Posted on January 29, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Bunga/Panas 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
SHANNEN JADE TOTTEN, 25 – EKSPRESIONIS SENI, MODEL & RATU CANTIK
1 – Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu.
Saya graduan daripada Sunway University, dalam bidang pengajian seni halus. Selepas tamat belajar, saya meneruskan karier sebagai pelukis atau artis yang bergerak secara bebas pada masa sama, melibatkan diri dalam lapangan fesyen juga – yakni aktif bergiat sebagai model.
Kedua-dua bidang yang saya ceburi ini berkaitan dengan kesenian dan dunia kreatif, sesuatu yang I’m passionate about! Sebagai seorang yang memiliki latar belakang pendidikan seni dan pencinta seni, saya sangat-sangat menghargai kraf di sebalik pembikinan penggambaran, hasil gambar atau video dan kekreatifan yang dicetuskan. Ia banyak mengajar saya.
2 – Dan kamu menyertai pertandingan ratu cantik – Miss Universe Malaysia dan Miss World Malaysia – adalah kerana sesuatu yang kamu minat juga?
Oleh kerana saya mahu menceburkan diri dalam bidang modeling dan fesyen, saya memulakan langkah dengan menyertai pertandingan-pertandingan ratu cantik. Lalu, ajang besar seperti Miss Universe Malaysia dan Miss World Malaysia menjadi pilihan saya. Malah, mengapa saya memilih pertandingan ratu cantik sebabnya adalah saya mahu platform yang mempunyai manfaat sebagai dasar utamanya. Contohnya, Miss World Malaysia adalah pertandingan yang berpegang teguh pada ‘Beauty With Purpose’ dan saya sebagai pejuang perakuan buat ibu-ibu tunggal Malaysia, melihat pertandingan ratu cantik adalah satu ruang terbaik untuk menyebarkan mesej positif sebegini.
3 – Saya difahamakan, sebab kamu berjuang untuk ibu-ibu tunggal adalah kerana berdasarkan pengalaman kamu juga, bukan?
Ya, betul. Sudah lebih daripada 20 tahun, saya dibesarkan oleh ibu saya sendirian. Saya melihat sendiri bagaimana ibu saya mempunyai tiga kerja yang berbeza, semata-mata mahu menyara kami sekeluarga. Dari situlah terbitnya rasa mahu memperjuangkan hak dan membela nasib ibu-ibu tunggal segenap Malaysia. Kerana saya tahu, walaupun ada suka dan bahagia, di sebaliknya ada juga sukar serta kepayahan dalam liku-liku hidup seorang ibu tunggal.
Saya bersyukur, sekarang saya sangat aktif menjalankan kegiatan yang berkaitan dengan persatuan ibu tunggal di sini. Saya bekerja rapat dengan Persatuan Wanita Dan Ibu Tunggal Nur Iman, di mana saya berjaya meraih dana, membekalkan bantuan serta memberi sokongan emosi kepada mereka. Ada banyak yang kami sudah rancang bersama untuk program-program mendatang! Saya berharap kesedaran tentang ibu-ibu tunggal di sini akan lebih meluas lagi dan mendapat perhatian.
4 – Perkara yang kamu pelajari daripada pengalaman melibatkan diri dalam bidang kebajikan?
Terlalu banyak yang saya pelajari. Salah satunya adalah menjadi role model, seorang kakak, seorang anak dan seorang yang punya suara dalam memperjuangkan hak juga nasib ibu-ibu tunggal ini. Terutama sekali anak-anak kepada ibu-ibu tunggal ini yang bagi mereka, ia sangat-sangat bermakna. Memberi sokongan dan galakan kepada mereka pun sudah memadai. Sumbangan kecil pun adalah satu perubahan besar buat mereka.
5 – Selepas aktif modeling, ada terfikir untuk aktif kembali dan fokus sepenuhnya dalam bidang seni halus?
Tahun ini – malah dari hujung tahun lepas lagi – secara perlahan-lahan saya ada menyelit masa untuk meneruskan karier saya sebagai seorang artis atau pelukis. Saya tidak mahu melupakan bidang seni halus saya! Baru-baru ini, saya menyertai pameran seni yakni Pivotal daripada kumpulan The Art Seni yang diadakan di LINC Kuala Lumpur. Saya mempamerkan hasil-hasil karya saya di sana. Cinta saya pada bidang seni halus masih belum terpadam dan takkan hilang.
