SEARCH

#SeronoknyaJeju 10 Lokasi ‘Tersembunyi’ di Pulau Jeju Yang Unik & Tersendiri

#SeronoknyaJeju 10 Lokasi ‘Tersembunyi’ di Pulau Jeju Yang Unik & Tersendiri

Apabila memikirkan Pulau Jeju, ramai antara kita berfikir tentang perkara-perkara biasa yang dilakukan seperti mendaki Gunung Halla, melihat pemandangan matahari terbenam di tepi kawah Seongsan Ilchulbong, melawat taman bunga di Camellia Hill atau yang paling popular dan wajib dilakukan jika kamu ke Pulau Jeju, memetik ‘Hallabong’ (limau khas Jeju) di ladang-ladang limau yang berselerakan di seluruh pulau terbesar di Korea Selatan ini.

Berlalu sudah hari-hari Pulau Jeju dikenali sebegitu.

Kini Pulau Jeju bukan hanya sekadar pulau percutian mesra keluarga, mahupun pulau yang hanya terkenal sebagai lokasi percutian bulan madu. Pulau volkanik yang terletak di Selat Korea ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk dieksplorasi generasi muda. Pulau Jeju menjadi lokasi wajib dikunjungi masa kini.

Pulau Jeju semakin sarat dengan sentuhan budaya pop yang moden, dimadukan sempurna bersama landskap semulajadi yang indah dan akar budaya yang unik. Sama ada kamu pencinta budaya, pengembara yang ‘dahaga’ atau ‘pemburu’ foto-foto Instagram, kembara di Pulau Jeju kini lebih menakjubkan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Pulau Jeju memiliki semua aspek yang dicari-cari generasi muda tempoh ini.

Dari jalan pesisir pantai yang menawan, AirAsia dengan kerjasama Jeju Tourism Organization (JTO) membawa STAIL.MY bersama dua selebriti bersahabat, Shalma Ainaa dan Adriana Adnan bertualang ke tempat-tempat ‘permata tersembunyi’ (hidden gems) di Pulau Jeju bagi merasai sendiri pengalaman yang tak terlupakan sepanjang berada di Pulau Jeju yang penuh dengan keajaiban ini!

TULISAN : ZAIDI CHE PENYELARAS : AMIRA AZMAN
ARAHAN SENI : ASHURA HAKIM
SOLEKAN & RAMBUT : FENDI SANI
VIDEO : OCTOPOST STUDIO
MEMBANGKIT RASA KOREA DENGAN AYAM PEDAS MANIS KOREA CHEF HONG

Bagi menghidupi rasa sebenar Korea sebelum tiba di Pulau Jeju, Shalma dan Adriana dihidangkan dengan Ayam Pedas Manis Korea Chef Hong – hidangan Siri Chef Selebriti terbaharu dari Menu Santan AirAsia.

Hidangan ‘Ayam Pedas Manis Korea’ atau “Dakgangjeong” ini disajikan bersama nasi putih jasmin dan sayuran serta boleh didapati di dalam setiap penerbangan. Ia kolaborasi pertama AirAsia bersama chef selebriti dan penguasaha restoran terkemuka Korea, Chef Hong Seok-Cheon.

Warisan Korea yang semakin terkenal di seluruh dunia, tiada yang lebih sempurna menikmati ketulan isi ayam yang lembut, bersalut tepung rangup dengan sos manis dan pedas Korea yang lazat. Ia turut dihiasi dengan emping biji sawi dan wijen rangup serta telur. Shalma dan Adriana benar-benar menikmati ‘Ayam Pedas Manis Korea Chef Hong’ seperti bintang Korea!

Jangan lepaskan peluang menikmati Dakgangjeong oleh Chef Hong ini dengan membuat pra-tempahan awal set kombo hidangan ‘Ayam Pedas Manis Korea’, didatangkan dengan minuman percuma dalam hanya RM10 untuk penerbangan AirAsia (kod penerbangan AK) dan RM15 untuk AirAsia X (kod penerbangan D7).

Pratempah Ayam Pedas Manis Korea Chef Hong sekarang!

