Posted on September 14, 2020
Barisan pelakon The Boys In The Band tahun 1970
Sehabis menonton treler filem The Boys In The Band yang dibikin dalam versi baharu untuk tahun 2020, – bakal ditayangkan di Netflix pada 30 September ini nanti – rasa teruja lekas terbit dalam hati. Tak sabar nak menonton versi baharu yang diolah oleh Ryan Murphy ini, yang membariskan pelakon-pelakon seperti Jim Parsons, Zachary Quinto, Matt Bomer dan Andrew Rannells! Sebuah cereka drama yang plotnya jujur dan telus, di mana berpusat pada al kisah satu hari sekelompok homoseksual di Upper East Side, New York menyambut hari jadi teman mereka yang bernama Harold.
Seraya sibuk bersiap siaga mengadakan parti hari jadi itu, mereka menerokai konflik diri, membincangkan tentang penerimaan seksual orientasi mereka di kalangan famili serta rakan-rakan kolej, kemudian menyentuh isu hubungan amalan monogami dan tentang dilema tidak mengaku dirinya homoseksual. Ia juga menyingkap sikap, sifat atau keperibadian gerombolan homoseksual tipikal yang disaingi dialog-dialog seperti menggelarkan teman masing-masing sebagai ‘fairy’ dan ‘queen’.
Babak teringatkan gaya tarian di Fire Island – versi baharu (atas) & versi 1970 (bawah)
Semua yang dinyatakan di atas ini adalah berdasarkan jalan cerita The Boys In The Band versi tahun 1970. Namun belum pasti lagi bagaimana jalan cerita pembikinan versi baharu oleh Ryan Murphy nanti. Apakah Ryan tidak akan menepikan bulat-mulat plot The Boys In The Band tahun 1970 atau dia akan ubah sedikit-sedikit? Tak tahu lagi.
Buat yang tidak mengetahui filem The Boys In The Band, ia sebenarnya adalah adaptasi yang dicedok daripada seni pentas Broadway yang diasaskan oleh dramatis Matt Crowley. Dipertontonkan pada 1968, The Boys In The Band oleh Matt Crowley ini dikatakan telah ‘meriuhkan’ arus dunia seni pentas ketika itu. Ia menggencatkan akal penonton mainstream yang tidak biasa disuap oleh jalan cerita yang berani seperti The Boys In The Band. Sehinggalah pada 1970, sutradara William Friedkin mengolah ia dalam bentuk filem dan menampilkan pelakon-pelakon asal yang berlakon dalam versi teater Broadway. Selain Kenneth Nelson, termasuklah Peter White, Leonard Frey, Robert La Tourneaux dan Keith Prentice.
Seperkara tentang filem The Boys In The Band yang menambat perhatian adalah penggayaan kostum atau fesyen yang ditonjolkan. Ia sebetul-betulnya mencerminkan gaya ringkas golongan homoseksual era 70an di New York. Gaya berbaju panas, skaf leher, imej prim and proper yang sememangnya sinonim dengan identiti seorang homoseksual.
Pereka kostum, W. Robert La Vine – yang juga seorang pereka kostum untuk seni pentas – berperanan dalam menyusun gaya atau fesyen karakter-karakter dalam The Boys In The Band 1970. Tidak pasti dari mana datangnya inspirasi, namun kerana W. Robert adalah seorang pereka kostum untuk seni pentas dan biasa dengan kehidupan glamor Hollywood, sementelahan pula dia tinggal di Manhattan, kami kira dia mencorakkan fesyen filem The Boys In The band berdasarkan pemerhatian atau sekelilingnya. Terutama sekali, fesyen homoseksual New York pada waktu itu.
Barangkali membayangkan sekumpulan homoseksual di kota New York zaman itu yang menyanjung Judy Garland sebagai gay icon, atau kehidupan homoseksual yang mencintai fesyen dan mengejar gaya hidup kontemporari. Si homoseksual yang suka berpakaian ketat untuk menampakkan susuk jijaknya, gemar bergaya flamboyan dan tidak takut dalam padanan warna serta aksesori. Lelaki homoseksual yang gemar muzikal, yang memandang tinggi Andy Warhol, yang membudayakan parti untuk teman-teman… semua itu tak mustahil menginspirasikan W. Robert.
Watak Emory dalam pembuka filem The Boys In The Band. Dia adalah pereka hiasan dalaman yang ‘loud’ & selesa dengan seksualitinya
Lazimnya, ‘arketaip’ homoseksual selalu dikaitkan dengan peacock males, terma lelaki-lelaki yang suka bergaya ekstra untuk menunjukkan kuasanya, kadang-kadang mengekspresikan sifat maskulin dan mengasingkan mereka daripada lelaki-lelaki konformis. Namun W. Robert menterjemahkan ia dalam penggayaan yang ringkas – dari aspek siluet – kerana latar ceritanya tentang lelaki-lelaki yang sekadar bersantai di rumah. Dia tidak terbelenggu dengan gagasan gaya atau fesyen homoseksual yang ekstra dan yang berani candang. Sebaliknya apa yang W. Robert letakkan pada tubuh watak Michael (watak utama), Donald, Larry, Hank, Bernard dan Emory semuanya kelihatan serba tak rumit dari aspek penggayann, tetapi masih nampak flamboyan.
