Posted on November 11, 2020
Minat pada fesyen menggunung enam tahun yang lalu. Ketika dia berusia 13 tahun. Wisdom Kaye tidak pernah membenamkan minat itu dan sehingga kini – dia sudah berusia 19 tahun – dia menawan perhatian kerana merangkul gelaran lelaki paling stailish di platform media sosial. Apakah ia betul? Ya, betul. Kami tidak menidakkan fakta tersebut!
Best dressed guy, most stylish guy… Wisdom mengepal erat semua gelaran itu. Pendirian gaya yang disaingi oleh keyakinan diri bukannya datang daripada pengalaman manis. Kaye pernah dibuli kerana susuk jijaknya, lalu dia cuba untuk bergerak sealir senada dengan yang lain. Namun, kepuasan diri tidak memekat dalam jiwanya. Kiranya, ketidakpuasan itu serasa lopong dalam diri. Ah, Kaye apa lagi. Cuba mengubah dirinya.
Katanya, “Saya mula berhenti peduli apa orang berfikir tentang diri saya,” dan dia terus mahu menerokai fesyen. Bukan sekadar alang-alangan, tetapi dengan gigihnya, Kaye benar-benar mengamati fesyen.
Mengagumi Hedi Slimane dan Rick Owens, Kaye kini menghimpun empat juta pengikut di TikTok dan lebih 600 ribu di Instagram-nya. Sepertikan look-book, Instagram Kaye penuh dengan gambar-gambar penggayaannya – daripada pakaian sehinggalah aksesorinya. Melaram dalam jenama-jenama seperti Dior Men, Celine, Versace, Maison Margiela dan Telfar. Rata-ratanya berlatarkan dinding berona terang dan Kaye terlihat mengambil gambar #OOTD dengan aksi ‘unik’ lapang longlai umpama menari-nari. Kiranya, itu adalah aesthetic dia-lah.
@wisdm8 The physical toll exerted on my body—
Beralih ke akaun TikTok pula, bilangan pengikut berjuta Kaye melihat kandungannya yang lebih kreatif. Bukan sekadar gambar #OOTD, tetapi postings video yang lazimnya apa influencer fesyen TikTok buat. Berkaitan tips stail, manual padanan gaya, unboxing haul dan macam-macam lagi – antaranya seperti “Make an Outfit in Under 50 Seconds”.
Menyentuh tentang stail peribadi Kaye, pernah dia kata dalam temu ramah bersama Vogue bahawa dia suka menampilkan diri seperti berada dalam era lain. Berbekalkan rangka tubuh yang tinggi kurus itu, Kaye menjinakkan dirinya dengan gaya-gaya yang ada pengaruh era 70an. Think of big lapel jackets with bell bottom pants and floral shirts. Oh, and colours!
Bagi merai Wisdom Kaye sebagai ikon stail lelaki masa kini, kami kongsikan sepuluh tips stail yang kita boleh kutip daripada penggayaannya :
IKAT SIMPUL HUJUNG BAJU
Tidak ada peraturan yang mengatakan ikat hujung baju dan buat simpulan hanya untuk perempuan sahaja dan tisak salah untuk menayangkan kulit sedikit. Kaye menyimpul hujung baju ala blaus-nya, yang bercorak flora dan dia pakai lagi bersama seluar slek potongan bootcut. I mean, bukannya Helen Shivers daripada filem I Know What You Did Last Summer sahaja yang mampu menyimpul hujung kemeja.
MELABUR KE ATAS SELUAR BOOTCUT SARAT CORAK
Sejujurnya, sudah lama tak kelihatan lelaki menggayakan seluar yang sarat corak. Like an in-your-face pattern. Or is it just me. Paling-paling pun, seluar bercorak Houndstooth yang samar-samar.
Take a cue from Kaye. Kaye memadankan seluar yang sarat corak dekorasi ini bersama kemeja putih – caranya untuk mengimbangi penampilan. Well, seandainya kamu takut untuk nampak loud, kutip saja cara Kaye ini! Mengenali Kaye yang berani candang, dia pakai lagi seluar itu bersama kasut but merah dan persoalannya : jika Kaye berani, mengapa kamu tidak?