#SERONOKNYAJEJU BEBAS

1 – INNISFREE JEJU HOUSE

Kami mulakan pengembaraan dengan lokasi paling not-so-hidden di dalam senarai ini. Pertama-tama, Shalma dan Adriana melawat Innisfree Jeju House, rumah kecantikan syarikat jenama kecantikan Korea Selatan yang paling terkenal di Pulau Jeju ini.

Innisfree Jeju House adalah hentian wajib untuk penggemar K-Beauty di luar sana. Innisfree, sebuah jenama kecantikan dan penjagaan wajah, hanya menggunakan bahan-bahan organik yang terdapat meluas di Pulau Jeju ini.

Istimewanya, rumah kecantikan ini turut menawarkan rangkaian produk kecantikan Innisfree edisi terhad termasuk produk Innisfree yang hanya boleh didapati di sini dan tidak boleh didapati di butik kecantikan Innisfree biasa.

Bukan sahaja kamu boleh mendapatkan produk-produk kecantikan yang luar biasa, kamu juga boleh merasa pengalaman membuat sabun kamu sendiri! Untuk ₩15,000, kamu boleh memilih tiga jenis pilihan bahan seperti teh hijau, limau tangerin dan abu volkanik.

 

2 – OSULLOC TEA FARM

Terletak hanya bersebelahan Innisfree Jeju House adalah Ladang Teh Osulloc (Osulloc Tea Farm), yang bukan hanya sebuah ladang teh, tetapi turut menempatkan muzium dan kafe.

Muzium Ladang Teh Osulloc mempamerkan pelbagai jenis baka dan sejarah teh. Bukan itu sahaja, kamu boleh melihat bagaimana proses teh dijalankan secara eksklusif di sini. Kamu juga boleh mengikuti bengkel pembuatan teh secara tradisional.

Ahhh…  sudah tentu penggemar segalanya tentang teh dan matcha harus melawat kafe di sini. Ia menawarkan variasi pencuci mulut matcha dan tentunya aneka teh yang boleh kamu pilih. Kafe ini turut menyajikan kek teh hijau, latte teh hijau dan teh hijau yang lembut.

Sesudah semua itu, kamu boleh pergi dan keluar berjalan-jalan secara bebas di antara barisan pohon-pohon teh yang menghijau dan mewangi. Lapangkan dada dan hirup udara segar yang sarat dengan aroma dedaunan teh di Ladang Teh Osulloc ini.

 

3 – BONTE MUSEUM

Bonte Museum direka oleh arkitek ternama dunia bernama Tadao Ando. ‘Bonte’ bermaksud ‘bentuk asli’ dan sejajar dengan namanya, muzium ini didirikan pada 2012 untuk berkongsi keindahan kehidupan dan manusiawi yang terdapat di Pulau Jeju.

Bonte Museum juga bertujuan menyebarkan pengetahuan tentang kecantikan budaya dan tradisi Korea ke mata dunia. Ia terbahagi kepada dua bangunan utama yang terbahagi lima buah galeri, dewan muzik dan taman arca yang berlatarbelakangkan Gunung Sanbangsan.

 

Menariknya di Bonte Museum ini, tidak hanya dapat melihat artifak-artifak bersejarah dinasti-dinasti di Korea dengan dekat, kamu juga bakal terpersona melihat arca-arca moden yang turut dipamerkan.

Bonte Museum direka dengan elemen cahaya dan air yang terlihat jelas dalam seni bina dan struktur bangunannya. Paling menarik perhatian Shalma dan Adriana ialah Galeri 3 yang mempamerkan hasil kerja seni artisan eksentrik dari negara matahari terbit, Yayoi Kusama.

Yes, the famous ‘Infinity Rooms’ by the one and only, Yayoi Kusama.

 

4 – MIRAE BOOKSTORE

Buat kamu si ulat buku, Mirae Bookstore adalah satu lokasi ‘permata tersembunyi’ di Pulau Jeju yang wajib kamu kunjungi. Semasa ketibaan kami, tiada kelibat seorang pelancong pun di sini. Mirae Bookstore menawarkan pengalaman mendalam buat jiwa-jiwa sastera yang terpendam.