Berdasarkan pemahaman peribadi, ia diolah sebegitu rupa barangkali kerana mahu menonjolkan karakter masing-masing yang kuat pada perihal watak serta dialog. Di mana masing-masing mahu menampakkan kelakuan lantang dalam menyuarakan pendapat (sifat yang selalunya dikaitkan dengan homoseksual), bersikap spontan, sarkastik dan berkembang rancak ke daya intelek mereka yang kononnya berseni, cultured serta bersifat anti-establishment.
Watak Donald (kiri) & Michael (kanan)
Seperti watak Michael yang mengenakan baju panas cashmere mahal, sedangkan baju panas itu nampak biasa sahaja. Ia mempamerkan watak Michael adalah seorang yang mementingkan gaya hidup kelas – kerana suka jenama mahal dan kelakuan itu selalunya menggambarkan tipikal homoseksual yang suka berbelanja. Malah dalam gaya keduanya, Michael melilit skaf pada leher dan ia mencadangkan sisi femininnya. Secara keseluruhannya, Michael kelihatan sekadar bergaya ringkas, kena dengan usianya. Ada babak-babak lain pula menunjukkan Michael bertukar-tukar baju panasnya dalam pelbagai warna dan babak-babak tersebut umpama memperlihatkan yang dia concern fasal penampilan diri.
Watak-watak sampingan lain seperti Bernard, Larry, Donald dan Hank pun turut bergaya ringkas. Contohnya Bernard yang menyarung baju rollneck ketat, manakala Larry, Hank dan Donald pula hanya menggayakan baju kemeja dress kasual. Watak Hank, lakonan Laurence Luckinbill, sahaja nampak sedikit konservatif – kemeja bercorak jalur dan tali leher – kerana W. Robert mahu menampakkan bahawa Hank adalah seorang cikgu yang pernah berkahwin dan menjalani kehidupan sebagai lelaki straight berbanding yang lain. Daripada gaya Hank itu, bagai bisa mengagak yang dia dahulu mungkin seorang closeted gay dan tidak loud seperti homoseksual tipikal.
Watak Harold (kiri) & Midnight Cowboy (kanan)
Watak Harold yang dilakonkan oleh Leonard Frey antara yang bersiap beria. Dia yang dilihat menggayakan sut double breasted baldu berona hijau, bertali leher dan nampak kemas dari segi penampilan, mencadangkan bahawa dia adalah orang yang dirai. Harold digambarkan sebagai seorang yang mulutnya ligat dengan kata-kata yang tak manis. Di balik gaya bersut yang kelihatan maskulin itu, Harold sebenarnya adalah homoseksual yang fragile. Dia mudah terdedah dengan ketakpastian dalam hidup dan sikap tersebut kontra dengan penampilannya yang kemas rapi itu. Kemunculannya ke parti hari jadi juga lambat, datang dalam keadaan mood yang terganggu, seolah-olah tidak dapat menerima dirinya semakin menua. Berdasarkan penggayaannya juga, disaingi lagi gerak longlainya, dalam ‘sekelip mata’, kita dapat tahu yang Harold adalah seorang yang menyukai seni. Semua itu terbukti lagi pabila Harold berkata tentang dirinya tak bisa bercakap fasal seni dengan lelaki ‘midnight cowboy’, yakni ‘hadiah’ pemberian Emory kepada Harold.
Berbicara fasal Emory yang dimainkan oleh Cloff Gorman pula, dia sengaja digayakan kasual, cukup sekadar berseluar pendek dan berbaju panas lengan pendek. Dia digambarkan sebagai seorang yang sangat campy, bermulut jahat dan suka menyindir. Dari aspek penggayaannya itu, jangkaan tentang watak Emory adalah dia seorang homoseksual yang selesa dengan seksualitinya dan cuba untuk melawan norma gaya lelaki biasa. Emory bukan seorang penyegan. Lantaran itu, dia nampak ‘bebas’, tak terlalu terikat dengan gaya lelaki tipikal. Emory umpama representasi gaya-gaya homoseksual masa kini yang kebanyakannya suka berseluar pendek dan berbaju ketat.
Watak Cowboy – hadiah buat Harold – yang dilakonkan oleh Robert La Tourneaux dilihat mengenakan kemeja ketat, buttoned-down sehingga menampakkan dadanya, dengan skaf leher dan siap bertopi koboi lagi. Menurut apa yang kami tahu, ia benar-benar menggambarkan bagaimana homoseksual Amerika dahulu suka memfantasikan machismo seorang koboi. Kerana barangkali masa itu, homoseksual berimaginasi lelaki-lelaki koboi melepaskan nafsu mereka sesama rakan koboi yang lain, seperti apa yang disandiwarakan dalam filem Lonesome Cowboys, karya Andy Warhol. Agaknya.
The Boys In The Band versi 2020, arahan Ryan Murphy yang akan ditayangkan di Netflix
Setelah lima dekad, filem William Friedkin ini diberi nafas baharu. Segala perkiraan tercetus dalam menunggu The Boys In The Band versi baharu yang akan ditayangkan bulan ini. Terfikir-fikir juga, mampukah versi baharu ini mengeluarkan warna-warni karakter seperti mana versi lama? Nantikan.
Apa pandangan anda?