Posted on August 15, 2023
Bangkok, Thailand merupakan destinasi percutian yang tidak pernah sepi daripada kedatangan pelancong sehinggalah pandemik Covid-19 tiba-tiba menghantui dunia. Hampir tiga tahun pencinta kota yang tidak pernah tidur ini harus memendam rindu. Jadi, apabila pintu sempadan Thailand dibuka kepada pengembara pada Mac 2022, ramailah yang berburu ke sana. Demi melepaskan ‘gian’ untuk membeli-belah, demi menikmati makanan Thailand yang keenakkan tidak sama dengan yang ada di negara masing-masing.
Untuk mencari makanan halal tidaklah sesukar mana pun. Ada banyak gerai atau restoran yang menawarkan makanan halal yang boleh dicuba. Antara lokasi selera yang boleh anda kunjungi di Bangkok ialah Yana Restaurant, Samat Muslim Food, Tom Yam Paa Nga, Yusup Pochana, Restoran Muslim dan Sophia Restaurant. Setiap restoran ini menjanjikan pengalaman kulinari yang memikat selera, terutamanya jika anda mencari hidangan tradisional Thai yang diwarisi secara turun-temurun. Pilihannya tidak terhad, dan sudah pasti, Bangkok adalah syurga penggemar makanan.
Bagi yang sering bercuti ke Bangkok, pasti setiap perjalanan melibatkan pengalaman masakan yang menggembirakan. Untuk perkongsian kali ini, kami ingin mencadangkan buah tangan atau cenderahati yang boleh anda bawa pulang ke Malaysia. Bukan barangan yang boleh dipakai atau boleh dipamerkan di rak rumah anda, tetapi snek rumpai laut TaoKaeNoi yang boleh membuatkan anda kecur liur, memanjakan lidah dan memenuhi nafsu makan anda. Jenama snek nombor satu di Thailand dan disahkan halal ini baharu sahaja melancarkan empat perisa istimewa yang hanya boleh didapati di negara berkenaan. Menariknya, ia adalah inspirasi makanan jalanan yang menjadi kegemaran ramai. Jom semak makanan dan perisa yang dimaksudkan.
Makanan Thai tradisional ini ialah hidangan yang menggunakan kuetiau, ayam, daging atau makanan laut yang dihidangkan bersama taugeh dan taburan kacang tanah. Ia juga merupakan makanan jalanan yang paling popular, bahkan dinobatkan sebagai salah satu makanan kebangsaan Thailand. Pad Thai boleh dikatakan menu wajib di setiap dapur restoran Thai. Jika anda salah seorang penggemar hidangan ini, sila dapatkan TaoKaeNoi perisa Pad Thai untuk dibawa pulang. Perisa istimewa ini pasti menggamit memori perjalanan anda ke Thailand.
Bukanlah mahu melebih-lebih, tetapi hidangan yang satu ini jika dimakan di sini rasanya tidak mungkin sama seperti yang dimakan di Thailand. Bagaikan ada sesuatu yang kurang. Dibuat dengan menggunakan ayam cincang yang diperisakan dengan banyak daun selasih untuk membangkitkan aroma bau yang memancing selera. Enak dimakan dengan sepinggan nasi panas dan disempurnakan dengan sekeping telur mata. Perisa ini turut diabadikan oleh TaoKaeNoi untuk snek rumpai lautnya. Membawa pulang sebekas ayam basil ke Malaysia mungkin boleh, tetapi tidak praktikal dan mudah basi. Crispy Seaweed TaoKaeNoi perisa Stir Fried Chicken with Basil adalah pilihan bijak untuk memuaskan selera anda.
