castle, Jeju Shinhwa World atau Mônsant Cafe yang pernah dimiliki oleh G-Dragon daripada kumpulan Big Bang, tentu sahaja ramai yang sudah mengetahui.

Sebenarnya Pulau Jeju tidak hanya terkenal sebagai destinasi percutian bulan madu, tetapi pulau yang sebesar 1,849km2 (dua kali ganda besar keluasan Singapura) ini juga dipenuhi dengan pelbagai aktiviti lasak dan mesra anak muda yang boleh kamu cuba dan lakukan bersama rakan taulan.

Maka dengan itu, AirAsia dan Jeju Tourism Organization (JTO) mengundang STAIL.MY ke Pulau Jeju dan menerbangkan dua selebriti bersahabat, Shalma Ainaa dan Adriana Adnan untuk mengeksplorasi Pulau Jeju dan menjelajahi lokasi-lokasi menarik yang mungkin jarang diketahui tetapi menawarkan pengalaman yang cukup fun dan menyeronokkan!

TULISAN : ZAIDI CHE PENYELARAS : AMIRA AZMAN
ARAHAN SENI : ASHURA HAKIM
SOLEKAN & RAMBUT : FENDI SANI
VIDEO : OCTOPOST STUDIO
PENERBANGAN SELESA BERMULA DENGAN AIRASIA  ‘QUIET ZONE’

Shhhh… memperkenalkan produk daripada AirAsia iaitu Quiet Zone.

AirAsia  menawarkan ruangan khas yang dipanggil ‘Quiet Zone’. Ia adalah ‘ruang senyap’ eksklusif yang terletak di bahagian hadapan kerusi barisan 7 sehingga 14.

‘Quiet Zone’ hanya boleh ditempah oleh penumpang berusia 10 tahun dan ke atas sahaja. Ia ruang yang mengurangkan sebanyak mungkin bunyi supaya menjamin keselesaan sepanjang penerbangan kamu.

Shalma dan Adriana sangat selesa di ruang ‘Quiet Zone’. Mereka berdua kelihatan kurang terganggu dan senang berbual sesama sendiri. Lampu boleh dimalapkan mengikut kesesuaian suasana. Shalma dan Adriana sempat mengambil peluang ini untuk berehat dan lena sebentar, menyimpan tenaga bagi menghadapi hari-hari yang penuh mengujakan di Pulau Jeju!

Oleh kerana ‘Quiet Zone’ terletak di kabin bahagian hadapan, ia juga memudahkan kamu sepanjang sesi keluar dan masuk pesawat dengan cepat dan selesa serta penyediaan hidangan di atas penerbangan dengan lebih pantas. AirAsia memahami keperluan dan kehendak penumpang, terutama pengembara seperti kamu!

Pratempah Quiet Zone sekarang!

 

#SERONOKNYAJEJU CABAR DIRI

 

1 – PENGALAMAN MENYELAM BERSAMA HAENYEO

Haenyeo atau ‘wanita laut’ adalah penyelam dari kalangan wanita yang sangat terkenal di Pulau Jeju sejak abad ke-18 lagi. Berkat keazaman dan semangat berdikari yang tinggi, Haenyeo mewakili sistem separa matriarki (sistem masyarakat yang kaum wanitanya memegang sebahagian besar kuasa dalam keluarga) yang wujud di pulau ini. Haenyeo juga tersenarai dalam daftar Intangible Heritage oleh UNESCO.

Haenyeo mampu menyelam sedalam 20 meter di bawah paras laut sambil menahan nafas lebih dari 2 minit. Mereka tidak memakai sebarang bantuan pernafasan seperti tangki gas dan hanya menggunakan kelengkapan asas menyelam seperti gogal dan baju renang sahaja. Ini peluang kamu untuk merasai sendiri pengalaman berenang dan menyelam bersama ‘wanita-wanita laut’ ini, sambil memetik rumpai laut di Hansupul Diving School.

 

2 – SESI MENUNGGANG KUDA BERLATARKAN SEONGSAN ILCHULBONG YANG IKONIK

Pulau Jeju juga terkenal sebagai pulau yang penuh dengan taman menunggang kuda (horse riding park). Selama berkurun-kurun, penduduk Jeju memelihara  kuda, seterusnya mengeksportnya ke kawasan-kawasan lain di Korea untuk tujuan peperangan atau pertanian.

Ada pepatah purba Korea yang mengatakan, “Hantar manusia ke Hanyang (nama lama Seoul) dan hantar pula kuda ke Pulau Jeju”. Kamu boleh melihat variasi baka kuda di Pulau Jeju.

