Posted on March 29, 2021
Chester, dalam siri Generation HBO Max (atau Genera+ion) adalah seorang insan yang memerlukan perhatian. “I’m like a lot,” lafaz Chester kepada kaunselor pembimbingnya, Sam. Chester seolah-olah memberi ‘amaran’, mengingatkan Sam bahawa dia bukan sahaja loud, malah terkadang angkuh di balik kelembutannya. Terkadang, dia juga bergelora dengan emosi agresif dan pada masa yang sama, terasa terpencil. Sungguhpun Chester adalah pelajar yang cemerlang dalam pelajaran serta atlet polo air dan agak dikenali di sekolahnya, namun dia seperti terbelenggu dengan isu kendiri. Chester juga bak melihat bayang-bayangnya di air, yakni cuba untuk memiliki cinta tetapi tidak mengetemui lagi.
Baju senteng yang dipakai oleh Chester dalam episod pilot Genera+ion
Watak Chester – lakonan Justice Smith – adalah watak protagonis dalam siri terbaru, Genera+ion yang dihasilkan oleh Zelda Barnz dan Daniel Barnz. (Buat kamu yang belum tahu lagi) Cerekarama ini yang mengisahkan gerombolan remaja Gen-Z dalam dunia ultra-moden masa kini, hidup sebagai woke generation yang bersikap terbuka dalam menerokai seksualiti, cuba untuk menyanggah konformis dan berkonfrontasi dengan kepercayaan famili. Genera+ion juga banyak membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan woke generation – seperti hak LGBTQ+, hal-hal genderqueer, pro-choice movements dan seumpamanya.
Berbalik kepada Chester, secara peribadinya, watak tersebut berjaya mencerminkan seorang homoseksual muda semasa. Seorang yang membawa ritma sendiri, terlalu yakin dengan penampilannya, suka berdandan diri dan berani candang memberontak. Selaku penata gaya atau pereka kostum Genera+ion, Shirley Kurata benar-benar mencuba untuk menyusupkan idea bahawa Chester adalah seorang yang tidak gentar dalam menayangkan kepelikan dalam penggayaan diri dan menunjukkan seksualitinya. Mengutip kata Kurata menerusi temu ramahnya bersama Bustle, Chester tidak segan membeli pakaiannya di bahagian pakaian wanita. Itulah Chester.
Chester & Riley. Chester dilihat sebagai watak lelaki yang flamboyan & yakin dengan penampilan diri.
Menurut Barnz dan Kurata, setiap watak dalam Genera+ion – daripada Chester, Riley, Greta, Naomi, Nathan , Arianna, J sehinggalah Delilah – mahu digambarkan seperti remaja sebenar. Like, IRL. Tidak seperti siri Gossip Girl yang ditata dengan jenama-jenama high fashion, Genera+ion bermain dengan jenama-jenama high street seperti Forever 21, H&M serta ceraian-ceraian daripada pasar lambak. Mereka mahu menampakkan kehidupan remaja Gen-Z dalam dunia sebenar yang mampu membeli pakaian daripada jenama-jenama high street.
Lantaran itu, Kurata merujuk platform-platform seperti TikTok dan YouTube untuk mencari sumber inspirasi bagi menghidupkan remaja-remaja dalam era 2020-an.
Dalam menjayakan watak Chester, Kurata menghalakan pandangannya kepada sosok-sosok lelaki yang segan tak segan melawan kemaskulinan dalam hal berfesyen. Antaranya adalah Ezra Miller dan Jaden Smith. Perhitungan gaya fluidity, bersifat feminin, sarat dengan warna-warni dan over-the-top tanpa ada rasa teragak-agal berkeliling dalam kepala Kurata. Dia tidak mahu menggambarkan Chester (seorang atlet polo air) dalam penggayaan atlet tipikal. Nah. Sebaliknya dia mahu menggambarkan Chester sebagai seorang atlet homoseksual yang flamboyan.
Greta, Riley & Chester. Shirley Kurata memilih rona neon serta rona terang untuk menggambarkan watak Chester yang lantang dalam menyuarakan pandangannya.
Oleh itu, dalam babak permulaan siri Genera+ion, kita dihidangkan oleh penggayaan Chester memakai baju senteng berwarna-warni yang menampakkan perutnya, berjalan mengitari sekolahnya. Sehingga menarik perhatian Nathan dan Riley. Watak Chester malah diolah sebagai seorang pencinta fesyen yang mempunyai kesedaran tentang trend semasa. Yakni dalam salah satu episod Genera+ion, Chester dilihat menggayakann kemeja pussy bow dengan kardigan labuh dan seluar bercorak tartan – yang mengingatkan kita pada trend jenama Gucci.
Gaya Chester yang mengingatkan kita pada Gucci
Seorang yang crafty, bijak mengabui jantina dan kreatif. Chester bukan hanya melambangkan keyakinan. Namun dia juga adalah simbol lelaki masa kini yang tidak lagi takut berpakaian wanita!
Baju panas bercorak jaluran warna-warni dengan motif tipografi ‘Weirdo’ yang dipakai Chester ini antara helaian kegemaran kami!
Apa pandangan anda?