Bolehkah pesakit diabetes melakukan senaman seperti jalan kaki setiap hari? Ada manfaat jalan kaki atau sebarang kesan buruk untuk pesakit diabetes?
Ini penjelasan yang patut kamu tahu.
Ada manfaat jalan kaki untuk pesakit diabetes
Sebenarnya, aktiviti berjalan kaki sangat berkesan bagi mengawal paras gula darah pesakit diabetes.
Manfaat jalan kaki ini sangat memberi kebaikan kepada penghidap diabetes jenis 2. Kajian juga telah membuktikan perkara ini.
Ada kajian melibatkan pesakit diabetes jenis 1. Mereka dikehendaki memilih sama ada hendak berjalan kaki selama 30 minit atau tidak melakukan apa-apa selepas makan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa, mereka yang berjalan kaki selepas makan mempunyai bacaan gula darah yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak berjalan selepas makan.
Kesan ini direkodkan dalam tempoh 1 hingga 1 jam setengah selepas makan.
Selain itu, kesan ini juga didapati berlaku dalam kalangan mereka yang bukan pesakit diabetes.
Jadi, ia jelas menujukkan bahawa manfaat jalan kaki ini sememangnya mengawal paras gula darah pesakit diabetes dan juga bukan pesakit diabetes.
Berapa banyakkah kadar jalan kaki yang disarankan untuk pesakit diabetes?
Menurut American College of Sports Medicine dan American Diabetes Association, pesakit diabetes disarankan berjalan kaki selama 30 minit dalam 5 hari seminggu.
Namun, sebelum kamu memulakan aktiviti berjalan kaki ini, bertanyalah kepada doktor yang merawat kamu terlebih dahulu berkenaan kesesuaian kamu melakukan aktiviti berjalan kaki.
Doktor mungkin akan memberikan panduan yang lebih terperinci dan langkah berjaga-jaga kerana doktor lebih memahami keadaan semasa kamu.
Selain itu, doktor mungkin akan menukar pelan ubat-ubatan kamu selain diet agar ia bersesuaian dengan aktiviti yang akan kamu lakukan.
7 tip untuk dapatkan manfaat jalan kaki bagi penghidap diabetes
Bagi mereka yang menghidap diabetes, kamu disarankan untuk mengikuti langkah-langkah ini sebelum dan semasa melakukan aktiviti berjalan kaki:
#1. Jadikan jalan kaki sebagai rutin
Aktiviti fizikal sememangnya memberikan banyak kebaikan kepada tubuh. Ini termasuklah aktiviti berjalan kaki.
Bagi penghidap diabetes, kamu disarankan untuk menjadikan aktiviti berjalan kaki ini sebagai salah satu rutin harian kamu.
Berjalan kaki selama 30 minit setiap hari amatlah disarankan.
#2. Pakai kasut yang sesuai
Penghidap diabetes juga mestilah memakai kasut sukan yang sesuai. Kasut yang dipakai mestilah tidak terlalu ketat dan tidak terlalu kasar.
Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang kecederaan yang boleh berlaku akibat daripada pemakaian kasut yang tidak sesuai.
Memandangkan penghidap diabetes akan mengalami luka lambat sembuh, maka cuba kurangkan sebarang faktor yang boleh menyebabkan kecederaan.
#3. Semak paras gula sebelum memulakan jalan kaki
Jika paras gula darah kamu terlalu rendah, maka kamu perlu makan sedikit sumber karbohidrat sebelum melakukan aktiviti berjalan kaki.
Jika paras gula darah kamu terlalu tinggi, kamu mungkin perlu menangguhkan aktiviti ini terlebih dahulu sehinggalah paras gula darah menurun.
#4. Waktu sesuai berjalan kaki
Waktu yang paling sesuai bagi penghidap diabetes berjalan kaki ialah 30 minit selepas makan.
Kamu juga disarankan untuk berjalan kaki pada waktu pagi berbanding waktu-waktu lain.
#5. Perubahan dos insulin
Apabila kamu melakukan senaman, dos insulin anda juga akan berubah. Bertanyalah kepada doktor berkenaan perubahan dos insulin yang sesuai dengan aktiviti berjalan kaki kamu.
#6. Jangan lupa minum air dengan banyak
Pastikan kamu minum air bagi mengelakkan dehidrasi semasa berjalan kaki.
Minum air sebelum berjalan kaki, dan minum lagi setelah 20 minit berjalan kaki.
Selepas tamat berjalan kaki, minum lagi air bagi meningkatkan hidrasi tubuh kamu.
#7. Pastikan tanda-tanda hipoglisemia
Hipoglisemia adalah keadaan di mana tubuh kamu mengalami paras gula darah yang amat rendah.
Jika kamu mengalami pening kepala, lemah, keliru, berasa lapar, sakit kepala atau mana-mana simptom yang kurang enak, maka cepat-cepat dapatkan sumber karbohidrat untuk mengelakkan hipoglisemia berlarutan.
Kesimpulan
Manfaat jalan kaki ini sememangnya sangat baik untuk turunkan paras gula darah penghidap diabetes.
Namun, sebelum memulakan sebarang aktiviti berjalan kaki, bertanyalah kepada doktor terlebih dahulu untuk melihat kesesuaian kamu melakukannya.
Pastikan juga kamu mengikuti tip berjalan kaki yang telah kami berikan di atas khas untuk pesakit diabetes.
Untuk lebih banyak artikel sebegini layari Hello Doktor
Apa pandangan anda?