Persoalannya sekarang, bagaimanakah caranya untuk kita membezakan alat ganti kereta tiruan dengan yang asli? Alat ganti tiruan nampak cukup meyakinkan, sampaikan peminat tegar kereta pun susah untuk bezakan sekali pandang.
Zaman sekarang, memang senang kalau nak beli alat ganti. Tekan-tekan, sampai depan pintu rumah. Membeli barangan atas-talian banyak kelebihannya kerana kita terus dapat akses kepada pelbagai pilihan dan ia boleh dibanding-bandingkan dengan mudah.
Namun, kemudahan teknologi juga tidak kurang dengan muslihatnya. Ramai ‘seller’ di platform jualan atas-talian yang menipu dengan memasarkan barangan mereka sebagai ‘original’ namun hakikatnya ia barang celup. Logo pelbagai jenama juga ditiru sebaik boleh dan bungkusannya juga nampak asli walaupun ia auta semata-mata.
Acik saya pun tahu yang alat ganti palsu/celup bahaya jika digunakan. Apatah lagi kamu yang cerdik pandai.
Pelbagai alat ganti kereta tiruan boleh ditemui di pasaran; antaranya ialah palam pencucuh (spark plug), lapik brek (brake pad), penapis minyak (oil filter), dan geganti (relay).
Harga terlampau murah
Malangnya, agak sukar bagi kita untuk mengesan barang tiruan dengan hanya melihat gambarnya. Banyak platform beli-belah atas-talian yang menjamin urus-niaga telus antara pembeli dan penjual.
Kamu boleh pesan terlebih dahulu alat ganti yang hendak dibeli dan periksa sama ada ia asli atau tidak setelah ia tiba ke pangkuan anda nanti. Jika kantoi sebagai alat ganti tiruan, kamu patut berunding dan uruskan proses pemulangan semula.
Perkara pertama yang perlu dicari dan diteliti pada bungkusannya ialah pelekat/stiker holografik kerana ia aspek yang paling sukat untuk ditiru.
Barangan asli mempunyai pelekat holografik dengan efek 3D yang cantik; berbeza dengan pelekat holografik yang ditiru pada bungkusan barang tiruan. Pelekat tiruan selalunya berwarna kusam dan tidak sempurna lapisan 3D-nya.
Oleh itu, perhatikanlah pelekat holografiknya dengan teliti kerana bungkusan barang tiruan kadangkala lebih cantik daripada yang asli.
Contohnya, lihat ‘belt’ asli daripada Toyota/Lexus di bawah. Yang asli dikemaskan hanyalah dengan ‘zip-tie’, namun yang tiruan siap ada kertas pembalut. Jaga-jaga!
Contoh seterusnya, cuba bandingkan penapis udara kabin ini, juga keluaran Toyota. Penapis udara tiruan didatangkan dengan beg plastik, kononnya nak kata ia yang ori. Walhal, penapis udara kabin yang asli dibungkus terus ke dalam kotaknya tanpa sebarang beg plastik.
Kami faham, mungkin kamu semakin runsing. Bagi kes sebegini, kamu perlu periksa sendiri kondisi alat ganti yang dibeli.
Jika ‘seller’ penipu berkenaan tidak berhati-hati, kamu mungkin perasan pelekat “Made in China” berbeza dengan tulisan “Made in Japan” atau “Made in Thailand” pada kotaknya.
Bab luaran dah ‘settle’ ya? Seterusnya, jom kita perhatikan alat gantinya pula.
Cara mengesan alat ganti kereta tiruan
1. Palam pencucuh (Spark plug)
Palam pencucuh tiruan mempunyai satu klu yang sangat ketara – elektrod atau hujung yang besar di tengah-tengah.
Palam pencucuh yang asli mempunyai elektrod tengah yang nipis. Dalam kes ini yang melibatkan model berjenama Denso, elektrod tengah pada palam pencucuh asli ini mempunyai diameter 0.4 mm. Model tiruan pula mempunyai elektrod tengah berdiameter 0.9 mm.