Sebenarnya terdapat lebih daripada lima taman menunggang kuda di seluruh Pulau Jeju, tetapi kami menyarankan Horse Riding Park yang berdekatan dengan Pantai Gwangchigi (Gwangchigi Beach).

Taman kuda ini amat terkenal kerana kamu boleh menunggang kuda (dengan bantuan pengiring) sambil menikmati pemandangan yang menakjubkan. Lihat sahaja panorama mentari terbenam sambil berlatarkan rebung Ilchulbong yang ikonik ini. Tiada galang ganti.

 

3 – berguling riang di JEJU BIG BALL LAND

Buat yang suka mencabar adrenalina, Jeju Big Ball Land adalah lokasi yang sesuai buat kamu! Ia adalah yang pertama di Asia dengan trek bola zorb yang terpanjang di dunia. Bayangkan kamu dan teman berada di dalam bola zorb ini sambil ia bergolek menuruni bukit sejauh 300 meter? Bayangkan keseronokannya!

Bola zorb ini berukuran 3.2 meter dengan ruang dalaman sebesar 1.8 meter. Kamu akan dibekalkan dengan helmet, jaket dan kamera GoPro (yang dilekatkan di atas helmet) bagi merakam momen-momen ‘jeritan gembira’ kamu sepanjang menuruni bukit di kelajuan 40-50km/j. Jangan risau, kedua-dua kamu akan diikat terlebih dahulu agar selamat!

 

4 – MELAYAR DI PANTAI SHINYANG

Pulau Jeju adalah pulau yang amat sinonim dengan elemen angin. Alang-alang kamu sudah menjejaki pulau ini, apa kata kamu mengambil kesempatan tersebut untuk ‘melayar angin’ (windsurfing). Seperti kamu menari dengan jiwa pulau ini, Pantai Shinyang (Shinyang Beach) menyediakan perkhidmatan layar angin atau windsurfing yang lengkap dengan tenaga pengajar dan sedia mengajar kamu tentang cara-cara asas mengendalikan papan selayar angin dengan pantas dan selamat.

 

#SERONOKNYAJEJU LIBUR

 

5 – MEMBELI-BELAH DI NUWEMARU STREET

Lokasi membeli-belah ini bukanlah suatu lokasi yang baru di Jeju. Namun Jalan Nuwemaru atau Nuwemaru Street ini baru sahaja dihembus nafas baharu pada April tahun lalu.

Dahulunya dikenali sebagai Baojian Street dan Rodeo Street, nama baharunya ini mendapat ilham dari topografi semulajadinya yang berbukit dan kejiranan Sin Jeju yang berselirat bak kepompong ulat sutera. Ia simbolik kepada tuah dan kekayaan.

Nuwemaru Street adalah syurga membeli-belah, terutama bagi golongan milenial kerana terdapat banyak jenama fesyen seperti FILA, ADIDAS, CHAMPION, PUMA, REEBOK dan banyak lagi.

Saya jamin kamu bakal rambang mata melewati Nuwemaru Street yang khusus untuk pejalan kaki ini. Selain itu, jalan ini juga turut dipenuhi dengan restoran, gedung pakaian, kedai serbaneka dan cenderahati.

 

6 – RIADAH DI PANTAI GIMNYEONG SEONSEGI

Pantai Gimnyeong Seonsegi (Gimnyeong Seonsegi Beach) ialah pantai yang sering kali muncul di K-drama dan muzik video K-pop kerana air lautnya yang sangat berwarna biru.

Semua pemandangan pesisir pantai di Pulau Jeju unik tetapi Pantai Gimnyeong ada keistimewaannya yang tersendiri. Ia pantai yang sangat bersih sambil berlatarbelakangkan kincir angin gergasi yang sesuai untuk sesi OOTD kamu! Ia adalah kawasan wajib untuk sebarang aktiviti fotografi dan sesi swafoto.

Berdekatan dengan pantai ini, kamu juga boleh mendapatkan perkhidmatan kereta sewa. Memandulah  dengan bebas di jalan pesisir pantai Pulau Jeju yang damai dan sentosa, sambil bayu laut membelah rambutmu. Istimewanya, kamu juga berpeluang memandu kereta sewa elektrik tanpa mencemarkan udara.

 

7 – LEKA BERMAIN ‘BRICKS’ DI BRICK CAMPUS

BRICK CAMPUS menyampaikan perkhabaran gembira.

Segalanya tentang ‘BRICK’.

Di bawah moto “Semua Orang Adalah Seorang Artis”, BRICK CAMPUS adalah satu-satunya tempat di Korea, di mana kamu boleh pelajari tentang karya seni dari artisan-artisan bricks terbaik dari seluruh dunia.

