Posted on April 22, 2020
Adakah revenge buying – serangan ‘membalas dendam merah’ untuk membeli-belah – akan dilakukan atau terjadi selepas tamatnya tempoh perintah kawalan pergerakan? Paling-paling pun, selepas pandemik ini berakhir?
Sejujurnya, saya pun memasang niat yang sama. Apa yang terkandung dalam buah fikiran membawa satu keinginan buat diri saya pabila berhari-hari berkurung, melayari media sosial juga laman web (beli-belah atas talian). Apatah lagi bila MatchesFashion mengadakan jualan murah sekarang dan seakan-akan mengajak saya untuk berbelanja. Tambahan pula, hari penamatan perintah berkurung yang ditunggu-tunggu tak kunjung tiba, jadi apa yang menyusup ke dalam hati adalah, “Nak belilah nanti selepas tamat PKP.” Tidak berani membelanjakan wang yang ada sekarang kerana tidak boleh meramalkan sama ada perintah berkurung ini akan berlanjutan atau tidak.
Tetapi, saya menahan niat tersebut. Setelah fikir sedalam-dalamnya. Kerana niat tersebut atas dasar ‘serakah’ sebenarnya. Kerana ada perkara yang lebih penting lagi daripada membeli-belah. Seandainya saya hanyut dalam dorongan untuk teruskan sahaja membeli-belah, makanya saya terjerumus ke lembah revenge buying.
Bukan mahu membarai hati orang tentang revenge buying. Bukan. Revenge buying tidak semestinya negatif dan boleh jadi ia positif – kerana untuk jenama-jenama fesyen, ia menjana ekonomi mereka yang dikira rapuh sepanjang sedunia berkurung.
Menurut Business Of Fashion, revenge buying menjelma di China, menjadi biji butir orang di sana selepas mereka bebas daripada COVID-19 dan dipersoalkan sama ada ia mampu menyelamatkan luxury fashion. Ya, janji orang-orang ini berbelanja semula selepas berakhirnya pandemik tiada diungkiri tetapi besar kemungkinan ada pengurangan dari aspek berbelanja. Di mana, barangkali orang tidak akan berbelanja lebih lagi? Atas sebab kegelisahan bertunas, jadi niat untuk shopping itu tersadai.
Namun senario ini mengelirukan. Umpama mulut kata lain, hati pula kata lain. WWD melaporkan bahawa Hermes – butiknya yang dibuka semula sekarang selepas China ‘meredakan’ penularan COVID-19 – berjaya meraih jualan sebanyak 2.7 juta US Dolar dalam masa sehari sahaja selepas pembukaan semula butiknya di Ghuangzhou. Dalam laporan tersebut, dikatakan orang-orang di Ghuangzhou datang ke butik Hermes dan ‘galak’ membeli produk-produk rumah, aksesori serta barangan-barangan material kulit. Bermakna, semangat revenge buying itu tidak terkekang dalam hati mereka. Ternyata, ‘deprivation’ mencemburui mereka dan tidak adalah istilah pengurangan dalam berbelanja?
Hal ini sebenarnya berkaitan dengan kelakuan konsumer itu sendiri. Persoalannya adalah to spend, or not to spend? Terutama sekali mereka yang berkemampuan. Berdasarkan tinjauan yang dilaksanakan oleh Roper / Starch Worldwide di Amerika dahulu, hasil mendapati bahawa mereka percaya kebahagiaan tidak dapat dibeli dengan wang. Namun 70 peratus daripada tinjauan tersebut mengatakan kalau gaji atau pendapatan bulanan dua kali ganda, mereka lebih gembira, berpuas hati atau menemukan kebahagiaan.
Sekiranya kita bawa tinjauan ini ke zaman sekarang, ia relevan dengan situasi yang sedang kita alami. Kerana walau apa pun, fiil manusia berbeza-beza. Tidak mustahil budaya revenge buying itu berleluasa selepas perintah berkurung ini tamat. Daripada revenge, ia bertukar menjadi kepuasan hati. Puas dapat memiliki sesuatu yang diidamkan selama berbulan-bulan ini dan meminggir cabaran yang mendatang kelak.
Semuanya berbalik kepada attitude masing-masing dan pendekatan mereka terhadap pembelian. Secara spesifiknya, pendekatan mereka terhadap revenge buying. Manusia sendiri adalah konsumer dan decision-making itu terletak pada diri mereka juga akhirnya.
Mungkinkah revenge buying ini sebenarnya desakan hati? Seperti mana yang ditulis oleh Michael R. Solomon dalam ‘Consumer Behavior’ di mana ada konsumer-konsumer yang didorong oleh compulsion dan “compelled to do so”? Membalas dendam dengan membeli-belah umpama penawar kepada stress atau cemas (kerana berbulan-bulan berkurung), kemurungan (kerana duduk dalam rumah dan tidak boleh buat apa-apa) dan atas sebab melawan kebosanan.
Pesanan kami? Ya, semua orang punya hak ke atas perbelanjaan atau wang masing-masing. Apa yang terbaik adalah lakukan introspeksi dan fikir-fikirkan, “Do I need this?” Wajarkah revenge buying? Kerana kita tidak tahu bagaimana keadaan sebenar selepas tamatnya perintah berkurung atau kawalan pergerakan ini. Adakah COVID-19 benar-benar reda? Lebih baik buat persediaan sebelum terlambat.
Apa pandangan anda?