Terdahulu, Mirae Bookstore dimiliki oleh sepasang suami isteri muda. Kamu bakal disambut kucing belaan mereka yang sangat comel sekali. Buku-buku tentang falsafah, budaya, makanan mahupun novel-novel cinta boleh di dapati di sini. Mirae Bookstore terletak di Pekan Lama Jeju (Jeju Old Town).

Saya sarankan buat mereka, jiwa-jiwa bebas yang dahagakan pengembaraan, supaya jangan lepaskan peluang menjejakkan kaki di wilayah Pekan Lama Jeju ini kerana begitu banyak lokasi-lokasi ‘permata tersembunyi’ yang boleh kamu jelajahi.

 

5 – CORNER CLOSET

Masih lagi terletak di wilayah Pekan Lama Jeju, Jeju Corner Closet adalah lokasi tersembunyi yang sangat-sangat harus kamu kunjungi.

Secara harfiahnya, bangunan ini menterjemahkan maksud namanya sebagai ‘lemari sudut’ (Corner Closet).

Mungkin antara butik yang paling tirus pernah kami kunjungi. Menjual pakaian, aksesori dan kraftangan tempatan, kamu boleh ‘memerah’ rakan kamu untuk menambah ganda keseronokan ketika memasuki butik yang unik ini. Satu untuk memori.

#SERONOKNYAJEJU SANTAI

6 – SSALDABANG CAFÉ

Tidak jauh dari Corner Closet, kamu akan menjumpai sebuah kafe yang sangat cool dan hipster bernama Ssaldabang Café.

Kafe yang ‘tersembunyi’ ini dahulunya ialah gudang beras lama yang diubah suai semula. Menu yang tersedia termasuklah kopi, teh, latte dan paling istimewa tiramisu, semuanya tersedia secara homemade.

Terletak di antara Gwangdokjeong dan Hyangsa Shrine, Ssaldabang Café ialah lokasi santai yang terbaik untuk kamu melepaskan lelah. Bau kuat kayu-kayuan vintaj, Shalma dan Adriana sempat menghirup secangkir kopi dalam suasana hujan yang nyaman. Pilihan Shalma dan Adriana, tiramisu yang padat tekstur dan rasa.

 

7 – PATISSERIE COIN DE RUE CAFÉ

Berbicara soal kafe, Patisserie Coin De Rue Café antara kafe ‘tersembunyi’ di Pulau Jeju yang tak harus kamu lepaskan.

Untuk mereka yang ingin merasa estetik Perancis, pintu Patisserie Coin De Rue Café terbuka luas untukmu.

Terdapat pelbagai jenis hidangan roti dan kek. Susun atur kafe yang sangat kemas dan moden menemani saat menikmati secangkir teh bersama roti baguette yang panas dan segar.

Saya sarankan kamu mencuba teh bunga rosemary merah yang sangat menenangkan.

 

8 – INNISFREE JEJU HOUSE CAFÉ

Masih lagi dalam mood café hunting, misi ‘memburu’ lokasi kafe diteruskan lagi dengan Innisfree Jeju House Café.

Ya, kafe yang satu ini terletak di dalam Innisfree Jeju House yang kita bicarakan pada awal senarai ini tadi. Ia dikelilingi taman yang indah. Dekorasi sederhana dan ringkas. Meja, kerusi dan kayu-kayan, tersusun dalam garis-garis lurus, ringkas selayaknya menu organik yang disediakan. Kamu kan berasa tenang di tengah-tengah hiasan kayu yang rapi dan hangat.

Seperti terawang-awang di awan zen, Innisfree Jeju House Café menawarkan aneka makanan dan minuman organik yang enak di persekitaran yang bersih dan selesa. Variasi sup, kopi dan makanan hijau yang segar hingga pencuci mulut seperti ‘Bingsu’. Hallabong Blender adalah minuman wajib cuba jika kamu pertama kali menjejakkan kaki di kafe ini.

