Posted on January 3, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Luruh/Dingin 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
MANISHA ROSE (18 TAHUN) – MODEL/PELAJAR
1- Pertama, terangkan segalanya tentang kamu.
Nama saya Manisha Rose, saya berumur 18 tahun dan baru sahaja tamat persekolahan dan selesai menjalani SPM. Buat masa ini, saya masih belum punya rencana untuk menyambung pelajaran. Namun saya bercadang untuk memulakan perniagaan. Mungkin saya akan lakukan kursus pendek juga. Saya dilahirkan dalam keluarga yang berbagai bangsa dan sangat terbuka. Senantiasa saling menyokong antara satu sama lain. Selain itu, kami juga sebuah keluarga yang gemarkan musikal. Saya gemar menyanyi, berlakon dan menari. Begitu juga keluarga saya.
2- Apa hobi kamu?
Saya gemarkan fesyen jadi saya sering mereka baju di masa lapang. Dan hobi lain, semestinya menyanyi. Muzik memainkan peranan penting dalam hidup saya. Bercerita tentang pengalaman, ketika sekolah dahulu saya sering menyertai pertandingan menyanyi dan saya juga sertai tim koir Seni Budaya mewakili Malaysia. Saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penyanyi, namun saya rasa saya patut hold dulu keinginan itu kerana saya sekarang lebih terarah dan berminat akan bidang modelling. Saya pernah menyertai beberapa shoot editorial majalah dan pengalaman pertama saya adalah bersama Duck Cosmetics untuk video komersial mereka. Oh ya, saya juga banyak bekerjasama bersama jurusolek Att Yusof.
3- Siapa yang menjadi inspirasi kamu dalam kerjaya modelling ini?
Ibu saya. Dia seorang yang tabah dan juga yakin dengan diri sendiri. Dan apabila saya melihat itu, terus terdetik di dalam hati untuk menjadi seperti ibu. Ibu sering memberi dorongan kepada saya untuk menjadi seorang yang lebih baik. Sering menyokong saya untuk menyertai pertandingan, walaupun saya tidak mempunyai keyakinan diri, ibulah yang banyak membantu.
4- Saya lihat kamu banyak bekerjasama dengan jenama kosmetik Etude House, apakah peranan kamu di situ?
Ia sebenarnya satu pertandingan yang saya sertai anjuran Etude House di mana kami perlu membuat video mekap yang simple, dan saya terpilih kemudian kini menjadi salah seorang content creator buat jenama ini. Ia adalah kontrak sehingga Disember 2018 yang lalu. Jadi kami banyak bekerjasama dalam menghasilkan video-video tutorial solekan untuk mereka.
5- Kamu mesti sukakan solekan, ada sebarang beauty look dan beauty guru pilihan?
Saya sangat sukakan kecantikan wanita Korea, baik daripada segi mekap mahupun penjagaan wajah. Saya sukakan Hillary (@hyulari) dan juga Leean (@suzuln). Bagi saya solekan wanita Korea ini lebih natural. Saya suka melihat wanita-wanita di luar sana bermain dengan solekan bold dan gila-gila, namun jika hendak disarungkan pada saya, mungkin ia nampak pelik dan tidak kena dengan personaliti saya. Jadi saya lebih memilih inspirasi daripada mereka yang sukakan solekan natural, bukan seperti Jefree Star haha.
6- Saya lihat Instagram kamu, kamu juga seorang yang gemar mengembara. Boleh kongsikan bersama kami?
Ya, saya sangat gemar mengembara daripada kecil lagi. Mungkin kerana ayah saya seorang pramugara begitu juga ibu seorang pramugari. Dan ketika saat kita sedang temu bual ini, saya bakal terbang ke Seoul dalam masa beberapa hari lagi. Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk percutian hujung tahun ini. Oh, saya sukakan Seoul dan Los Angeles. Seoul kerana BTS! (ketawa) dan juga ia bagai syurga kosmetik dan penjagaan wajah. Jika berbicara tentang pengalaman pengembaraan yang paling tidak boleh saya lupakan ialah pengalaman ke Coachella 2018. Saya berpeluang berjumpa dengan banyak selebriti Hollywood seperti Vanessa Hudgens dan Arianna Grande! Tahun ini saya berharap saya dapat ke festival ini lagi, namun memikirkan soal proses untuk mendapatkan tiketnya sahaja amat sukar, mungkin saya harus lupakan sahaja niat itu. Tambahan lagi, tahun ini saya mahu memfokuskan kepada perusahaan saya.
