Posted on July 11, 2021
Setelah 53 tahun Cristobal Balenciaga menggantung guntingnya daripada menghasilkan koleksi couture, pengarah kreatif hari ini, Demna Gvasalia untuk kali pertama mengilhamkan 63 look modern couture di Balenciaga sempena minggu couture Paris minggu lalu. Tentunya ia sesuatu yang ditunggu-tunggu kerana Gvasalia sudah menguar-uarkan bahawa dia mahu memberi sentuhan kontemporari kepada koleksi couture jenama ini.
Dalam salon couture di Avenue George V, pertunjukan couture Balenciaga berlangsung tanpa muzik dikatakan sama dengan cara Cristobal mempersembahkan koleksi couturenya di era 60-an dahulu. Kanye West, James Harden, Bella Hadid dan Salma Hayek antara nama-nama besar yang hadir untuk menyaksikan koleksi ini. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kering, Francois Henri Pinault juga antara tetamu yang datang.
Memakai topeng muka dengan hanya lubang untuk bernafas, Kanye West yang hadir menyarung jaket puffer kolaborasinya dengan Gap ditanya oleh Pinault, “Bagaimana kita boleh tahu yang kamu benar-benar Kanye?” Lewis Hamilton turut ketawa mendengar soalan ini dalam salon yang dikembalikan suasana asal sama dengan waktu Cristobal mempersembahkan rekaannya.
Modern Couture di Balenciaga
Antara look-look terawal yang dipersembahkan, kesemuanya berwarna hitam terdiri daripada sut dan tuksedo disarung oleh lelaki dan wanita bersama tumit tinggi. Fokus hanya pada rekaan bahu berstruktur dan seluar-seluar bervolum dan kadang-kadang mencekak di pinggang. Gvasalia memberi sentuhan kontemporari melalui bentuk-bentuk rekaan yang disenangi oleh kelompok muda hari ini. Dia juga memudarkan garis gender antara lelaki dan wanita kerana helaian-helaian yang dipersembahkan senang dipakai oleh kedua-dua gender.
Kebanyakan bentuk yang dihasilkan Gvasalia mendapat inspirasi daripada arkib Balenciaga. Tetapi tidak lari daripada falsafah rekaan Gvasalia sendiri. Apa bezanya antara bentuk-bentuk yang dipersembahkan dalam koleksi couture ini dengan T-shirt berpad bahu dan hoodie oversize yang direkanya sebelum ini?
Ini adalah permulaan baru dalam kerjaya saya. Orang hanya ingat saya reka T-shirt dan hoodie. Tapi itu bukanlah saya sepenuhnya. Koleksi ini memberi saya peluang menunjukkan bakat saya sebagai pereka dan koleksi ini adalah manifestasinya. DEMNA GVASALIA
Salah seorang pensyarah Gvasalia di Antwerp Royal Academy of Fine Arts yang mengambilnya bekerja selepas tamat pengajian untuk koleksi lelakinya memberi kata setuju dengan koleksi ini. “Saya rasa ia sungguh hebat – kombinasi indah antara Balanciaga dan moderniti,” katanya. “Kebanyakan koleksi couture ialah tentang dekorasi. Dan koleksi ini ialah tentang jahitan dan cara baru bekerja dengan volum.”
Lihat koleksi penuh couture Balenciaga di sini.
Apa pandangan anda?