Posted on January 23, 2017
Gambar: Chee Wei/ Yipieyaya Teks: Zaidi Che Solekan & dandanan: Emmy Agung Pakaian: COS Sitting editor: Azreezal Hafidz
JANICE LOW, 23 – PERAGAWATI / juara ‘i want to be a model 2016’
1- Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu, apa yang kamu lakukan dalam hidup dan karier?
Saya mula menjadi peragawati selepas menjuarai program realiti pencarian model, “I Want To Be A Model 2016” musim ke-4, lewat Ogos tahun lepas. Kini, saya bergelar peragawati sepenuh masa.
2 – Ceritakan bagaimana kali pertama kamu menceburi bidang peragaan ini?
Sebelumnya, saya bekerja di sebuah kafé. Saya punya kawan, yang kebetulan seorang penata gaya (stylist), selalu mengunjungi kafé tersebut. Saya ceritakan segala keinginan dan impian saya untuk menjadi seorang peragawati.
Atas sokongan dan nasihat dia, saya memberanikan diri melangkah kaki ke uji bakat “I Want To Be A Model 2016” anjuran 8TV. Sampai hari ini, saya tak sangka saya berjaya bergelar juara. This is how I started my journey.
3 – Terangkan pula, atas dasar apa dan kenapa kamu mahu menjadi seorang peragawati?
Pertamanya, saya mahu mencabar diri sendiri. Mencabar supaya menjadi yang terbaik dan tercantik. Saya mahu memberi inspirasi kepada gadis-gadis di luar sana supaya mengambil peluang masa belia kita ini untuk maju selangkah lagi ke hadapan dalam kehidupan. Masa muda tidak menunggu kamu.
4 – Sebagai juara musim ke-4 “I Want To Be A Model 2016”, ceritakan bagaimana kamu memenanginya?
Ramai orang bilang wajah saya sangat versatil (ketawa). Namun faktor luaran (rupa dan ketinggian) itu tidaklah menjamin kamu untuk senang berjaya.
Kamu harus fokus, bekerja keras serta mampu lunaskan arahan dengan persembahan terbaik. Kamu juga harus mempunyai sepotong hati yang baik. Selalulah lakukan perkara yang baik-baik sahaja dan sentiasa menjaga hubungan sesama manusia. Be kind and see the good in everyone.
5 – Pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang pertandingan tersebut?
Sebaik kamu bergelar seorang peragawati, kamu harus menjaga segalanya dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Paling utama, kamu harus menjaga dan memelihara berat badan yang ideal.
Sejujurnya, sebelum ini saya sedikit montel. Dalam sesebuah pertandingan, kamu harus bersaing bersama gadis-gadis yang jauh lebih cantik dan berbakat serta yang memiliki susuk tubuh yang jauh lebih ramping daripada kamu.
Saya harus menurunkan berat badan dalam masa yang sangat singkat, di samping perlu melakukan cabaran-cabaran sepanjang pertandingan berlangsung. People keep on asking about my weight and I was so stressed.
6 – Pengajaran dari pengalaman tak terlupakan itu?
Sebelum ini, saya tidak pernah yakin dengan diri. Saya tidak merasa diri saya cantik. Tidak merasa yang saya cukup tinggi untuk memasuki dunia yang penuh sempurna ini.
Namun, percayalah pada diri. Terus lakukan apa sahaja yang kamu rasa kamu tidak boleh lakukan. Jangan lengah dan bertagah. Bersenam dan jadualkan pemakanan seimbang serta diet yang sihat. Pantas lakukan yang terbaik, berfikiran positif dan percaya diri.
7 – Apakah keadaan fikiran (state of mind) kamu semasa melewati pentas runway?
Kata kuncinya, YAKIN. Tika melangkah, terus-terusan saya berbisik pada diri, SAYA CANTIK, BIJAK DAN LAYAK berjalan atas pentas ini. Khayal yang pentas peragaan itu kepunyaan sendiri.
8 – Adakah kamu melihat ada perbezaan yang ketara antara peragawan dan peragawati?
Bagi saya, pasaran untuk peragawati lebih besar berbanding peragawan. Ini kerana, keluaran fesyen dan aksesori wanita yang lebih pelbagai. Kiranya ia memberi kelebihan tetapi ia juga membawa persaingan yang lebih hebat buat kami, peragawati. Dan yang pasti, kami harus memakai kasut tumit tinggi. Nothing can beat high heels.
9 – Idola dan sumber inspirasi kamu?
Irene Kim dari Korea Selatan. Saya suka gaya dan keyakinan dia. Kim memberi inpsirasi dan semangat buat saya menempuh onak dan ranjau berduri.
10- Stail & fesyen bagi seorang Janice Low ?
STAIL MEWAKILI PERSONALITI. FESYEN PULA ADALAH AKSESORI YANG DIPILIH BAGI MENENTUKAN STAIL. MENENTUKAN SIAPA DIRI KAMU.
Apa pandangan anda?