Posted on January 7, 2020
Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Ryan Mohamad & Ashura Hakim
AZREAL ADAM, 19 – FITNESS ENTHUSIAST
1 – Pertama, terangkan segalanya tentang diri kamu?
Berasal dari Kuala Lumpur. Saya adalah siswa Sains Perubatan di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Dibesarkan di ibu kota, saya amat meminati sukan ‘street workout’ dan bercita-cita menjadi anggota bomba. Atas sebab ini, saya mengambil jurusan perubatan kerana ingin menjadi seorang bomba yang mahir dan pakar dalam bidang perubatan.
2 – Kamu juga adalah penggemar kecergasan. Boleh terangkan bagaimana kamu bermula?
Bermula dari tiga tahun lepas semasa saya berusia 16 tahun. Saya amat aktif dalam unit badan berseragam dan sering bersama-sama rakan sebaya, beriadah di padang pada waktu petang, di mana saya diperkenalkan dengan sukan street workout ini secara kebetulan dan amat meminatinya setelah itu.
3 – Mungkin tidak ramai yang mengenali tentang street workout. Boleh terangkan kepada pembaca? Apa itu street workout? Dan apakah pula calisthenics?
Street workout adalah sejenis sukan yang dilakukan secara spontan dan tidak terikat dengan peraturan dan aktiviti di dalam gim. Sebagai pelajar, masa dan kewangan agak terbatas. Jadi bersenam di padang menjadi pilihan utama kami. Ia dapat dilakukan secara santai dan beramai-ramai. Lebih ramai, lebih santai.
Kalistenik pula adalah cara bersukan dengan hanya menggunakan bar besi. Kamu perlu membina ketahanan badan kerana calisthenic perlukan kekuatan, terutamanya bahagian otot tangan bagi menampung berat badan semasa bergayut. Pada mulanya, ia agak sukar. Maklumlah, menampung berat badan sendiri (65kg) dengan hanya bergayut dengan tangan bukanlah perkara mudah, tetapi lama-kelamaan kamu akan ‘ketagih’… (ketawa).
4 – Kamu terlibat dengan mana-mana kumpulan street workout di luar sana? Rutin kecergasan kamu? Rejim pemakanan pula bagaimana? Kongsikan kepada kami.
Kumpulan kami bergiat aktif di kawasan saya belajar. Aktiviti harian kami pada setiap petang seringnya di Padang Tasik Danau Kota, Setapak.
Rutin kecergasan yang saya amalkan adalah 3 jam setiap hari. Selepas sahaja waktu kelas, saya dan rakan-rakan akan bersukan pada jam 4 petang sehingga 7 tanpa ponteng. Ia cara kami memupuk komitmen, disiplin dan hormat pada sukan jenis ini.
Pemakanan pula yang seimbang dan memenuhi keperluan nutrisi setiap hari. Saya tidak mengambil sebarang makanan tambahan atau ubat sampingan untuk menaikkan berat badan atau membina otot kerana saya lebih suka pada bentuk badan dan hasil yang semulajadi.
5 – Kamu bercita-cita menjadi seorang anggota bomba. Kenapa kamu ingin memilih bidang pekerjaan ini?
Ia salah satu cara saya ingin berbakti kepada negara. Dengan menyertai unit berseragam seperi bomba dan penyelamat ini, saya dapat membantu orang ramai yang ditimpa kesusahan. Saya juga dapat menyelamatkan nyawa yang terlibat dalam kemalangan, misalnya. Semua nyawa yang dikurniakan tuhan amat berharga.
6 – Sebagai anak muda, apakah kamu melihat bidang kecergasan ini penting untuk generasi kamu? Kenapa?
Sebagai belia, kita perlu bijak memilih aktiviti bagi mengisi masa lapang dengan sihat. Bidang kecergasan ini membolehkan kita bergaul dengan pelbagai lapisan umur yang memiliki minat yang sama serta melakukan aktiviti yang positif.
Ibu selalu pesan agar memilih kawan yang dapat membantu, bukan merosakkan kita.
