Posted on January 23, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Bunga/Panas 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
TASHA ALEIA, 23 – PENYANYI
1 – Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Nama saya Tasha Aleia, dan saya seorang penyanyi. Kini saya berumur 23 tahun dan pada masa sama saya juga sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan. Saya berasal dari Damansara, Kuala Lumpur. Saya sudah menyanyi hampir 4 tahun.
2- Sejak bila kamu tahu kamu mahu menjadi penyanyi?
Semenjak saya boleh bercakap lagi. Ketika itu umur saya 3 tahun, dan ibu saya beritahu, saya sudah berani menyanyi di hadapan orang ramai. Masa itu saya nyanyi lagu daripada filem Titanic, My Heart Will Go On ya. Dan jika bercakap tentang persembahan sebenar, saya mula menyanyi di zaman sekolah la. Kemudian apabila sudah melanjutkan pelajaran di kolej, saya rajin sertai pentas open mic.
3- Ada ahli keluarga yang juga memiliki latar-belakang muzik?
Secara profesional itu tidak ada. Akan tetapi seluruh keluarga saya dikira boleh menyanyi dan bermain alat muzik. Tidak lah sumbang kata orang. Ya, ayah saya boleh menyanyi, dan ibu pula boleh bermain instrumen seperti gitar.
4- Siapa inspirasi kamu dalam bidang muzik ini?
Beyonce. Pada saya dia bukan sekadar penyanyi yang bagus. Dia seorang entertainer. Dia tahu bagaimana cara untuk mengawal pentas dengan baik. Beyonce juga punya auranya yang tersendiri. Kalau bicara tentang lokal, Yuna ialah inspirasi saya. Dulu sewaktu mula-mula menyanyi juga saya banyak menyanyikan lagu-lagu Yuna. Dan dia juga bukanlah seorang yang berlatar-belakangkan muzik kan. Walaupun begitu, dia berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Jadi saya mahu menjadi sepertinya.
5- Bagaimana pula dengan genre muzik kamu?
Saya sering menyanyikan lagu-lagu bergenre R&B dan pop. Sekarang ini, muzik pilihan saya lebih kepada muzik nyanyian SZA, Beyonce, Dua Lipa juga Bruno Mars. Oh ya, Bruno Mars juga salah seorang inspirasi saya dalam industri muzik ini. Dia tahu bagaimana untuk menghasilkan lirik dan muzik yang baik terutama sekali dalam album terbarunya ini. Saya seperti tidak sangka, betapa hebatnya album terbarunya itu.
6- Apakah pentas terbaik pernah kamu membuat persembahan?
Gigfairy Live di KL Live kerana saya berpeluang berkongsi pentas bersama nama-nama besar seperti Sona One, Joe Flizzow dan De Fam pada 2 ke 3 tahun yang lalu. Perasaan itu sukar untuk saya gambarkan. Manakala sebuah lagi pentas yang tidak dapat saya lupakan ialah ketika di pertandingan muzik Vietnam. Performing oversea ini lain rasanya. Ketika itu, saya menyertai pertandingan muzik untuk kategori kumpulan/band pada 2015. Dan kami berjaya menduduki tempat kedua di seluruh ASEAN.
7- Bagaimana pula dengan pengalaman konsert. Konsert apakah yang paling kamu tidak boleh lupakan yang pernah kamu pergi?
Festival Goodvibes yang lalu kerana saya berpeluang bertemu SZA, melihat dia perform di depan mata. She is my bae haha. Dan konsert Justin Bieber! Beberapa tahun yang lalu, saya masih ingat jelas kerana saya peminat nombor satu Justin Bieber ketika itu. It was so so good! Ketika itu saya baru sahaja tamat PMR dan meminta ibu bapa saya untuk menghadiahkan saya tiket konsert Justin Bieber ini. Mereka membelikan saya tiket VIP dan paling hadapan. Gembiranya saya tak terkira sampai menangis-nangislah di konsert ketika itu hahaha.
8- Kamu kini berada di bawah naungan syarikat muzik Sony Music. Boleh kongsikan tentang itu?
Seperti saya beritahu kamu tadi, saya selalu menyertai acara muzik open mic, dan daripada situlah sebenarnya orang mula kenal saya. Mereka selalu memanggil saya untuk menyanyi di event atau juga acara wedding mereka. Seingat saya, persembahan pertama yang saya mendapat bayaran adalah ketika persembahan untuk wedding. Dan selepas itu, saya mula memasukkan video saya ke dalam aplikasi GigFairy di mana di sini kebiasaannya orang akan kunjung dan memudahkan mereka untuk menempah penyanyi pilihan mereka. Sehinggalah satu hari itu, penerbit saya memberitahu ada pihak daripada Sony Music ingin berjumpa, saya seperti tidak percaya. Ya, kemudian kami berjumpa dan mereka terus berkata kepada saya, “Kami tonton banyak video nyanyian kamu, kami suka dan mahu kamu menjadi sebahagian daripada kami.” Begitu saja. Alhamdulillah, mereka dapat melihat potensi saya. Dan kini, saya sedang lagi dalam proses menulis lagu untuk single. Walaupun mengambil masa yang lama, saya tidak kisah kerana saya mahukan sesuatu yang terbaik untuk saya.
9- Bercakap soal kecantikan, rambut kamu sangat cantik! Bagaimana kamu menjaganya?
Terima kasih! Percaya atau tidak saya tidak mempunyai sebarang rutin istimewa. Saya hanya syampu dan menggunakan perapi. Rawatan juga jarang-jarang sekali saya lakukan. Mungkin kerana saya tidak pernah mewarnakan rambut. Dan juga rambut tebal ini adalah kerana bapa saya, dia juga punya rambut yang tebal. Saya pernah juga teringin mewarnakan rambut rona blonde! Haha tapi hati saya rasa takut, kerana tidak mahu rambut rosak.
10- Bagaimana pula dengan rutin penjagaan wajah? Kulit kamu sangat mulus…
Saya cuci wajah setiap hari sebersih-bersihnya. Kemudian sapukan toner, pelembap dan yang paling penting pelindung sinar. Itu sahaja sudah cukup untuk saya. Yang penting juga, selepas bersolek, haruslah cuci dengan sebersih-bersihnya sebelum tidur.
TRIVIA TASHA ALEIA
#TeamMahathir / #TeamAnwar
Syed Saddiq / Khairi Jamaluddin
Nurul Izzah / Hannah Yeoh
Popular / Wisdom
Introvert / Extrovert
Hairy / Clean cut
YouTube/ Netflix
Apa pandangan anda?