Posted on April 1, 2020
Pujian buat Datuk Radzuan Radziwill kerana menjadi pereka fesyen ‘barisan hadapan’, merintis jalan menghasilkan seragam perlindungan diri atau PPE untuk frontliners Malaysia, – doktor, jururawat dan petugas hospital – yang khusus digunakan sepanjang memerangi penularan pandemik COVID – 19!
Dalam pada terjadinya kemelut pandemik yang mencabar dan membinasakan dunia sekarang, pereka-pereka fesyen sederap melangkah, mengepal azam untuk sama-sama berjuang dan membantu meringankan beban. Baru-baru ini, pereka fesyen Christian Siriano mengkhabarkan hasratnya untuk menghasilkan topeng muka perubatan, sehingga menukar studionya menjadi kilang topeng muka. Sama juga dengan jenama-jenama fesyen lain seperti Prada, Gucci dan Balenciaga yang turut menyahut seruan menghasilkan topeng muka.
Pada 18 Mac – dua minggu lalu, sewaktu seluruh Malaysia diarahkan kawalan pergerakan dan diminta untuk ‘duduk rumah’, Datuk Radzuan Radziwill tidak betah duduk diam. Apatah lagi setelah melihat gerombolan frontliners atau barisan hadapan seperti jururawat yang umpama bermandi keringat menyiapkan seragam perlindungan diri (PPE) di tengah-tengah mereka bekerja merawat pesakit-pesakit COVID – 19.
Datuk Radzuan bersama-sama rakan-rakannya yang lain mengambil langkah, membantu barisan hadapan, dengan menjahit sendiri dan menghasilkan seragam perlindungan diri! “Bukan sahaja tersentuh melihat mereka bekerja keras, malah tergerak hati saya dan berfikir yang saya perlu bantu, sumbang sesuatu,” jelas Datuk Radzuan kepada kami.
Lalu, sepanjang dua minggu ini, perhatian Datuk Radzuan bertumpu pada menyiapkan seragam perlindungan diri ini. Produksi yang hanya dilakukan di rumah, tanpa produksi besar-besaran dan kapasiti juga rendah, Datuk Radzuan serta rakan-rakannya berkongsi membiayai juga membeli material. Bergulung-gulung, bermeter-meter material yang digunakan. Bila disoal apakah material tersebut, balas Datuk, “Non-woven. Sifatnya macam kanvas atau kertas. Dan boleh pakai buang.”
Bukan sembarangan, material ini mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu. Malah ada yang dibeli menerusi bantuan doktor-doktor dan tambahan lagi, mensanitasikan material-material ini dengan menggunakan pensanitasi kimia auto. “Kami menyiapkan beberapa seragam perlindungan diri secara general, kemudiannya ia dibahagikan kepada beberapa hospital. Pihak hospital yang menentukan pembahagian tersebut.”
Produksi yang masih lagi bergerak dengan bantuan rakan-rakan juga tukang jahit yang lain, jangkaan sasaran Datuk Radzuan adalah menghasilkan lebih kurang 5,000 ke 10,000 helai seragam perlindungan diri. “Dan setakat hari ini, kami berjaya siapkan dalam lebih 400 set seragam,” jelas Datuk Radzuan.
Sungguhpun ada kekangan, contohnya Datuk Radzuan sendiri tidak boleh keluar ke mana-mana untuk menghantar dan seumpamanya, namun dia dibantu oleh pihak perkhidmatan penghantaran serta pihak hospital. “Makanya, sepanjang tidak boleh keluar ini memberikan lebih masa untuk kami capai sasaran 5,000 ke 10,000 helai. Insya Allah,” sambung Datuk lagi.
Sebelum mengakhiri perbualan, sempat juga Datuk Radzuan menyeru agar pereka-pereka fesyen muda untuk sama-sama bahu-membahu membantu frontliners sepanjang pandemik COVID – 19. Pesannya lagi, “Sejujurnya, memanglah pandemik ini meninggalkan impak terhadap pereka-pereka fesyen yang berniaga seperti kami. Namun, ia tidaklah terlalu memberatkan. Yang lagi terkesan dan terbeban adalah frontliners. Mereka bersabung nyawa masing-masing dalam keadaan yang agak kritikal sekarang. Tugas kita yang bukan frontliners ini hanya perlu duduk di rumah sahaja. Dan tugas saya sebagai pereka fesyen, mahu membantu frontliners.”
Apa pandangan anda?