7- Boleh kamu kongsikan dengan kami rencana bisnes kamu itu?
Ia adalah projek saya bersama teman baik saya. Kami amat sepadan dan daripada situ tercetusnya idea untuk mencipta jenama fesyen saya sendiri. Saya lebih kepada bahagian kreatif manakala teman baik saya pula lebih kepada bahagian pengurusan kewangan. Kami mahu membina jenama fesyen lain daripada yang lain. Fesyen yang lebih mesra alam dan sustainable.
8- Bagaimana pula menggambarkan stail peribadi kamu?
However I’m feeling that day. Seperti ketika ini, saya lebih selesa menyarung kemeja T dan seluar pendek. Ada masa saya selesa bergaya yang lebih manis dan girly, ada masa saya mahukan sesuatu yang lebih edgy. Tiada yang tertentu. Dan saya selalu ambil inspirasi daripada fesyen lelaki terutama sekali Taehyung daripada kumpulan BTS. Walaupun dia bukanlah ‘bias’ saya dalam kumpulan BTS ini, but for some reason, he is a huge fashion inspiration to me. Dia punyai aura fesyen yang tersendiri. Kombinasi cool dan feminin.
9- Pada pendapat kamu, bagaimana seorang wanita itu hendak membina keyakinan diri?
Pada saya, ia tentang cara kamu berfikir tentang diri kamu. Dan juga dalam persekitaran yang kamu jalani. Saya rasa bertuah kerana saya dibesarkan dalam keluarga yang sangat menyokong dan mengambil berat tentang diri saya. Jika kamu hendak tahu, sewaktu kecil, saya sering dibuli. Tetapi yang pelik, ketika itu saya seperti seorang yang sangat yakin dengan diri sendiri dan tidak peduli dengan sekeliling. Sejujurnya, semakin saya membesar, perasaan yakin itu semakin berkurangan. Mungkin kerana saya sudah sedar ada orang sekeliling yang bercakap tentang saya. Namun, saya rasa kita semua perlu sedar yang di hujung hari, hanya kita yang menjalani hidup kita sendiri. Dan jika kamu selesa dengan diri kamu, orang lain tidak akan boleh meracun pemikiran kamu lagi. Sekarang ini, saya begitu selesa dengan diri saya, dan jika kamu berkata apa-apa yang tidak betul tentang diri saya, saya tidak kisah dan tidak peduli kerana saya kenal diri saya. Dan untuk membina keyakinan diri ini bukanlah mudah, ia memakan masa. Jadinya, kamu perlu bersabar dengan diri sendiri. Go slow.
10- Akhir sekali, apa yang kamu nampak pada diri kamu dalam masa 5 tahun akan datang?
Jujur saya hanya mahu menjadi seorang yang lebih bahagia dan gembira dalam hidup. Tidak kiralah, jika saya melanjutkan cita-cita saya dalam bidang fesyen atau tidak, modelling atau tidak mahupun karier sebagai penyanyi, saya cuma mahu bahagia dalam hidup. Dan saya berharap ketika itu kehidupan saya juga sudah stabil bukan sempurna, tetapi stabil serta sudah berupaya dalam memberi kembali kepada kedua ibu bapa saya baik dari segi kewangan atau apa sahaja.
Soalan Trivia Manisha Rose
Team Mahathir/ Team Anwar
Syed Saddiq/ Khairi Jamaluddin
Izzah Anwar/ Hannah Yeoh
Populariti/ Ilmu
Introvert/ Extrovert (“I’m in the middle haha!”)
Simpan Bulu/ Bercukur
YouTube/ Netflix
Apa pandangan anda?