Posted on January 11, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Bunga/Panas 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
MAZIAH RAZAK, 24 TAHUN – PELAJAR SENI PERSEMBAHAN
1- Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu.
Nama saya Nur Maziah Binti Abdul Razak, saya berumur 24 tahun dan berasal dari Johor. Sekarang saya masih sedang melanjutkan Ijazah di dalam bidang seni persembahan drama di Universiti Malaya. Kalau hendak tahu, sewaktu diploma dahulu, saya mengikuti kursus kejuruteraan awam. Agak bercampur aduk sedikit. Cerita sebenarnya, cita-cita saya ialah untuk menyambung pelajaran di dalam bidang muzik di UiTM ketika hendak melanjutkan kursus diploma. Namun, saya punya adik kembar yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang muzik juga. Emak tidak mahu kedua-dua kami melanjutkan pelajaran di dalam bidang sama, saya pun mengalahlah.
Saya berjaya menghabiskan diploma dan cuba untuk mencari kerja di dalam bidang kejuruteraan ini, namun tidak bernasib baik. Dan lama-kelamaan saya berputus asa dan membuat keputusan untuk sambung belajar. Ketika hendak memilih kursus itu saya bercadang hendak menyambung dalam bidang pengajian bahasa Jepun. Saya meminati bahasa ini dan sudah ada sedikit sebanyak pengetahuan dalam asas bahasa ini, namun nasib saya masih malang kerana ia tidak dibuka pada lepasan diploma. Jadi, saya pun sertailah kursus pengajian seni persembahan drama ini dengan niat boleh dijadikan platform untuk saya menukar kos ini. Akan tetapi, apabila tibanya tempoh tukar kursus itu dibuka, saya pula ketika itu sedang lagi sibuk dengan persembahan teater di Thailand. Terlepas peluang itu dan saya anggap mungkin bukan rezeki saya…
Memang saya minat apa yang saya belajar sekarang, mungkin kerana kelemahan diri saya yang tidak punya keyakinan diri yang tinggi saat berlakon yang membantutkan segalanya. Saya seorang yang sangat pemalu. Kini saya sedang lagi memperbaiki diri dan mempelajari lagi untuk menjadi pelakon yang baik.
2- Kamu kata kamu pernah ke luar negara (Thailand) untuk persembahan teater? Ke mana lagi kamu sudah pergi?
Ohh itulah pertama kali saya dan baru itu sekali sahaja yang pernah saya pergi. Saya masih lagi di tahun dua. Jadi masih baru, dan itu projek di bawah kursus saya. Pensyarah saya mengajak 5 pelajarnya untuk menyertai teater kerjasama bersama JKKM Perlis yang berlangsung di Thailand. Dan saya bukanlah pemegang watak utama. Namun itu adalah pertama kali saya terlibat dalam satu teater yang sebenar. Perasaan itu jauh berbeza daripada kita berlakon sendiri-sendiri (ketawa). Perasaan gementar itu tipulah kalau tidak ada kan, jadi ketika di sana itu, saya sering mengingatkan diri, “Maziah, you can do it. Kalau tidak mula daripada sekarang, bila lagi.”
3- Mengapa kamu memilih untuk sertai Stail Fresh Face 2019 ini? Apakah yang mampu kempen ini bantu kamu?
Sebelum pencarian Fresh Face, saya pernah juga menyertai temuduga yang lain seperti Dewi Remaja. Pada mulanya saya tidak tahu menahu tentang STAIL.MY, saya nampak iklan pencarian ini dan terus apply. Setelah mendapat maklum balas dari pihak STAIL, saya mula mengorek dan mendalami tentang portal dan tim ini. STAIL mencari personaliti berkisarkan hidup mereka. Jadi saya ambil peluang ini untuk kembangkan lagi nama saya, tidak terhad hanya di universiti sahaja. Saya mahu membina lebih banyak hubungan dengan orang luar.
4- Sebagai wanita, pada pendapat kamu, bagaimanakah caranya untuk kita membina keyakinan diri?
