Posted on November 29, 2019
Menerbitkan provokasi, umpama menembusi akal budi Alessandro Michele. Yorgos Lanthimos menitipkan daya kreatif serta bercanda ria dengan kehebatannya dalam menghidupkan imejan-imejan Gucci Cruise 2020. Memvisualkan citra teatrikal, sedikit radikal dan bisa mengepung pemerhati untuk mempersoalkan ceritera di sebaliknya, Alessandro sengaja membiarkan Yorgos berkarya. Lantas terhasilnya imejan-imejan yang bersandarkan perihal yang bersangkut paut dengan seni bina graha bersejarah Itali.
Inspirasi Yorgos adalah Villa Albani Torlonia di Rom yang dibina pada abad ke-18 oleh arkitek Carlo Marchionni. Carlo pula dipengaruhi oleh seni bina figura-figura ternama seperti Giovanni Battista Nolli, Giovanni Battista Piranesi dan Johann Joachim Winckelmann. Terbangunnya Villa Albani Torlonia menjadi gedung ilmu, wadah tumpuan budaya yang mengetengahkan konsert, balai tari dan ruang lipur lara.
Yorgos memotret gambar-gambar perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki tua yang dironai putih pada wajah-wajah mereka untuk mencerminkan simbahan pucat putih marmar. Perempuan-perempuan dan lelaki-lelaki ini bergaya bak patung arca dan berinteraksi dengan anak-anak muda yang sakan bergaya memakai helaian-helaian berwarna-warni daripada Gucci Cruise 2020. Sepanjang menghasilkan gambar-gambar ini, Yorgos menyisip mesej kemanusiaan – di mana patung-patung arca tua ini bersentuhan, berdakap-dakapan serta bermesra dengan anak-anak muda yang datang melawat ke villa. Yorgos mengajak pemerhati untuk mengamati hubungan antara keabadian patung-patung arca ini dengan subjek (anak-anak muda) yang kehidupannya sementara sahaja.
Imejan-imejan kempen Gucci Cruise 2020 ini bukan sahaja menepati selera atau kehendak Alessandro, ia malah mencerminkan estetika Yorgos. Misalnya, imejan-imejan yang sepertikan mengganggu emosi pemerhati, straightforward, terkadang ada selitan jenaka sedikit, cinematic dan provokatif, yang sememangnya dekat pada hati Yorgos.
Buku edisi terhad yang menghimpun imejan-imejan Gucci Cruise 2020 oleh Yorgos, yang diterbitkan oleh IDEA, sudah mula dikeluarkan oleh Gucci pada bulan November ini. Berjudul Oviparity dan dijual pada harga 70 Euro. Oviparity ini juga tersedia di Gucci Garden di Florence dan Gucci Wooster di New York. Dan, oleh sebab projek klaborasi Yorgos dengan Gucci ini juga, Villa Albani Torlonia telah dibaik pulih!
SIAPA YORGOS LANTHIMOS?
Sedikit fakta mengenai Yorgos Lanthimos, insan yang bertanggungjawab menghasilkan imejan-imejan Gucci Cruise 2020. Di samping fotografer, Yorgos adalah seorang pengarah atau sutradara filem, penerbit serta penulis skrip lakon layar asal Greece. Antara hasil kerjanya yang mendapat penghargaan adalah filem The Favourite di mana Yorgos bertindak sebagai pengarah juga penerbit untuk filem tersebut. Filem The Favourite juga mendapat pencalonan untuk Best Picture juga Best Director di Academy Awards tahun ini. Dan pelakon utama The Favourite yakni Olivia Colman merangkul anugerah Best Actress.
Pembabitan Yorgos dalam dunia fesyen bukanlah baharu pun. Sebelum-sebelum ini, Yorgos pernah menyumbang idea fotografinya untuk Vogue Greece isu Julai 2019 – yang memerihalkan summer fashion story berjudul ‘Sea’. ‘Sea’ yang berjumlah 40 muka surat itu berlatarkan Athens, menerusi lensa mata Yorgos yang bukan asing lagi dalam mengolah visual-visual unik.
Apa pandangan anda?