Keseluruhan kampus bata unik ini dibina menggunakan 2.8 juta bricks. Lebih 40 seniman dan artisan dari Korea Selatan dan antarabangsa berkumpul tenaga dan kreativiti masing-masing bagi membina BRICK CAMPUS. Bayangkan dari sekecil-kecil bata, sehingga berskala besar – tenaga, masa dan keringat dicurahkan untuk projek usahasama ini.

Dunia seni bata yang mengkhayalkan itu akan diterjemah melalui diorama, bangunan dan seni bina hebat, watak-watak adiwira terkenal, budaya pop, animasi, robot dan kereta bricks yang boleh kamu pandu.

Pulau Jeju mengundang kamu meneroka imaginasi tanpa batasan sebagai mahasiswa baru di BRICK CAMPUS!

 

8 – SANGHYOWON BOTANICAL GARDEn yang permai

Sanghyowon Botanical Garden meliputi lebih 260,000 meter persegi dan terletak di kaki bukit Gunung Halla serta berhampiran Laut Seogwipo di bahagian selatan. Mungkin khazanah Pulau Jeju yang terbesar adalah kekayaan hasil bumi dan floranya.

Terdapat ribuan spesis flora asli dari Pulau Jeju seperti Anggerik Hallan (Smoothlip Cymbidium) dan Anggerik Saeuran (Calanthe Discolor), juga herba, pohon-pohon botanikal, pokok-pokok yang berusia lebih 100 tahun dan bunga-bunga yang menghiasi taman botani paling menyeluruh di Asia Timur ini.

 

9 – ‘SESAT’ DALAM KEINDAHAN GUNUNG SONGAKSAN

Gunung Songaksan (Songaksan Mountain) juga dikenali sebagai Gunung 99 Puncak kerana 99 puncak kecilnya. Perjalanan pesisir pantai dari Sanbanggulsa Temple di wilayah Jeju Selatan ke kawasan pergunungan ini sangat terkenal dengan pemandangan Lautan Pasifik yang terbentang luas.

Walaupun Gunung Songaksan tidak sebesar Gunung Halla, pemandangan dari puncak Songaksan sangat indah. Dari puncak, kamu dapat melihat pulau-pulau berdekatan seperti Paulau Marado, Pulau Gapado dan Pulau Hyeongjeseom serta pemandangan Gunung Halla yang seakan menjulang dari Lautan Pasifik.

Puncak utama berada 104 meter di atas paras laut. Di bahagian barat laut puncak terletak padang rumput luas dengan beberapa puncak kecil. Terdapat kawah berkeluasan kira-kira 500 meter dan 80 meter dalam, lengkap dengan abu volkanik kehitaman yang masih kelihatan di dalamnya.

Melihat garis pantai yang bergerigi, kamu dapat melihat gua-gua buatan manusia yang dibina semasa penjajahan Jepun. Pantai berhampiran Gunung Songaksan ini adalah kawasan perikanan yang terkenal. Terdapat kompleks komersial di kawasan masuk pergunungan ini untuk kamu membeli snek atau minuman.

 

10 – KHAYAL melihat SENI CAHAYA yang mempersona DI LIGHT ART FESTA

Pesta cahaya bermula saat malam menjelma.

Tarikan utama di Light Art Festa (LAF) ini adalah ‘Rumah Kaca’ karya artisan asal British, Bruce Munro. Ia mendapat inspirasi daripada batuan volkanik dan kawah gunung Pulau Jeju.

Sebagai tambahan, terdapat banyak stesen dan pameran karya-karya lampu lain oleh artisan-artisan dari seluruh dunia seperti Jen Lewin, Tom Fruin, Jason Krugman, Jean Pigozzi dan Byungchan Lee, di samping semua.

Kawasan LAF ini sedikit dingin kerana lampu hanya dibuka pada waktu malam. Sedikit tip untuk kamu, pastikan kamu memakai pakaian tebal jika berkunjung di musim dingin.

Kamu juga boleh berkunjung ke Cavern Cafe yang unik kerana ia dibina di kawasan bawah tanah LAF dan dipenuhi patung-patung eksentrik dan maskot yang comel. Terasa seperti memasuki kapal angkasa. Tarikan lain yang terdapat di sini selain pameran seni lampu adalah Terapi Mandian Kaki.

 TAHUKAH KAMU?
AIRASIA ADALAH SATU-SATUNYA PENERBANGAN YANG MENAWARKAN PERJALANAN LANGSUNG KE PULAU JEJU DARI KUALA LUMPUR TANPA PERLU MENUKAR PESAWAT?
SEKARANG KAMU TAHU!
NIKMATI TAMBANG RENDAH & PENERBANGAN TERUS KE PULAU JEJU BERSAMA AIRASIA 🥰

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE