Posted on November 8, 2019
Kolaborasi tahunan H&M – tahun ini bergabung tenaga dengan Giambattista Valli – berakhir semalam. Seperti lazim, sebaik sahaja H&M menggazet kolaborasinya, bagai menggila sedunia fesyen. Berhimpun, sanggup bersengkang mata, menanti pintu butik-butik H&M terpilih buka dan merebut item-item yang dimahukan berbulan lamanya.
Mengingat semula segala apa yang terjadi ke atas Zac Posen, membuatkan rakan seperjuangannya Christian Siriano terpanggil untuk menyuarakan sesuatu – yang ada menyebut fasal kolaborasi – dan betapa pentingnya kolaborasi jenama fesyen, terus kami mengerti sedikit-sedikit mengapa perlunya ada kolaborasi jenama fesyen. Waima yang high end atau designer brands bekerjasama dengan jenama high street mahupun badan-badan lain bukan fesyen atau vice versa.
Sejurus selepas H&M dan GIambattista Valli, jenama-jenama fesyen lain turut memandang bulan November sebagai bulan kolaborasi. Kolaborasi yang mencorakkan himpunan kapsul dan edisi terhad, sekaligus membangkitkan hype. Ada tiga lagi kolaborasi jenama fesyen yang pastinya akan mengundang antisipasi bulan ini : DVF X Apparis, Moschino X Budweiser dan Mulberry X Acne Studios.
DVF X APPARIS
Apa itu Apparis? Apparis adalah jenama fesyen vegan. Diasaskan oleh Amelie Brick dan Lauren Nouchi, Apparis seratus peratus menjadikan vegan sebagai mantera atau falsafah utama jenamanya. Antara yang signifikan dengan jenama Apparis termasuklah menggunakan fabrik faux fur dan usahanya itu didukung oleh industri fesyen.
DVF memandang tinggi manfaat Apparis, lalu menjalin hubungan kerjasama. DVF X Apparis, dikepalai oleh tiga wanita untuk matlamat yang memperjuangkan kepositifan. For women, by women!
Kedua-dua jenama ini menghasilkan satu himpunan kapsul yang berilhamkan gaya hidup perempuan yang tidak mengenal takut dalam kehidupannya. Ia menyaksikan dua jati diri yang datangnya dari dua jenama berbeza yang disatukan – kuasa motif-motif cetak DVF bertemu keperkasaan fabrik faux fur Apparis. Dan bagaimana kedua-dua jenama ini memulakan kerjasama ini? Hanya menerusi Instagram! Ketua Pegawai Eksekutif DVF, Sandra Cmapos berbual kasual dengan pengasas Apparis dan daripada situlah terjalinnya hubungan.
Himpunan kapsul ini membariskan rekaan-rekaan yang bersendikan gaya vintaj 70an dengan simbahan warna-warni bertenaga dan corak-corak haiwan. Kata kuncinya? “Go vegan. Take charge. Be Apparisian in Apparis X DVF.”
MOSCHINO X BUDWEISER
Moschino nakal. Sebelum-sebelum ini, ia memilih Trolls – no kidding, Trolls! – sebagai ‘rakan’ kolaborasinya. Kemudian, untuk bulan November, Moschino beralih ke dunia food and beverages. Ia menyunting Budweiser pula sebagai ‘rakan’ kolaborasi terbaru!
Koleksi kapsul edisi terhad ini mengeluarkan 15 item, bagi merayakan kehadiran dua botol bir (yang juga edisi terhad) – botol ikonik Budweiser aluminium dan lager bir ambar baharu yakni Budweiser Pulse. Kolaborasi ini mempamerkan kehebatan Jeremy Scott, selaku pengarah kreatif Moschino, yang tak putus-putus menyisip budaya pop dalam rekaan-rekaannya. Segala simbol yang diasosiasikan dengan budaya pop dikutip oleh Jeremy, dalam menghidupkan inspirasi.
Dan sebenarnya, Budweiser sudah lama mempengaruhi sukma Jeremy. Dia melihat Budweiser, terutama sekali logonya sebagai satu budaya pop. Jeremy menggunakan palet rona merah, biru kelasi, emas serta putih (rona Budweiser) dengan menjadikan semuanya sebagai motif pada salah satu dress dan cape untuk look 38 Moschino musim luruh dingin 2014.
Rekaan ini dipertontonkan di Metropolitan Museum of Art’s Costume Institute untuk pameran Camp : Notes on Fashion.
Tiga hari yang lepas, koleksi kapsul Moschino X Budweiser mula dilepaskan dan pada sebelas hari bulan kelak, edisi terhad Budweiser Pulse pula akan tersedia.
MULBERRY X ACNE STUDIOS
Bagaimana agaknya rupa, seandainya sifat gaya Nordic bertemu jati diri Inggeris? Ia umpama satu dialog fesyen yang sepertikan indah bunyinya, kerana mendukung kesarwajagatan. Wujudkah kesalingfahaman? Apatah lagi etos kedua-duanya berbeza : satu lebih bersifat ultra-moden, satu lagi mementingkan warisan.
Itulah yang cuba dibuktikan oleh Mulberry dan Acne Studios. Sungguhpun ‘bercanggah’ identiti, namun tidak sulit saat disatukan. Jelas Jonny Johansson, pengarah kreatif Acne Studios, “Kerjasama ini adalah tentang persahabatan juga menunjukkan kebebasan kami untuk melakukan apa sahaja dengan jenama Mulberry dan Acne Studios.”
Rangkaian edisi terhad, Mulberry X Acne Studios menyaksikan gabungan gaya rekaan pada beg Musubi oleh Acne Studios dan beg Bayswater daripada Mulberry. Kedua-dua rumah fesyen ini menafaskan kebaharuan ke atas stail klasik dan signature yang telah menjadi sebahagian daripada kedua-dua house codes ini.
Acne Studios reimagine beg Scrotchgrain dengan menambah lebih banyak tali beg serta gancu dan hardware logam bersaiz besar. Terdapat dua jenis beg interpretasi baharu Acne Studios ke atas beg klasik Mulberry yakni cross-body Satchel dan beg messenger. Manakala Mulberry pula mengolah kembali rekaan klasik beg Musubi Acne Studios (yang sinonim dengan simpulan dasi) dan digabungkan dengan rekaan beg Bayswater Mulberry.
Apa pandangan anda?