Posted on January 13, 2021
Percaya atau tidak? Meraikan Tahun Baru Cina tahun ini koleksi Gucci Doraemon akan menemui peminat setia jenama ini!
Bulat, gemuk dan comel. Ia bersahaja, ‘berjalinkan’ dengan sosok-sosok model lain dalam gambar kempen. Doraemon bertingkah, bercanda dengan yang lain dan menunjukkan fiil-fiil yang sama seperti dalam komik : suka merenyeh, nakal, bergerak lincah dan seakan-akan bertepuk tampar dengan yang lain.
Bersempena merayakan Tahun Baru Cina, Doraemon – yang tiba dari abad ke-22, melangsungkan tugasnya sebagai penyelesai masalah Nobita dan mempunyai poket ajaib yang mampu mengeluarkan kesemua gajet atau alat untuk membantu Nobita, daripada topi helikopter kecil sehinggalah pintu suka hati (ingat lagi?) – menjadi ikon pop Gucci!
Gucci Doraemon. Mungkinkah tarikh bernama ‘Tahun Lembu’ 12 Februari nanti akan memperlihatkan mereka yang menyambut Tahun Baru Cina, datang bersiap dalam seperangguan pakaian serta aksesori yang dihiasi corak-corak karakter Doraemon? Tidak mustahil!
Pengarah Kreatif Gucci, Alessandro Michele menyelongkar semula kartun manga lama yakni Doraemon, mengamati karakternya dan menyemat ia sebagai motif utama dalam rekaan-rekaannya kali ini. Michele menjalinkan unsur harmonis dalam kontras, meneguhkan idea pertemuan karakter Jepun dengan fesyen – ikon bulat birunya Doraemon ‘ditindih’ di atas motif GG pada semua produk, seperti pakaian sedia pakai dan aksesori-aksesori.
Himpunan yang juga menandakan ulang tahun lima dasawarsa kartun ini mula dijual semalam dan susulan daripada itu, satu lagi rangkaian istimewa (yang akan menampilkan Doraemon) bakal dikeluarkan!
Mengulang semula pernyataan dalam perenggan pertama tadi – berkenaan dengan kempen fesyen – Gucci menyunting Angelo Pennetta, selaku fotografer untuk kempen Tahun Baru Cina ini. Menyatukan realistik dengan dunia kartun, memunculkan satu gagasan memadukan model-modelnya bersama Doraemon. Seakan-akan berkawan! Gucci berkecindan, mengambil olah-olah signifikan Doraemon seperti seraut mukanya sewaktu nakal, riaknya ketika terkejut serta aksinya sedang menikmati Dorayaki dan dipadankan dengan gaya-gaya modelnya yang lengkap dalam himpunan ini.
Aksi bersarapan bersama, bermain permainan video juga berpesta di dalam bilik, kelihatan Doraemon terselip sekali di mana-mana. Gucci mengumpamakan Doraemon sebagai teman khayalan kepada manusia-manusia di dalam kempen fesyen tersebut.
Produk-produk dalam rangkaian Gucci Doraemon bersempena Tahun Baru Cina. Pada kesempatan ini juga, Gucci turut menghasilkan packaging khas untuk rangkaian Tahun Baru Cina yakni packaging yang diperbuat daripada bahan-bahan kitar semula, sebahagian daripada usahanya menuju ke kelestarian fesyen
Apa pandangan anda?