Posted on December 16, 2019
Keychain jadi aksesori Timothee Chalamet sewaktu menghadiri tayangan perdana Little Women di Paris dan bikin peminat fanatiknya ‘tak keruan’! Tak pernah orang pandang lesu pada gaya-gaya Timothee dan selalu sahaja berhasil. Deep down, intuisi Timothee dalam mencongak fesyen yang sebagaimana padan dengannya, mesti on point.
Timothee bukan sahaja mengisi karpet merah juga acara-acara gah dengan keunggulan gaya-gayanya, dia malah menguasai sepenuhnya jujukan senario tersebut. Dia memakai abah-abah, kemudiannya belted suit, diikuti gaya dungari yang disimbah motif percikan warna dan baru-baru ini, mempopularkan semula gaya memakai vest (tanpa jaket) di atas karpet merah. Lantaran itu, tak usah mempersoalkan status ‘The Most Influential Stars In Fashion’ yang dianugerahkan kepadanya.
Di tayangan perdana filem Little Women yang berlangsung di Paris minggu lalu, Timothee bercanda dengan rona merah lembayung. Dia memilih sut rekaan Stella McCartney serba merah lembayung, mengatur dirinya dalam rupa bersahaja, acuh tak acuh, ditambah pula dengan stail rambutnya yang berserakan dan sudah tentulah, rahang ‘membunuh’ yang menonjolkan dirinya.
Namun ada sesuatu yang membuatkan penampilan Timothee hari itu jadi perbualan, sehingga tular. Sut Stella McCartney merah lembayung-nya disaingi oleh aksesori tambahan yang bukan sahaja mengagetkan dan bikin orang tergemap, malah jadi ‘menggila’. Di tangan Timothee, terkepal keychain atau rantai kekunci Eiffel Tower berona emas! Yes, a keychain. Not kidding.
Kamu tahu kan, rantai kekunci replika Eiffel Tower dalam skala kecil yang selalu orang beli sebagai cenderamata apakala ke Perancis? Ya, rantai kekunci itu. Pada mulanya, semua ingat ia disengajakan dan Timothee – atau mungkin idea penata gayanya – memang berniat untuk menjadikan rantai kekunci itu sebagai aksesori tambahan. Kerana Timothee mendewasa di Perancis dan rantai kekunci ini barangkali sebagai tanda ‘penghormatan’ buat jati dirinya.
Rupa-rupanya, bukan. Rantai kekunci itu adalah pemberian daripada salah seorang peminatnya! Ia diberi kepada Timothee di luar tempat acara tayangan perdana tersebut, pada hari yang sama dan sesi pemberian cenderamata itu terjadi sebelum Timothee menginjakkan kakinya di karpet merah. Lol!
Apa pandangan anda?