7 – Bagaimana kamu ingin menyakinkan rakan sebaya agar menjalani kehidupan yang sihat seperti kamu?
Bukan hanya mengajak dan bercakap, saya perlu tunjukkan terlebih dahulu supaya dapat menarik minat mereka. Zaman sekarang, jika kamu bercakap tanpa sebarang bukti, ia tidak berguna. Saya menggunakan media sosial untuk mempengaruhi mereka dengan memuat-naik video serta gambar-gambar semasa sesi kami bersukan dan melakukan aksi street workout di Instagram saya, @reallyaz.
Alhamdullilah, dengan cara ini, ramai juga rakan-rakan dan sahabat handai mula melibatkan diri untuk bersukan bersama-sama.
8 – Gejala sosial di kalangan belia semakin berleluasa. Misalnya, gejala seks luar nikah atau yang lebih ekstrem, aktiviti menjual badan atau ‘moneyboy’ / ‘gay for pay’ di kalangan penggiat kecergasan itu sendiri. Apa pendapat kamu terhadap isu yang sensitif ini.
Bagi saya, ia bukan suatu isu yang pelik. Bahkan ia sudah menjadi perkara biasa. Sudah normal. Saya sendiri mengenali beberapa individu yang terlibat dengan gejala ‘moneyboy’ atau ‘gay for pay’ ini.
Namun saya tetapkan pendirian saya, saya membina badan demi masa hadapan saya. Demi persiapan saya bagi memasuki akademi bomba kelak. Saya ada perancangan yang saya dan keluarga sudah tetapkan.
Sebagai belia dan pelajar, saya tidak akan sama sekali ke arah itu walaupun ‘digoda’ dengan wang ringgit yang banyak kerana saya beranggapan perkara itu salah. Ia salah satu cara cepat untuk mendapatkan wang.
Nasihat saya kepada mereka yang melakukan perkara sebegini, saya faham itu pilihan mereka, tetapi ia juga akan mengakibatkan aktiviti bina badan atau dunia kecergasan memperoleh nama buruk bak kata pepatah, “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”.
Kasihanilah mereka (seperti saya) yang benar-benar ikhlas dalam bidang kecergasan ini. Untuk cergas, cerdas dan sihat. Ada baiknya jika street workout tidak ‘tercemar’ dengan kegiatan yang tidak bermoral ini. Ia merendahkan martabat dan maruah kaum lelaki.
9 – Pandangan kamu terhadap industri kecergasan di Malaysia? Especially street workout scene.
Street workout sudah mula aktif dengan adanya sokongan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Berbanding tahun-tahun sebelumnya, street workout ini tidaklah begitu dikenali. Kini, pihak KBS telah melakukan pelbagai aktivit melibatkan sukan ini sepanjang tahun, terutamanya sewaktu berlangsungnya Hari Belia Negara. Tahniah diucapkan kepada YB Syed Saddiq kerana mengangkat dan mempromosikan nama street workout ini ke pentas arus perdana.
10 – Sebagai belia, jika ada satu perkara kamu boleh cakap kepada YB Syed Saddiq, apakah itu?
Apa yang ingin saya cadangkan kepada KBS, khususnya kepada YB Syed Saddiq ialah untuk menubuhkan kumpulan sokongan sukan (sport support team) di setiap kawasan perumahan. Ia bertujuan, agar mereka dapat beriadah dan bersukan dengan lebih mudah serta memberi inspirasi kepada remaja-remaja di luar sana agar mengikuti aktiviti sukan yang sihat dan sesi kecergasan yang dijalankan.
Saya percaya kita tidak perlu ke peringkat yang tinggi untuk mengatasi masalah sosial remaja ini. Semuanya bermula dari rumah. Diharapkan kumpulan sokongan sukan ini dapat menggalakkan lebih ramai lagi remaja untuk menyertai street workout ini. Supaya mereka tidak membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan dapat menghindarkan mereka daripada melakukan sebarang gejala sosial yang memudaratkan.
Apa pandangan anda?