Posted on January 27, 2019
Pakaian: Uniqlo Musim Bunga/Panas 2019
Gambar: Chee Wei
Solekan: Fendi Sani
Pengarah Kreatif: Merrisa Emilda
Arahan Seni: Ashura Hakim
Penata Gaya: Ardi Idewani
Video: Jordi Harris
Fareeha Azmi, 28 – Arkitek
1 – Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu?
Nama saya Wan Nur Fareeha Azmi. Saya anak sulung daripada tiga adik beradik. Berasal dari Kota Baru, Kelantan dan kini menetap di Putrajaya. Seorang graduan University of Strathclyde, Glasgow, Scotland dalam jurusan Sarjana Muda Seni Bina.
2 – Kenapa arkitek? Sebagai wanita, bagaimana kamu menyesuaikan diri dalam bidang ini?
Saya datang dari keluarga jurubina. Bapa saya menyokong penuh pilihan karier saya ini. Saya berminat dan ia amat menarik di mata. Selama tujuh tahun saya mempelajari bidang seni bina ini.
Tidak dinafikan, bidang ini memang sinonim dengan kaum Adam. Kita harus pandai membawa diri dan menonjolkan bakat ketua dalam diri kita supaya mereka tidak memandang kamu hanya sebagai wanita yang memakai topi keselamatan.
Saya amat bertuah kerana mempunyai seorang bapa yang sangat mengambil berat, menyokong dan mengajar saya tentang selok belok budaya dan resam industri pembinaan di Malaysia.
3 – Ceritakan pengalaman kamu sebagai seorang arkitek wanita di Malaysia? Ada pengalaman pahit atau manis yang ingin dikongsi bersama?
Pada fikiran saya, bergelar arkitek wanita di negara ini, sebenarnya tidak banyak perbezaan. Ada ramai arkitek wanita yang tersohor di Malaysia. Misalnya, idola saya, Eleena Jamil.
Buat masa ini tiada lagi pengalaman pahit. Pengalaman manis ada lah. Saya bertemu ramai kenalan di bidang ini. Minum kopi bersama arkitek senior, mengajar saya banyak tentang kehidupan dan pengalaman yang boleh membangkitkan semangat.
4 – Apa soalan/pertanyaan tipikal yang kamu dapat sepanjang bergelar arkitek?
Soalan secara langsung belum lagi tetapi jangkaan itu ada. Sebagai wanita, mereka sepertinya mahu saya buat banyak perkara bagi menandakan saya ‘layak’ untuk jawatan ini dan telah pun saya buktikan kepada mereka.
5 – Pada pendapat kamu, mengapa golongan wanita (terutama wanita Malaysia) jarang atau kurang berminat menceburi bidang ini?
Mungkin kerana bidang ini dipegang lelaki sejak berkurun lamanya. Namun ia sedang berevolusi sekarang. Saya melihat bilangan arkitek dalam kalangan wanita sudah pun meningkat, setiap kali menghadiri seminar atau kursus.
Saranan saya untuk wanita di luar sana supaya mengejar impian kamu, kerana jika kamu berani menghadapinya, impian itu tidak lah sesukar yang kamu bayangkan di kepala.
6 – Gender roles? Your view?
Apabila bercakap tentang jantina, lelaki dan wanita berkelakuan berbeza sama sekali. Fitrahnya perempuan lebih beremosi, ambil berat dan senang cinta, sementara lelaki lebih kuat (dari segi fizikal) dan miliki ciri-ciri kepimpinan semula jadi. Jadi bagi mewujudkan suasana seimbang, kita perlukan wanita yang bukan sahaja mempunyai ciri-ciri kepimpinan semula jadi seperti lelaki, malah lebih kuat (dari segi rohani) untuk memegang peranan yang adil berdasarkan jantina ini.
7 – Baru-baru ini heboh dengan isu gender ketiga di media sosial dan cetak. Pendapat kamu adakah ia relevan untuk negara kita?
Bagi saya secara peribadi, jika mereka masih mahu melakukannya (gender ketiga), lakukan dalam ruang lingkup sendiri atau privasi. Jadi ia tidak menimbulkan sebarang konflik dengan majoriti, yang seterusnya mencetus pendapat awam yang tidak enak.
Just do whateva you want winthin yourself and just dont go public. Maksud saya, tidak perlulah kamu ‘memaksa’ orang awam yang rata-rata masih konservatif, tidak pun yang masih berpegang pada adat ketimuran di negara ini, menerima ideologi ini.
Selama ini masyarakat tidak endah pun dengan isu tersebut kerana tidak mengganggu mereka. Apabila kamu lantang, maka ia akan menyebabkan rantaian tindak balas dan reaksi yang pelbagai daripada masyarakat. Dan saya pasti ia tidak positif.
8 – Apakah kita sudah mengatasi peranan tradisional untuk jantina? Pendapat kamu?
Sudah. Saya melihat kaum lelaki di negara ini lebih terbuka dengan kesaksamaan jantina berbanding negara luar, malah lebih baik dari sesetengah negara barat. Lelaki Malaysia lebih memahami. Ramai sahaja wanita dan isteri di luar sana yang mempunyai karier sendiri.
9 – Feminisme dan Malaysia (pandangan kamu). Gender equality, adakah menjadi permasalahan di Malaysia? Atau baik-baik sahaja?
Saya tidak pasti. Jika terlampau ekstrem, ia tidak bagus untuk masyarakat kita. Namun feminism juga ada sudut baiknya, untuk membela nasib kaum hawa misalnya. Ia punya kelebihan dan kelemahan.
Gender equality is there somehow. Jika kita (lelaki dan wanita) boleh bekerjasama dalam situasi pekerjaan yang sama, saya kira itu sudah bagus.
10 – Apakah kita, Malaysia sudah bersedia menerima pemimpin wanita? Dan bagi kamu siapa tokoh politik yang paling layak menjadi Perdana Menteri wanita Malaysia yang pertama?
Ya tentu sekali. Kita punyai banyak pemimpin wanita seperti Nurul Izzah, Hannah Yeoh, Ambiga Sreenevasan, contohnya. Baru-baru ini pun, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail mencipta rekod sebagai Timbalan Perdana Perdana Menteri wanita pertama negara. Kita (Malaysia) sudah ke arah itu. Malaysia yang progresif kerana kita punya wanita-wanita Malaysia yang luar biasa.
Saya mengharap Nurul Izzah Anwar akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia, memecah rekod ibunya kerana bagi saya dia sudah lalui banyak pahit getir dalam kehidupan dan dunia politik sedari usia kecil. Dia pandai, penuh berkarisma dan berwibawa serta tahu apa yang rakyat Malaysia mahu dan perlukan. Dia juga seorang jurutera wanita dan hanya berbicara dengan fakta. I love her.
Trivia Fareeha Azmi
#TeamMahathir / #TeamAnwar
Syed Saddiq / Khairi Jamaluddin
Izzah Anwar / Hannah Yeoh
Popular / Wisdom
Introvert / Extrovert
Hairy / Clean cut
YouTube / Netflix
Apa pandangan anda?