Masih lagi terawangan, muzik bermain lembut menyambut tetamu. Kafe organik ini terletak di sebelah kanan bangunan, di belakang rak kayu tempat penyulingan aroma. Sementara rak-rak produk Innisfree dan stesen pembuatan sabun berada di sebelah kiri bangunan.

 

9 – DAEWONGA

Dari kafe, kita beralih pula kepada restoran. Jika kamu berada di Jeju, satu perkara yang kamu tidak harus lepaskan adalah memakan makanan khas Pulau Jeju iaitu makanan laut!

Pulau Jeju sangat terkenal dengan hasil lautnya yang melimpah-ruah. Daewonga menyajikan hidangan makanan laut yang lazat dan ia adalah salah satu restoran muslim-friendly serta menjadi tumpuan pelancong muslim dari serata dunia.

Haemul Cheongbol (₩60,000) atau Steamboat Seafood ialah menu wajib yang kamu harus pesan. Haemul Cheongbol mengandungi abalone, kupang, ketam dan…. sotong kurita hidup! Ya, kamu dengar saya, sotong kurita hidup yang harus kamu cuba sekali seumur hidup.

Setelah sup itu sudah bercampur dan sebati dengan makanan-makanan laut tersebut, tambah satu paket ramen untuk menyerap rasanya. Sup tidak pedas dan boleh dikongsi sehingga empat orang untuk satu-satu hidangan Haemul Cheongbol.

Untuk kamu yang tidak mahu ‘makan besar’, terdapat juga Abalone Hotpot atau Grill Mackerel Fish berharga sekitar ₩13,000 satu hidangan (mengikut saiz ikan).

Fun Fact. Tahukah kamu, hidupan laut segar yang dihidangkan di restoran Daewonga ini adalah hasil tangkapan penyelam wanita tradisional di Pulau Jeju yang terkenal sebagai Haenyeo? Makanya, ia menjadikan hidangan makanan laut kamu di sini lebih istimewa!

 

10 – JEJU FOLK VILLAGE

10 Lokasi 'Tersembunyi' di Pulau Jeju Yang Unik & Tersendiri 1

Saat melangkah masuk melepasi pintu gerbang utama Jeju Folk Village, citra dan kebudayaan Jeju masa silam sudah mula terasa.

Pintu gerbangnya memperlihatkan nuansa senibina tradisi Korea. Muzik tradisional juga terdengar lembut saat kamu mulai melangkah masuk ke kawasan seluas 40 hektar ini.

Keunikan Jeju Folk Village menghadirkan suasana perkampungan Korea di masa lalu. Bangunan-bangunan yang terdapat di Jeju Folk Village ini seperti diorama interaktif yang boleh dimasuki pengunjung.

Jeju Folk Village sebenarnya bukanlah suatu lokasi yang ‘tersembunyi’ tetapi saya rasakan ia layak tersenarai sebagai lokasi ‘permata tersembunyi’ pilihan kami.

Memiliki 117 bangunan dan kemudahan, Jeju Folk Village mempamerkan suasana Pulau Jeju di era 1890-an. Tema kawasan utama yang dipamerkan seperti Sanchon (kawasan pergunungan), Eochon (perkampungan nelayan), Tosoksinangchon (keagamaan) dan Jeju Yeongmun (pusat pemerintahan).

Pelajari tentang budaya Korea sambil menyarung Hanbok selayak sang puteri di Jeju Folk Village. Buat kamu yang mencintai sejarah, lokasi eksentrik ini wajib tertuliskan di dalam diari Jeju kamu!

TAHUKAH KAMU?
AIRASIA ADALAH SATU-SATUNYA PENERBANGAN YANG MENAWARKAN PERJALANAN LANGSUNG KE PULAU JEJU DARI KUALA LUMPUR TANPA PERLU MENUKAR PESAWAT?
SEKARANG KAMU TAHU!
NIKMATI KADAR TAMBANG RENDAH & PENERBANGAN TERUS KE PULAU JEJU BERSAMA AIRASIA

You May Also Like

Leave a Reply

SUBSCRIBE