Posted on January 24, 2018
Gambar: Chuan Looi/Yipieyaya Studio Solekan: Fendi Sani Pakaian: Afiq M Arahan Seni: Merrissa Emilda Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani Video: Ryan Mohamad & Ashura Hakim
Hannah Delisha, 22 – Penyanyi & Pelakon
1 – Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu?
Berasal dari Singapura. Seorang pelakon, juga penyanyi. Ia anugerah dan bakat yang Allah kurniakan pada saya dan saya yakin akan menggunakannya dengan erti kata benar. Syukur, buat masa ini rezeki saya melimpah di Malaysia.
Seorang yang introvert. Walaupun suka berkawan, tetapi saya sebenarnya seorang yang sangat pemalu. Jika kamu mesra dengan saya, tentulah saya juga akan lebih mesra dengan kamu. Cuma pada masa-masa tertentu, saya lebih gemar menyendiri. Ada beberapa perkara yang saya pendamkan sendiri. Lebih-lebih lagi tentang perkara peribadi.
2 – Bagaimana kamu menceburi industri lakonan di Malaysia?
Bermula dalam bidang seni suara terlebih dahulu. Kemudian barulah saya berlakon di Singapura. Kemudian, saya mendapat jemputan dari pihak Astro untuk membuat persembahan di sebuah rancangan. Bersama KRU Studios, Astro melamar saya menjadi artis di bawah naungan mereka.
3 – Filem/drama pertama lakonan kamu?
Drama pertama lakonan saya adalah “Farhana”. Ia berkisahkan gadis berwatakan tomboy yang jatuh cinta dengan majikannya. Kebetulan majikannya itu ada saudara kembar. Terdapat banyak konflik percintaan dan keluarga yang terjadi sepanjang drama ini.
4 – Bagaimana kamu melihat perbezaan antara industri perfileman di Malaysia dengan Singapura?
Agak sama cuma di Malaysia lebih mengejar masa. Kalau di Singapura, set penggambaran filem lebih santai. Dari segi krew dan produksi, saya kira tiada perbezaan yang ketara kerana ada juga yang datang dari Malaysia.
5 – Apakah ada perbezaan ketara antara pelakon dan penyanyi?
Saya boleh katakan berlakon lebih penat daripada menyanyi. Namun dalam bidang nyanyian kamu harus memberikan 100% komitmen dalam persembahan. Tekanan lebih tinggi di bidang nyanyian. Di sisi lakonan pula, walaupun penat, sekurangnya-kurangnya kamu boleh perbaiki atau ulang semula jika terdapat kesalahan pada lakonan kamu. Pengarah, krew produksi dan rakan-rakan artis sedia membantu.
6 – Bagaimana kamu menjaga penampilan di masa sedang sibuk mengimbangi kedua-dua karier?
Sejujurnya, sebelum melangkah ke industri, saya seorang yang sangat ringkas. Namun industri memerlukan kamu untuk lebih kelihatan menawan. Saya tetap dengan cara saya, cuma pada masa sama saya mainkan penampilan yang senang dipandang orang. Saya cuba untuk mengimbangi kualiti kerja dengan penampilan.
7 – Pada hemat kamu, kenapa wanita mengenakan solekan?
Sebenarnya, wanita tidak mahu pun memakai make up. Ia perkara yang amat leceh. Kalau boleh kita (wanita) mahu kulit muka yang licin dan bebas cela. Kalau mahu bersolek pun, cukup sekadar maskara.
8 – Rutin penjagaan wajah harian kamu?
Sebaik bangun pagi, kamu harus membasuh muka. Ia perkara wajib. Selepas itu sapukan toner, kemudian oleskan gel aloe vera untuk look semula jadi. Ia juga bertindak sebagai agen pemulus wajah.
Sebelum masuk tidur pula, saya akan tanggalkan solekan menggunakan pembersih solekan bersama makeup wipe. Setelah itu basuh muka seperti biasa. Senyawakan kulit wajah dengan krim malam atau masker, sekali dalam seminggu.
9 – Ada perancangan melebarkan sayap ke Indonesia?
Jika ingin berlakon atau menyanyi di Indonesia, perkara pertama yang kamu harus perhatikan adalah bahasa. Kamu harus fasih berbahasa Indonesia. Saya harus mempelajari bahasa dengan lebih mendalam lagi kerana saya tidaklah terlalu fasih berbahasa Melayu. Jadi, saya harus memperkasa dan memperkaya kemahiran bahasa saya terlebih dahulu sebelum pergi ke Indonesia.
10 – Harapan dan sasaran bidang lakonan dan nyanyian kamu bagi 2018.
Untuk 2018, akan ada beberapa filem yang akan dikeluarkan. Harapan saya supaya mendapat maklum balas yang positif daripada penonton terhadap lakonan saya.
Nyanyian pula, saya harapkan perkara yang sama. Supaya orang makin suka dengan muzik saya. Serta single terbaru, “Tak Perlu Kata Apa-Apa”, lirik ciptaan saya sendiri bersama susunan muzik oleh Faizal Tahir dari Faithful Music.
#skingoals: Bebas dari parut dan cela. Wajah yang berseri.
Produk saranan kami untuk jenis kulit SEPERTI hannah delisha
- Tarte Deep Dive Cleansing Gel
- Origins Dr.Weil Mega Mushroom Skin Relief
- Pixi Overnight Glow Serum
- Sephora Collection Instant Moisture + Cream
Produk boleh didapati di Sephora
Apa pandangan anda?