6 – Apakah stail seni kamu?
Stail seni saya adalah abstract expressionist. Saya lebih cenderung kepada elemen-elemen semulajadi. Contohnya, elemen air, udara, awan-awan di langit biru dan juga api. Saya sering mengait sesuatu yang bermain dengan keharmonian dan mahu menyentuh jiwa audiens dalam karya-karya seni saya. Ada ketikanya, saya bereksperimentasi kerana mahu keluar daripada zon selesa dan kadang-kadang saya kutip inspirasi daripada artis-artis lokal lain.
7 – Apakah cabaran bidang seni di Malaysia?
Saya akui, cabaran terbesar bidang seni di Malaysia adalah kaburnya garis di antara bidang seni dan bidang perniagaan. Maksud saya, kini orang melihat bidang seni itu sebagai satu perniagaan sehingga melupakan terus nilai kesenian sebenar. Apatah lagi pabila ia melibatkan syarikat-syarikat besar yang akhirnya menewaskan keaslian di sebalik sesuatu hasil seni itu.
Namun saya faham. Dunia sekarang, semuanya melibatkan perniagaan. Semuanya adalah bisnes. Bidang modeling, bidang fesyen malah bidang permajalahan sekali pun. In order for you to survive, you have to also understand the business side of it. Mujur sekarang, ada kumpulan gerakan seni seperti CENDANA yang boleh membekalkan geran atau peruntukan dan dana untuk artis-artis muda. Sekurang-kurangnya ia membantu memperjuangkan nasib artis-artis lokal.
8 – Pernah mengimpikan untuk ke hab seni antarabangsa, contohnya… New York?
Pernahlah juga! Lagi-lagilah New York kerana ia adalah kota yang ‘menyimpan’ orang-orang kreatif. Saya mahu juga mempamerkan hasil-hasil seni saya di sana dan menjadi sebahagian daripada hab seni antarabangsa tersebut.
Hey… satu hari nanti Kuala Lumpur malah satu Malaysia akan menjadi hab seni bertaraf antarabangsa. We’re getting there. Kita sama seperti New York, Malaysia adalah negara yang kaya dengan kepelbagaian dan we have so much to offer! Saya percaya Malaysia satu hari nanti akan menjadi hab seni dunia.
9 – Dalam usia muda sebegini, kamu seorang yang ‘unstoppable’ – bekerja sebagai artis, model dan terlibat dengan kerja-kerja amal. Daripada mana datangnya semangat waja ini?
Semua ini adalah motivasi yang datang daripada ibu saya sendiri. Ibu saya pernah berpesan, tiada apa di dunia ini yang mustahil. Seandainya kamu mempunyai tekad dan azam yang kuat, pasti akan dikecap. Jangan mudah lemah dengan kata-kata orang, percaya pada diri sendiri dan sedar kemampuan diri. Malah melihat ibu saya yang banyak berkorban demi kami sekeluarga juga telah membuka minda saya. Saya fikir, “If my mom can, why can’t I?” Saya tidak kisah berkorban untuk meneguhkan apa yang saya perjuangkan.
10 – Perancangan masa akan datang?
Saya menyimpan hasrat untuk menubuhkan sekolah atau kelas di mana saya boleh mengajar kanak-kanak tentang bidang seni. Seakan-akan studio pun sudah cukup. Saya mahu menyebarkan mesej bahawa bidang seni juga adalah bidang profesional dan mengukuhkan kedudukan bidang seni di Malaysia. Doakan semoga ia benar-benar dilaksanakan!
SOALAN TRIVIA SHANNEN JADE TOTTEN
InstaStory / Facebook Story
Hangat / Dingin
#TeamMahathir / #TeamAnwar
Syed Saddiq / Khairi Jamaluddin
Izzah Anwar / Hannah Yeoh
Popular / Wisdom
Introvert / Extrovert
Guys – Boxer / Brief
Hairy / Clean cut
YouTube / Netflix
Apa pandangan anda?