Posted on December 17, 2019
Kerjasama yang terjalin antara Tao Liang atau lebih popular dikenali sebagai Mr.Bags, bersama Longchamp – Longchamp X Mr. Bags – adalah satu kesatuan yang utuh. Hubungan yang masih tegap ini memperoleh kemenangan, lalu ia diteruskan lagi untuk kerjasama kapsul yang ketiga tahun ini.
Siapa yang tidak kenal Mr. Bags – blogger dari China yang punya berjuta pengikut dan antara yang berpengaruh. Mengatur langkahnya bekerjasama dengan jenama-jenama ternama, daripada Givenchy ke Tod’s dan kini, Longchamp sudah termasuk dalam portfolionya. Mr. Bags adalah insan yang memperkenalkan platform mini membeli belah yang dikenali sebagai BaoShop menerusi WeChat. And guess what? Minggu lepas, himpunan Longchamp X Mr. Bags di BaoShop laris dan habis terjual, hanya dalam masa satu minit sahaja!
Apa yang menariknya pada beg Longchamp X Mr. Bags? “Butiran-butiran pada rekaan beg kali ini tidak begitu ketara, melainkan kamu betul-betul menggunakan beg tersebut dan si pemilik beg ini akan perasan butiran ‘rahsia tersembunyi’ itu,” kata Mr. Bags tentang kerjasama ketiga ini, dalam temubualnya bersama WWD.
Dia mencabar dirinya untuk bercanda dengan aspek yang kelakar, ceria dan nakal. Inspirasinya? Chihuo, yang bermaksud ‘foodie’ dalam bahasa Cina dan bersempena tahun baru, ia mengait sekali ilham yang bersendikan zodiak Tahun Baru Cina untuk tahun 2020, yakni tikus. Mr. Bags menggabungkan kedua-dua elemen tersebut dengan mengusulkan idea si tikus memakan keju, yang diolah kepada rupa beg – elemen keju atau idea cebisan keju yang digigit oleh tikus boleh dilihat pada flap salah satu rekaan begnya dengan lining flap tersebut dironai kuning dan bermotifkan keju penuh lelubang… sungguh bijak!
Longchamp X Mr. Bags menghidangkan tujuh rekaan beg dalam saiz rencaman, termasuklah Le Pliage klasik serta tiga kemeja T. Menariknya, di samping bermain dengan motif grafik corak keju pada permukaan beg juga kemeja T, Mr. Bags turut memunculkan idea menjadikan rekaan beg tersebut seakan-akan berupa ‘fizikal’ tikus. Terutama sekali beg-beg mini kecil Le Pliage. Dengan tali zip juga pemegang, masing-masing sepertikan ekor dan telinganya. So cute.
Sungguhpun ia habis terjual di BaoShop, usah risau kerana himpunan kapsul ini akan mula dijual secara global pada 20 Disember nanti.
Apa pandangan anda?