Adakah kamu workaholic atau gila kerja? Bagi mengetahui jika kamu suka bekerja, kenalinya melalui tanda-tanda ini.
Maksud gila kerja
Dalam bahasa Inggeris, ia lebih dikenali dengan nama workaholic. Ia bermaksud kamu terlalu sibuk bekerja seolah-olah sudah ketagih dengan pekerjaan tersebut.
Ia adalah satu keadaan di mana kamu tidak boleh mengawal diri daripada terus bekerja sepanjang masa.
Ketagihan bekerja atau gila kerja ini adalah salah satu daripada gangguan kesihatan mental.
Apakah punca kepada kondisi gila kerja ini?
Kebanyakan daripada keadaan gila kerja ini berpunca daripada paksaan yang dilakukan ke atas diri sendiri bagi mencapai kejayaan atau status dalam pekerjaan.
Ada juga punca di mana ia bagi mengelakkan diri daripada mengalami stres atau tekanan yang berkaitan dengan emosi.
Tetapi kebanyakannya berpunca daripada keinginan untuk mendapatkan kejayaan yang cemerlang dalam sesuatu tugasan yang diberikan.
Percaya atau tidak, mereka yang mengalami ketagihan gila kerja juga boleh mengalami ‘high’ seperti penagih dadah.
Mereka tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami keadaan tersebut.
Tetapi salah satu tanda bahawa mereka telah sampai ke tahap itu ialah, mereka kerap mengulangi tabiat gila kerja ini sehingga tidak mampu untuk menghentikannya.
Tanda-tanda jika seseorang itu ketagihan atau gila kerja
Ada 11 tanda umum yang boleh menentukan sama ada anda adalah seorang yang terlalu sibuk bekerja atau tidak:
#1. Tiada masa bersama keluarga
Pernahkah ahli keluarga kamu menyatakan bahawa kamu terlalu sibuk bekerja? Atau mereka rasa terabai?
Jika pernah, itu adalah salah satu tanda bahawa kamu terlalu sibuk bekerja. Kamu mungkin memberikan alasan bahawa kamu mendapat tekanan untuk mencapai sasaran prestasi tugasan.
Tetapi kamu tidak sedar bahawa banyak masa kamu hanya dihabiskan dengan bekerja sehingga amat jarang melakukan aktiviti bersama keluarga.
#2. Kerap melihat email kerja di mana-mana
Dengan kemudahan teknologi dan juga sambungan internet, kini tugas kerja boleh dilakukan di mana-mana sahaja.
Namun, kamu mungkin tidak sedar bahawa kamu menggunakan kemudahan ini dengan kerap ‘bersama’ tugas kerja kamu tanpa mengira masa dan tempat.
Sebagai contoh, kamu memeriksa emel kerja walaupun ketika kamu sedang berehat, baring atau hendak tidur.
Kamu juga mungkin memeriksa emel atau tugasan kamu sewaktu membuang air di dalam tandas.
#3. Rumah juga menjadi pejabat
Kebiasaan waktu bekerja hanyalah antara 8 ke 9 jam sehari.
Namun, bagi mereka yang sibuk bekerja sehingga mengalami ketagihan, tugas kerja dibawa pulang ke rumah dan disambung sehingga waktu tidur.
Tabiat ini diulang-ulang setiap hari tanpa disedari.
Kamu juga kerap melihat telefon bimbit, tablet mahupun komputer riba di mana-mana sahaja walaupun ketika di meja makan.
#4. Tidak wujud keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan
Sepatutnya, setelah pulang ke rumah, apa yang perlu kamu lakukan ialah berehat dan menikmati masa bersama keluarga.
Banyak perkara boleh dilakukan di rumah seperti menonton televisyen, bersenam, berkebun, memasak dan pelbagai lagi.
Namun, jika sudah terlalu ketagih bekerja, kesemua perkara ini tidak lagi dilakukan.
Kamu tidak lagi menonton televisyen bersama ahli keluarga atau melancong bersama rakan. Apa yang kamu fikirkan hanyalah kerja, kerja dan kerja.
#5. Tidak mengambil cuti tahunan
Individu lain mungkin gembira ketika mengambil cuti tahunan, tetapi tidak bagi kamu.
Apa yang kamu fikirkan ialah, kerja yang semakin bertimbun atau risau jika rakan sekerja mencari kamu untuk tugasan kerja.
Hasilnya, kamu takut untuk mengambil cuti tahunan dan terus bekerja sehingga akhir tahun.
Apa yang perlu dilakukan adalah, menggantikan individu lain untuk melakukan kerja bagi pihak kamu buat sementara waktu.
Dengan itu, kamu dapat mengambil cuti dan berehat dengan tenang tanpa risau.
Selain itu, kamu juga mungkin akan mengalami perkara-perkara seperti berikut:
- Kerap mencari lebih banyak masa terluang untuk melakukan kerja, bukan untuk berehat
- Bekerja dengan tujuan menunjukkan kebolehan kamu walaupun kamu sendiri rasa terbeban dan tidak berkemampuan
- Tidak mengurangkan tugas kerja walaupun telah disuruh oleh individu lain
- Mengalami masalah kesihatan akibat terlalu kuat bekerja seperti insomnia, pertambahan berat badan dan keresahan
- Jika mempunyai masa lapang, kamu menggunakannya untuk membuat kerja
- Kerap berasa resah dan gelisah apabila kerja bertambah, tetapi tetap mahu menyiapkannya
Semak diri kamu kembali
Semak semula diri kamu. Adakah kamu mengalami satu atau lebih tanda-tanda yang dinyatakan ini?
Jika ya, maka ia bermaksud bahawa kamu sedang mengalami ketagihan bekerja atau gila kerja.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?