Jika kamu tanya pada saya, ia amat susah. Kerana kita ini perempuan, kalau terlebih ramah, nanti dikategorikan gedik pula. Pada saya, kena ada batasnya bila hendak berkenalan dengan seseorang. Kita boleh berada di dalam kelompok dan bersosial namun kita masih kena senantiasa ingatkan diri untuk tidak terlalu “ramah”. Dan eksperisi wajah itu juga penting, kalau kita tidak suka seseorang itu, jangan terlalu menunjuk. Benda-benda ini kadang boleh mengganggu diri lantas membuat kita jadi kurang berkeyakinan untuk berhadapan orang ramai. Dan pada saya jika nak overcome perasaan ini bukanlah senang. Ia memakan masa.
5- Boleh kami tahu, apakah falsafah hidup kamu?
Kita kena ada gol dalam hidup ini. Jika tiada gol, seperti kita tiada tujuan dalam hidup. Dan saya pernah melalui itu. Sepanjang 24 tahun hidup, saya pernah berada di satu tahap di mana saya rasakan hidup saya ibarat satu pembaziran. Ia berlaku ketika di zaman belajar dahulu. Nasihat saya buat kamu di luar sana, pasang target dalam hidup. Jika keluarga tidak setuju dengan keinginan kamu, cuba untuk yakinkan mereka. buktikan pada mereka yang kamu boleh buat.
6- Apakah pula gol di dalam hidup kamu?
Saya mahu jadi pelakon yang berbakat dan mahu fasih dalam bahasa Jepun. Pada masa sama mahu dikenali sebagai wanita yang memiliki asas kejuruteraan. Niat saya untuk memberitahu masyarakat di luar sana, tidak semestinya berkecimpung di dalam dunia seni persembahan teater ini tidak dapat menguasai benda-benda yang lain dalam satu masa yang sama.
7- Apakah pendapat kamu tentang industri fesyen di Malaysia hari ini?
Saya bukanlah seorang yang mengikuti trend fesyen. Tetapi berdasarkan pemerhatian saya, sememangnya industri kita sudah mampu untuk berada setanding antarabangsa. Namun jika hendak bercakap tentang diri saya, banyak lagi yang perlu saya belajar terutama sekali untuk berjalan seiring dengan trend fesyen sekarang. Mungkin selepas ini (selepas menyertai Fresh Face) saya boleh cuba untuk memperbaiki stail peribadi saya. Jujur bila bercakap tentang fesyen, saya begitu lemah sekali. I need someone to guide me.
8- Baiklah, tetapi jika kamu boleh ekspres tentang stail diri kamu, bagaimana kamu gambarkannya?
Saya lebih kepada apa sahaja yang selesa untuk diri saya. Saya tidak suka menyarung benda-benda yang menyakitkan seperti memakai kasut tumit tinggi lagi-lagi kalau menyarungnya sepanjang hari. Jika kamu tanya saya, saya lebih suka menyarung kasut, lebih selesa.
9- Sekarang ini cukup berleluasa dengan isu body shaming. Apa pendapat kamu?
Isu ini sepatutnya sudah tidak perlu wujud lagi. Semua orang punya kecantikan tersendiri. Yang penting, keyakinan diri itu harus ada dalam diri, barulah apa jua orang kata tentang kamu, tidak akan terlalu memberi kesan kepada diri. Macam saya juga, saya masih membina keyakinan dalam diri. Tetapi jika kita lihat wanita seperti Adibah Noor, Sherry Al-Hadad, mereka ini wanita-wanita yang cukup gorgeous pada saya!
10- Akhir sekali, bagaimana kamu lihat diri kamu dalam masa 5 tahun dari sekarang?
Mungkin sudah menjadi seorang pelakon wanita yang baik. Saya juga berharap saya punya kerjaya yang stabil dan mampu membahagiakan kedua ibu bapa saya. Mungkin juga sudah berkahwin? (ketawa)
SOALAN TRIVIA MAZIAH RAZAK
#TeamMahathir/ #TeamAnwar
Syed Saddiq/ Khairi Jamaluddin
Nurul Izzah/ Hannah Yeoh
Populariti/ Ilmu
Introvert/ Extrovert
Hairy/ Clean cut
YouTube/ Netflix
Apa pandangan anda?