WHITE PANTS’ NOT DEAD
Kaye membuktikan bahawa seluar putih masih belum ‘pupus’ lagi selepas tahun 1983. Dia memberi harapan yang seluar putih masih lagi relevan untuk digayakan. Cara Kaye untuk menggayakan seluar putihnya adalah… dengan menyesuaikan ia bersama top sarat corak seperti top Dior Men yang dia pakai ini – peraturan padanan putih bersama ceraian bercorak ini sama juga dengan cara padanan seluar sarat corak (di atas).
BERGAYALAH SEPERTI LELAKI 70AN
Memang Kaye kelihatan seperti berada dalam era lain. Dia antara yang berani menggayakan sut dubel bras lapel peak bersama seluar slek potongan bootcut dan di dalamnya kemeja bercorak. Malah padanan ceraian-ceraiannya daripada keluarga rona yang hampir sama pula. Lihat sahaja trend lelaki musim luruh dingin 2020 – daripada Dries Van Noten ke Tom Ford sehinggalah Gucci, semuanya mengembalikan trend era 70an.
DITCH SHIRT, GO BLACK ON BLACK
Jangan pernah takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Sepertimana yang ditunjukkan oleh Kaye di sini!
Menggayakan jaket dubel bras berona hitam tanpa kemeja di dalam? Percayalah, it works. Kalau tak berani pun, cukup sekadar memakai kemeja T ketat – contohnya kemeja T AIRism UNIQLO. Kerana tiba masanya untuk beri perhatian pada jaket atau sut hitam kamu, agar ia tidak lagi menjadi halimunan. Dan jika sudah menggayakan jaket hitam, padankan ia bersama seluar kulit atau jean hitam. Sekali lagi kami ingatkan, tiba masa untuk beri perhatian pada helaian hitam kamu!
SELUAR BERPINGGANG TINGGI
Picture this : lelaki dalam seluar berpinggang tinggi atau high-waisted pants. Rasa-rasanya kami tidak perlu menerangkan atau memberikan huraian, kut. Sempurna!
GRANDAD CARDIGAN AS OUTERWEAR
Orang kata kardigan untuk orang tua sahaja. Tetapi kami di STAIL pula kata, siapa peduli! Kardigan grandad untuk semua usia! Lihat bagaimana Kaye menjadikan kardigan grandad nampak cool. Dia menyesuaikan ia bersama kemeja T bercorak grafik dan sepasang jean potongan slim.
MELABUR KE ATAS BEG MIKRO
Pencinta fesyen seperti Kaye pastinya tidak shy away daripada trend beg silang mikro. Apatah lagi dia menggayakan beg yang menjadi item hangat baru-baru ini yakni beg Telfar. Beg silang mikro bukan hanya praktikal untuk dipakai untuk lelaki masa kini, namun ia juga bisa menjadi focal point dalam penampilan. Jenama seperti Burberry, Fendi, Dior dan Prada contohnya sudah mengeluarkan bermacam-macam gaya beg silang mikro untuk dicocokkan dengan kehendak lelaki.
Cuma kami pelik pabila melihat ada lagi lelaki yang mengepit clutch – bukan kami tidak suka, tetapi clutch rasanya sudah boleh disimpan.
BANDANA KEY’S BACK?
Nampak gayanya, ya. Bandana key kembali menjadi pelengkap gaya lelaki. Melihat bagaimana Kaye mengikat ia di kepala sepertikan skaf, mengingatkan kita pada penggayaan 90an, kan? Dia pakai lagi bandana key itu bersama jaket varsiti serta seluar kapas potongan regular, benar-benar menghidupkan fesyen era 90an. Think of Tupac meets Axel Rose.
JAKET KULIT, SLIM TIE UNTUK GAYA MALAM / WORKWEAR
Antara gaya yang lama tidak kelihatan namun Kaye berani memunculkan ia semula di radar fesyen. Jaket kulit dipakai bersama tali leher slim bagi menggantikan black tie dan membayangkan diri menggayakan ia ke acara formal. Namun, gaya ini belum lagi ‘pupus’. Lihat bagaimana Celine dan Saint Laurent Paris contohnya, masih memelihara estetika penggayaan jaket kulit bersama tali leher. Bermakna, Kaye tidak silaplah dalam percaturan gaya sebegini.
Apa pandangan anda?