Selain dari itu, ada lagi klu-klu lain untuk membezakan palam pencucuh tulen dengan tiruan seperti yang dinyatakan oleh beberapa pengilang palam pencucuh – antaranya kualiti kemasan, cetakan, serta bebenang.
2. Penapis minyak (Oil filter)
Penapis minyak tiruan boleh mengakibatkan kerosakan yang teruk pada kereta. Bagaimana caranya untuk mengenalpasti penapis minyak tiruan? Cari pelekat holografik jika ada. Ingat, alat ganti asli mempunyai pelekat holografik yang berkualiti tinggi dan berkilat cantik. Pelekat holografik pada alat ganti tiruan pula berkualiti rendah dan kusam warnanya.
Selain daripada itu, kamu juga boleh cari kesalahan ejaan pada kotak atau badan alat ganti itu sendiri. Jika kamu perhatikan penapis minyak tiruan Perodua ini, perkataan “Minyak” dieja “Minyaki”. Hati-hati, ya.
Bentuk penapis minyak berkenaan juga menunjukkan keasliannya. Kamu perlu bandingkannya dengan contoh yang asli untuk melihat perbezaan/persamaannya. Perkara-perkara kecil seperti kualiti lekuk dan alurnya kadangkala terlepas pandang oleh pengilang alat ganti tiruan.
Bagaimana pula dengan minyak enjin? Kamu perlukan ujian makmal bagi memastikan keaslian sebenar minyak enjin, namun banyak pengilang minyak enjin yang sudahpun menyediakan kod imbas QR bagi membantu kamu memastikan keaslian minyak enjin mereka.
3. Brake pad
Bab sistem brek kereta memang tak boleh dibuat main-main. Penggunaan ‘brake pad’ palsu boleh mengundang bahaya kerana prestasi breknya tidak begitu efektif dan dalam keadaan tertentu, ia juga boleh menyebabkan kebakaran. Kamu dah tahu betapa bahayanya, bagaimana pula cara untuk mengesan ‘brake pad’ palsu vs. ori?
Kamu takkan dapat memeriksa ‘brake pad’ pada tahap mikroskopik bagi memeriksa ia tulen atau tidak. Perkara yang kamu boleh lakukan ialah perhatikan kualiti ‘stamping’-nya. Ini ialah klu paling biasa walau untuk alat-ganti seperti piston.
Periksa bahagian-bahagian yang lebih terlindung dan lihat kualiti ‘stamping’ (jika ada).
Jika kamu seseorang yang lebih ‘hands-on’, cuba perhatikan kedudukan brake pad di dalam kaliper. Alat ganti asli akan muat cantik di dalamnya, manakala alat ganti tiruan tidak muat dengan sempurna.
Beberapa pengilang ‘brake pad’ mempunyai kad keaslian juga – selalunya untuk alat ganti berjenama mahal.
Kesimpulan
Ada beberapa cara dan kaedah yang kamu boleh gunakan bagi memeriksa sama ada alat ganti yang dibeli adalah alat ganti kereta tiruan atau tulen. Mungkin dalam entri di masa akan datang, kami akan senaraikan lebih banyak alat ganti yang boleh dijadikan contoh.
Secara amnya, perhatikan jika ada kesilapan pada bungkusan, pelekat holografik, serta kualiti alat ganti tersebut. Rajin-rajinkan diri periksa laman sesawang rasmi alat ganti berkenaan jika ada cara untuk mengesahkan keasliannya.
Kalau nak senang, beli saja alat ganti asli dari stokis dan pusat-pusat servis yang sah. Beli ‘online’ memang senang, tapi risiko untuk tertipu pastinya lebih tinggi. Hati-hati!
Artikel ini ditulis oleh Mersita untuk WapCar
Apa pandangan anda?