Posted on February 2, 2017
Gambar: Chee Wei/ Yipieyaya Teks: Zaidi Che grooming: Fendi Sani Pakaian: COS Sitting editor: Azreezal Hafidz
BRIAN KHOO, 27 – PEREKA FESYEN
1 – Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu, apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Saya seorang pereka fesyen berasal dari Sandakan, Sabah. Sejurus tamat persekolahan, kami sekeluarga berpindah ke Australia. Saya melanjutkan pengajian ‘Sarjana Muda dalam Bidang Fesyen’ di sana.
Pernah bekerja di China dan mengambil keputusan untuk kembali ke tahah air bagi memulakan jenama fesyen saya sendiri, BRIAN KHOO yang baru sahaja dilancarkan lewat April 2016.
2 – Kamu juga pernah menjadi seorang pelatih di Dior, bukan? Ceritakan pada kami.
Sejujurnya, saya tak pernah menyangka terpilih menjalani latihan industri (internship) di rumah fesyen ternama dunia ini. It was so exciting yet very stressful.
Kerana Dior nama yang sangat besar dan berpengaruh. Mampukah saya? Saya bisik dalam hati, saya mahu menimba ilmu dan pengalaman untuk kembali berbakti kepada Malaysia.
3 – Perkara terbaik atau momen membekas yang dilalui sepanjang waktu itu?
Bertemu Pengarah Kreatif, Raf Simons dan bersemuka bersama Anna Wintour.
Melihat dan mempelajari proses pembikinan busana. Paling menarik, saya dapat menyentuh busana-busana Christian Dior dari era 1950-an, 1960-an hingga kini yang tersemat rapi di ruang arkib. Menyentuh dengan tangan saya sendiri. Saya merasakan seperti menyentuh sebahagian sejarah.
4 – Sewaktu kamu membesar, bagaimana kamu tahu kamu suka mereka-cipta busana dan meminati fesyen?
Fesyen adalah sesuatu yang amat saya mahu lakukan. Sedari usia lima tahun, ibu mengajar saya cara menjahit. Membawa saya setiap kali dia pergi membeli fabrik. Suka saya melihat kain-kain yang berwarna-warni bersamanya.
5 – Siapa atau apa yang menyumbang kepada pengaruh kreatif kamu?
Ibu saya. Dia pandai menjahit baju. Menjahit persalinan untuk saya, keluarga dan juga buat dirinya. Saya bisik dalam-dalam, kelak bila dewasa, saya mahu menjahit busana yang cantik-cantik untuk dia. She’s my biggest inspiration.
6 – Mesej yang ingin dipersembahkan melalui koleksi kamu?
Suka saya mendengar muzik, melihat gaya hidup selebriti dan membaca perjalanan kehidupan mereka. Saya akan mereka-cipta sesebuah koleksi atau busana berdasarkan kisah-kisah tersebut. Biar busana saya yang bercerita.
7 – Projek/usahama terbaru kamu?
BRIAN KHOO Spring/Summer 2017
Koleksi ini mengambil inspirasi kisah hidup pelakon Perancis, Brigitte Bardot. Ia berdasarkan riwayat hidup dan filem 1960-an yang dibintanginya, “And God Creates Women”. Seperti yang dikatakan sebelumnya, saya mereka-cipta busana berdasarkan kisah-kisah kehidupan mereka.
8 – Bagaimana stail kamu membantu dalam mencorak proses rekagaya koleksi?
Stail peribadi saya sangat ringkas. Bagi saya, sehelai t-shirt polos sudah memadai. Namun ketika saya mereka-cipta persalinan wanita, saya mahu mencipta busana yang benar-benar menyerlahkan sisi keyakinan tiap wanita yang menyarungnya.
Terkala wanita tidak tahu apa yang mahu dipakainya. Kadang-kadang mereka takut untuk menonjol diri. Justeru saya bermain bersama siluet, cut-lines dan jenis potongan bentuk badan. The silhouette is very strong, very sexy, feminine and also classy. SILUET ITU WANITA.
9 – Bagaimana kamu melihat kehidupan?
Kehidupan itu sebuah perjalanan. Ia mengajar banyak pengalaman. Boleh jadi pengalaman yang benar, boleh jadi juga pengalaman yang salah. Usah hirau yang negatif, tukarkan ia kepada positif. Dan kamu harus belajar dari kesilapan. Kerana kesilapan itu menjadikan diri kamu yang baru.
10 – Stail dan fesyen bagi seorang Brian Khoo?
Stail adalah perwatakan. Ia bersifat personawi. Sesuatu yang berada di dalam diri, yang ingin kamu tonjolkan pada semua tentang SIAPA DIRI KAMU. Sesuatu yang harus membuat kamu selesa dan gembira.
Fesyen pula adalah keseronokan. Sesuatu yang harus kamu mainkan dan jelajahkan. Dalam kata mudah, fesyen adalah perjalanan untuk mengenali apa sebenarnya STAIL KAMU.
Apa pandangan anda?