Posted on February 13, 2020
Kesuma Jiwa nama pertunjukan diberi. Tinggal enam hari sahaja lagi, ia bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 20 Februari 2020. Ia akan mempersembahkan koleksi Raya terakhir Rizalman Ibrahim for Zalora setelah tujuh tahun bekerjasama. Pertunjukan fesyen ini juga akan dimadukan dengan muzik mengetengahkan Dayang Nurfaizah dan Rizalman Ibrahim sendiri sebagai pemeran utama.
Teaser demi teaser dilepaskan Rizalman sejak tahun lalu lagi. Ini membeuktikan betapa dia seorang pemasar yang bijak. Strategi pemasarannya dimulakan sejak setahun yang lalu. Bermula dengan konsep koleksi Raya tahun ini sehinggalah pabila dia mengumumkan Dayang Nurfaizah sebagai muse koleksi ini. Tidak hairanlah sekiranya setiap tahun koleksi Raya Rizalman Ibrahim akan habis terjual. Antisipasi yang diciptanya bermula awal dan pabila ditamatkan pula dengan pertunjukan fesyen dalam skala agung, pastinya pembeli tak mahu ketinggalan memiliki barang satu helain sahaja pun cukup daripada koleksi tersebut.
Rizalman mengenali Dayang sudah 20 tahun. Pada awal pabila Dayang bersetuju menjadi muse koleksi ini, mungkin Rizalman sudah merancang menamatkan pemasaran koleksi Raya ini dengan satu pertunjukan konsert besar-besaran bersama pertunjukan fesyen koleksi ini sekali. Dua tahun lalu dia menggunakan Izara Aishah sebagai muse dan pemeran utama dalam persembahan akhir pertunjukan fesyen koleksi tahun itu. Tahun ini Rizalman mengambil tema helaian-helaian dan fabrik yang mencerminkan keMelayuan untuk koleksi Rayanya.
https://www.youtube.com/watch?v=gBuyXhYWbcU
Kesuma jiwa bermakna si rupawan yang menempati hati seseorang
Pemilihan fabrik, konsep keseluruhan dan persembahan pentas berjudul Kesuma Jiwa – mencerminkan budaya Melayu through and through. Rizalman mengangkat elemen tradisi Melayu dan dilakukan secara terperinci. Usahanya ini wajar dipuji kerana ia akan sekaligus mendidik pengguna tentang budaya tradisi Melayu yang semakin dilupakan hari ini.
Melihat video-video belakang tabir penggambaran yang dilakukan juga, saya dapat melihat Rizalman banyak merujuk dan berpaksikan filem-filem lama P Ramlee yang saya anggap rujukan terbaik untuk melihat elemen Melayu tradisional sebenar. Tema yang diangkat untuk persembahan ini pula ialah persahabatan 20 tahun yang terjalin antara Rizalman dan Dayang. Rizalman mahu menunjukkan betapa dia menghargai persahabatan mereka selama ini dan sesuai benarlah tema sebegini diangkat apalagi sempena musim Raya.
https://www.instagram.com/p/B8AGd3OJAgB/
Kesuma bermakna si bunga atau perempuan yang rupawan. Maka kesuma jiwa bermakna si rupawan yang menempati hati seseorang. Mungkin ini cara Rizalman memberitahu bahawa Dayang ialah si rupawan serta sahabat yang menempati hatinya. Kesuma Jiwa akan mengandungi persembahan nyanyian, tarian dan pertunjukan fesyen koleksi Raya Rizalman for Zalora 2020.
Saya tidak dapat tidak, teringatkan pertunjukan Gucci musim bunga 2019 yang dipentaskan di Theatre Le Palace, Paris. Rizalman mungkin mencedok inspirasi daripada situ lantas memilih menganjurkan pertunjukannya di Istana Budaya. Tetapi tentunya elemen-elemen lain seperti persembahan bersama Dayang, tarian dan nyanyian itu adalah idea originalnya.
Fakta Menarik Persembahan Kesuma Jiwa
-
Ia mencatat rekod sebagai jualan tiket paling pantas sepanjang Istana Budaya dibuka (15 minit habis dijual).
-
16 buah lagu akan dipentaskan sepanjang persembahan termasuk 11 lagu dengan iringan vokal Rizalman Ibrahim dan Dayang Nurfaizah.
-
Pementasan ini dijayakan 250 tenaga kerja termasuk penari, pemuzik, penyanyi koir, peragawan, peragawati dan kru teknikal.
-
181 baju direka khusus untuk pementasan satu malam ini.
-
Sebahagian daripada jualan tiket akan disumbangkan kepada Tengku Azizah Fertility Foundation (TAFF).
Senarai Lagu Yang akan dipersembahkan
- Kesuma Jiwa – Rizalman Ibrahim & Dayang Nurfaizah
- Tari Tualang Tiga – Dayang Nurfaizah
- Mengapa Dirindu – Dayang Nurfaizah
- Hati ke Hati – Dayang Nurfaizah
- Itulah Sayang – Dayang Nurfaizah
- Bisikan Hati – Dayang Nurfaizah
- Di Pintu Syurga – Dayang Nurfaizah
- Lasamana Raja Di Laut – Dayang Nurfaizah
- Gurindam Jiwa – Rizalman Ibrahim & Dayang Nurfaizah
- Joget Pahang – Dayang Nurfaizah
- Selamat Tinggal Bungaku – Dayang Nurfaizah
https://www.instagram.com/p/B8P4XCAJF4p/
https://www.instagram.com/p/B8H_klAJv1_/
Koleksi Terakhir Rizalman for Zalora
Tujuh tahun kerjasama antara Rizalman dan Zalora akan berakhir melalui pementasan Kesuma Jiwa. Ini kerana Rizalman sendiri sudah melancarkan portal jualan e-commerce nya sendiri ristore.my. Baru-baru ini dia telah menjual koleksi beg dan kasut terbarunya bersama Sometime by Asian Designer di portal tersebut. Saya rasa koleksi Rayanya bermula tahun hadapan akan mula dijual di portal ini.
Satu lagi langkah bijak daripada Rizalman yang tidak mahu lagi menggunakan orang tengah dalam menjual produknya. Masuk akal lah tindakannya ini kerana jika dia memiliki keupayaan untuk melakukannya sendiri, mengapa lagi memerlukan orang tengah bukan? Tujuh tahun juga adalah tempoh yang cukup untuk dia mempelajari selok-belok perniagaan e-commerce dan menyediakan dirinya untuk melakukannya sendiri. Justeru tema persahabatan untuk pementasan Kesuma Jiwa mungkin juga sebagai simbolik kepada persahabatan tujuh tahun yang terjalin antara dia dan Zalora.
Apa-apa pun saya puji Rizalman Ibrahim kerana pada usianya 49 tahun, dia amat progresif dan bijak kekal relevan dalam menangani perubahan dalam dunia perniagaan hari ini. Dia bijak mengadaptasikan dirinya dalam dunia digital, media sosial dan alam maya yang semakin maju dan mudah akses dalam masa sama tidak melupakan cara dan budaya masyarakat Malaysia dalam pendekatannya. Selamat berjaya Rizalman untuk pementasan Kesuma Jiwa nanti!
Apa pandangan anda?