Posted on June 1, 2020
Mengambil sempena seluruh Sarawak menyambut Hari Gawai bermula hari ini, kami di STAIL.MY mahu melafazkan “Gayu Guru Gerai Nyamai!” kepada semua yang menyambut! Lantaran itu, saya – sebagai anak jati Sarawak – turut mahu berkongsi serta menyenaraikan siapa pereka atau jenama fesyen asal Sarawak, malah yang berpangkalan di Sarawak, yang kamu perlu tahu. Siapa…?
Ingin saya bercerita sedikit tentang perjalanan saya membabitkan diri dalam industri fesyen. Sebenarnya cinta pada fesyen itu sudah merajai diri saya sedari bangku sekolah lagi. Sebagai seorang lelaki yang berasal dari Kuching, saya tidak didedahkan dengan dunia fesyen sewaktu bersekolah dan membesar bersama teman-teman yang taasub pada lapangan sains serta kejuruteraan. Rakan-rakan sekolah berlumba-lumba menimba ilmu yang menuntut segala kemahuan dunia yakni memartabatkan sains dan teknologi. Sementelahan pada masa itu, kami pula adalah generasi yang mendewasa bersama visi ‘Tun M’ – generasi yang sudah tersemat dalam dadanya atau tersimpul dalam visi Tun M tersebut, bahawa sains dan teknologi adalah satu ‘kemestian’.
Pereka fesyen & tekstil Edric Ong
Tinggallah saya membawa kertas dan pen, belajar melukis krokuis dan meredah ketaasuban anak-anak muda yang mahu belajar sains. Sungguhpun pada masa yang sama, saya belajar kejuruteraan di sekolah teknik (hanya kerana mahu menjadi sebahagian daripada ‘hype’ sains dan teknologi). Sedangkan dalam hati, bertahun-tahun menahan cinta pada fesyen. Ilmu fesyen hanyalah terbina menerusi majalah-majalah dahulu seperti KLue, Lime, Galaxie dan Rias. Diperkuatkan lagi dengan lawatan ke muzium besar Kuching juga muzium tekstil dan menjadi personal shopper ibu saya. Terkadang, curi-curi menggunakan internet di pejabat arwah ayah untuk mengetahui serba-sedikit tentang fesyen. Terkadang, menaiki bas dan pergi ke butik Edric Ong di Main Bazaar kerana ia umpama eskapisme saya ke dunia fesyen.
Namun, saya bersyukur kerana mempunyai ibu dan ayah yang tidak pernah menghalang minat anak-anaknya. Sewaktu belajar kejuruteraan di sekolah teknik, ingat lagi pertanyaan ibu dan arwah ayah kepada saya, “Is this something that you wanna do? Buat apa yang kamu minat.” Lantas ia memberi semangat kepada saya untuk mengambil ujian Pendidikan Seni sebagai ‘ekstra’, agar membantu sijil saya. Terutama sekali untuk aplikasi ke universiti, dalam bidang seni reka fesyen. Pabila mendapat panggilan temuduga universiti, ibu dan arwah ayah-lah yang amat teruja. Mereka sanggup mencetak segala maklumat fasal fesyen daripada internet, mengisi akal saya dengan ratusan ilmu fesyen – kisah sejarah fesyen sehinggalah kisah pereka fesyen – untuk dibawa ke temuduga universiti. Alhamdulillah, atas dorongan serta doa mereka dan keteguhan diri, saya dapat melanjutkan karier dalam dunia fesyen sampailah sekarang. Ingat lagi pesan arwah ayah, “Ilmu itu adalah laut maha luas.”
Oleh itu, saya cukup berbangga dengan kehadiran komuniti fesyen generasi baharu di Sarawak yang kini semakin ‘galak’ muncul dan terus bercambah. Ada yang membina namanya di Kuala Lumpur. Ada juga yang tidak mahu berganjak dan berpangkalan di Sarawak, namun mendapat perhatian segenap Malaysia. Malah sedunia! Dengan harapan dunia fesyen terus meluas di Sarawak mahupun Borneo sehingga cerita tentang Sarawak, Sabah serta Borneo sebagai hab fesyen ‘bergema-gema’ di mana-mana sahaja, kami mahu menyenaraikan lapan jenama atau pereka fesyen Sarawak yang kamu perlu tahu. Tambahan lagi, sebagai penghargaan untuk merai Hari Gawai 2020!
Apa pandangan anda?