Posted on January 1, 2020
Superstar spawns. Itulah gelaran saya buat mereka, si anak-anak bintang Hollywood. Yang terbaru ialah Tallulah Willis, anak dara pelakon Bruce Willis dan Demi Moore yang paling muda dan namanya kini menjadi perbualan orang. Tallulah orangnya berbeza ‘isme’ dan dia menggambarkan lagak seorang pemberontak. Berlainan alirannya – tidak seperti bapanya atau ibunya mahupun kakaknya.
Tallulah pernah dimasukkan ke pusat pemulihan kerana masalah dadah juga alkohol, membotakkan kepalanya, berani melangsungkan protes dalam keadaan tanpa sehelai benang… itulah Tallulah. Benar-benar seorang yang rebellious!
Sungguhpun Tallulah tidak giat dalam lapangan lakonan, namun tidak bermakna dia ‘mengambus’ sisi kreatifnya. Tallulah aktif dalam bidang seni yang lain. Dia artis visual dan si fanatik vintaj – dalam temu bualnya bersama Refinery29, Tallulah bakal mengeluarkan himpunan rekaan pakaian vintaj, kerjasama dengan temannya Rachael Finley. Himpunan kolaborasi yang menghidangkan pakaian baju panas yang dilengkapi hasil karya seni Tallulah dengan cogan kata optimis. Dan bilang Tallulah, semua ini tercetus setelah dia pulih daripada masalah-masalah peribadinya, lalu ‘mengisi kekosongan’ dalam dirinya dengan bidang seni serta fesyen.
Namun, cinta Tallulah pada fesyen sebenarnya sedari kecil lagi. Iyalah, membesar bersama-sama dunia glamor ibu bapanya, makanya sudah biasa didedahkan dengan fesyen. Tidak hairanlah cita rasa Tallulah dalam hal berfesyen sangat unik dan distingtif.
Tidak banyak carian atau maklumat tentang gaya-gaya Tallulah dan semuanya sekadar mengenali menerusi Instagram-nya. Setelah mengenali sedikit fasal Tallulah menerusi akaun Instagram-nya, kami ‘jatuh hati’ pada gaya-gaya peribadinya! Sudahlah Tallulah punya susuk jijak persis model, ada biasan rupa Demi Moore, ada sedikit berimej androgini dan berperwatakan cool juga kelihatan seperti perempuan yang loose, disaingi lagi oleh gaya-gaya yang unik, bagai lengkap pakej untuk menjadikannya seorang ikon stail.
Tallulah sepertikan tidak sama dengan perempuan-perempuan lain yang biasa kita lihat. Sementara yang lain asyik dengan gaya tipikal fashion influencer atau menjadi gadis VSCO, Tallulah tidak mengacuhkan semua itu. Dia hendak pakai kot yang penuh bulu-bulu, sambil mendukung anjingnya. Dia kemudiannya muncul dalam gaya ala-ala cereka Wes Anderson – seperti kot bulu bersama seluar serta stokin bercorak dan kasut putih. Ada kalanya, dia menjelmakan gaya feminin yang kelihatan seperti pengaruh French yang effortless dan rupa seperti bermalas-malas.
Apa pandangan anda?