Posted on January 29, 2020
FAZRINA RAZIF – USAHAWANITA
1. Siapakah di sebalik nama Fazrina Razif dan apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Nama saya Nur Fazrina binti Mohd Razif. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Saya belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil kemudian dipilih untuk menyertai Pasukan Gimnastik Artistik Negara, dan turut berlatih di Majlis Sukan Negara. Selepas beberapa tahun, saya membuat keputusan untuk bersara dan menghabiskan pelajaran saya di peringkat sekolah menengah dan ‘A-levels’ di Perth, Australia. Seterusnya, saya melanjutkan pelajaran saya sehingga Ijazah Sarjana dalam Accounting & Finance dan juga Masters in Commerce.
Selepas 10 tahun di sana, saya pulang ke Kuala Lumpur untuk mengambil alih syarikat ibu saya, di mana saya sekarang bekerja di Kuala Lumpur sebagai Pengurus Stesen Minyak. Di waktu senggang, saya suka bersenam, menonton video mengenai penjagaan kulit, bermain badminton, keluar mengopi bersama keluarga dan kawan-kawan, ataupun berehat di rumah dengan seekor kucing peliharaan saya.
2. Apakah kelebihan menjadi seorang bekas gimnas negara?
Semasa latihan dan pertandingan, saya berhadapan pelbagai cabaran mental dan fizikal. Pada masa sama, saya dapat meneroka kekuatan dan kelemahan diri dari segi fizikal dan mental. Saya belajar bagaimana rasa kesusahan, kita harus bersyukur, bersabar dan jangan mudah berputus asa.
3. Selain daripada sukan gimnas, apakah bidang lain yang Fazrina ceburi?
Selain gimnastik, saya juga aktif dalam sukan renang. Saya pernah bertanding di peringkat MSSKL dan mewakili Kuala Lumpur di Kejohanan MSSM. Tetapi antara kedua-dua sukan tersebut, saya membuat keputusan untuk memberi lebih fokus pada sukan gimnastik pada masa itu.
4. Pencapaian terbesar sepanjang hidup
Pencapaian terbesar saya ialah mengatasi sebarang kesusahan dan berjuang untuk perkara yang membuatkan saya gembira.
5. Siapakah Fazrina Razif 10 tahun ke hadapan?
InsyaAllah saya berharap untuk menjadi lebih kuat, bahagia, berdikari dan menjadi bos wanita yang berjaya.
6. Apakah yang kamu mahu capai pada 2020 ini?
Saya berhajat untuk kerap melancong, berusaha untuk mempunyai mental dan fizikal yang lebih cerdas dan cergas, menguasai sebarang cabaran dalam kerjaya saya.
7. Apakah keistimewaan kamu berbanding orang lain?
My obsessive-compulsive-disorder. Saya tidak pasti sama ada saya mempunyai ‘OCD’ atau tidak, tetapi saya seorang yang sangat tegas dan teliti dalam bab-bab kebersihan. Contohnya saya mempunyai cara saya tersendiri untuk membersih dan mengemas. Ia perlu dilakukan dengan cara tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, saya melihat perkara ini sebagai kekuatan dan kelebihan saya.
8. Australia parah dengan kebakaran, apakah tindakan kecil kamu untuk membantu mereka?
Ia benar-benar mengecewakan hati apabila membaca berita tentang apa yang terjadi di Australia baru-baru ini. Lebih-lebih lagi kerana saya pernah menetap di negara tersebut untuk beberapa tahun. Oleh itu, saya dengan rela hati ingin membantu dengan apa yang saya mampu. Saya juga ingin meningkatkan kesedaran tentang kesungguhan perkara ini serta berkongsi maklumat mengenai sumbangan yang dapat membanteras peristiwa tersebut.
9. Bagaimana cara Fazrina melepaskan tekanan?
Bagi melegakan tekanan, saya akan ke gim! Menyertai kelas ‘Body Combat’ dan ’Body Pump’ membantu tekanan harian saya dan saya benar-benar sukakannya.
10. Kesan Instagram terhadap kehidupan kamu. Apakah yang perlu dielakkan?
Pada pendapat saya, Instagram sangat menyeronokkan tetapi, ia berpotensi menjadi sedikit toksik dari semasa ke semasa. Oleh itu, saya mencuba sedaya upaya untuk mengelakkan daripada terpedaya dalam perkara negatif di media sosial. Jangan ambil serius di media sosial, dan elak membandingkan diri sendiri dengan orang lain malah hanya menjaga diri sendiri dan berseronok berpada-pada sahaja.
Apa pandangan anda?