Hidangan salad yang satu ini juga popular di kalangan rakyat Malaysia. Som tam boleh dikategorikan sebagai sajian yang menyihatkan. Bahan utamanya adalah hirisan betik muda, sayuran dan sos istimewa. Sesetengah restoran turut mencampurkannya dengan udang atau sotong untuk meningkatkan rasa. Ada juga yang mencampurkan isi ayam. Hidangan ini berasal dari daerah Isaan yang terletak di bahagian timur Thailand dan biasanya dijadikan hidangan pembuka selera atau menggantikan hidangan berat dalam diet harian.
Kombinasi rasa pedas, manis, masam dan masin membuatkan ramai yang jatuh cinta dengannya. Untuk merealisasikan perisa ini dalam siri makanan jalanannya, TaoKaeNoi membawakan tempura seaweed dalam perisa Thai Papaya Salad with Salted Egg. Setiap kunyahan memberi keranggupan yang mengundang ketagihan. Perisanya juga sempurna, bagaikan menikmati sepinggan som tam di rumah sendiri.
Jika anda masih ingat, ketika restoran Boat Noodles menjengah ke Malaysia, restoran ini mendapat sambutan luar biasa. Ramai yang sanggup berbaris panjang untuk menikmati keenakan mi sup Thai ini. Dihidangkan dalam mangkuk kecil, masing-masing seronok menyusun tinggi mangkuk mi yang telah kosong dan dikongsi ke akaun media sosial masing-masing. Sehingga kini hidangan boat noodle berasal dari Thailand ini masih mempunyai peminat tegar. Warga Malaysia sudah tahu benar dengan sup Pathumtani dan Ayutthaya.
Kedua-dua sup ini menggabungkan ramuan herba dan rempah ratus yang mewah dengan rasa. Kalau nak tahu bagaimana TaoKaeNoi menterjemahkan perisa ini dalam versi grilled seaweed, belilah perisa Boat Noodle ini di mana-mana pasaraya atau King Power di Thailand. Buat penilaian sendiri dan jika puas hati boleh bawa pulang untuk dihadiahkan kepada keluarga dan kawan-kawan.
TaoKaeNoi lantik tiga duta jenama sempena ulang tahun ke 20
Dalam perkembangan lain, TaoKaeNoi Food & Marketing Public Company Limited atau TKN baru-baru ini menyambut ulangtahun ke 20 keberadaannya dalam industri pemakanan sebagai pengeluar dan pengedar rumpai laut yang diproses.
Bersempena dengan sambutan itu TaoKaeNoi, telah menganjurkan Global Fun Fair di mana mereka telah memperkenalkan tiga duta jenama mereka yang terdiri daripada Gulf Kanawut Traipipattanapong, Zee Pruk Panich dan NuNew Chawarin Perdpiriyawong. Ketiga -tiga selebriti popular ini akan menjadi penentu arah aliran dalam mewujudkan kesedaran kepada kumpulan sasaran dan pasaran TaokaeNoi di peringkat antarabangsa. TaoKaeNoi kini lebih bersedia untuk menyokong kehadiran pelancong asing dan ia dijangka mencecah 30 juta orang pada 2023. Ketua Pegawai Eksekutif TaoKaeNoi Food & Marketing Public Company Limited, Itthipat Peeradechapan berkata, TaoKaeNoi akan terus menekankan kepimpinannya dalam pasaran rumpai laut.
“Tahun ini, syarikat kami telah menjalankan perniagaan selama 20 tahun dan masih menjadi jenama rumpai laut nombor 1 yang telah memenangi hati pengguna sejak sekian lama. Dengan keazaman kami untuk membangunkan produk baharu yang sentiasa memenuhi keperluan pengguna, TaoKaeNoi sentiasa memilih bahan-bahan berkualiti tinggi daripada salah satu bahan mentah terbaik dunia yang diperolehi dari Korea bersama-sama dengan proses dan piawaian pengeluaran bertaraf dunia serta disahkan halal,” ujar beliau.
Siri Makanan Jalanan Thai boleh didapati di AEON, Lotus dan kedai utama TaoKaeNoi di Shopee.
Apa pandangan anda?