Posted on November 19, 2020
Lelaki 30-an pasti akan mula rasa perbezaan pada tubuh badan, terutama dari aspek kesihatan lelaki. Kamu akan rasa cepat letih, sakit-sakit badan dan kurang bertenaga, lebih-lebih lagi jika kamu berkeluarga. Perhatian dan fokus kamu pasti 100% tertumpu kepada mereka.
Lantas, lelaki 30-an ini selalu mengabaikan diri dan tidak menitikberatkan soal kesihatan lelaki.
Sebagai pemimpin dan juga ketua keluarga, kamu perlu ambil tahu soal kesihatan. Ikuti artikel ini untuk kenal pasti apakah masalah utama kesihatan lelaki ketika menginjak umur 30 tahun.
1. Utamakan kesihatan lelaki dengan jaga jantung supaya kekal sihat
Perhatikan apa yang kamu makan
Kamu adalah apa yang kamu makan (You are what you eat). Pada umur 30 tahun, kamu perlu mula risau tentang kadar kolesterol dalam badan.
Kadar kolesterol yang tinggi akan meningkatkan risiko untuk kamu mendapat sakit jantung. Oleh itu, kamu disarankan untuk memeriksa kadar kolesterol sekurang-kurangnya sekali dalam masa lima tahun.
Lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Kurangkan makan makanan berminyak dan makanan segera lebih-lebih lagi jika keluarga kamu mempunyai sejarah penyakit jantung.
Berhenti merokok
Jika kamu mempunyai tabiat merokok, inilah masa yang sesuai untuk anda menamatkan tabiat ini.
Pada usia ini, kamu akan mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidap kanser dan sakit jantung. Jika kamu masih mengamalkan tabiat yang sama, jantung kamu akan merasai kesannya ketika anda mencecah umur 40 nanti.
Selalulah bersenam
Kepada kaum Adam yang gemar bersenam, tahniah! Jantung kamu pasti akan berterima kasih kepada anda. Ibarat kereta yang selalu diservis, keadaan kesihatan kamu mesti selalu dalam keadaan tip-top!
Tetapi, walaupun kamu selalu bersenam, kamu akan dapati sukar untuk turun berat badan. Pada umur 30-an, kadar metabolisme badan kamu akan menjadi perlahan.
Inilah punca sebenar lelaki mula menjadi overweight semasa 30 tahun!
Ketika bersenam, lebihkan senaman yang bertujuan untuk membina otot. Jika selama ini kamu banyak berjoging ataupun berbasikal, inilah masanya untuk kamu cuba sesuatu yang baru seperti senaman untuk membina otot.
Senaman ini bukan sahaja mampu untuk mengekalkan berat badan kamu dalam kategori ideal, tetapi mengurangkan risiko kanser dan juga obesiti.
2. Masalah kesihatan lelaki paling lazim, tapi jarang diperkatakan: isu kesuburan mula menghantui!
“Masalah kesuburan? Saya masih muda!”
“Saya tak perlu risau pasal kesuburan, saya kan lelaki!”
Kepada kaum lelaki, harap maaf. Tetapi kenyataan lelaki akan kekal subur walaupun umur sudah lanjut adalah mitos semata-mata.
Mungkin kamu akan menjadi lebih bergaya dan semakin hot, tetapi masalah kesuburan pasti akan hadir bersama-sama dengan peningkatan umur. Kenyataan ini benar kepada kedua-dua lelaki dan perempuan.
Apabila seorang lelaki mula berusia, kualiti sperma akan terjejas. Seorang lelaki mampu menghasilkan jutaan sperma setiap hari. Tetapi, ketika usia meningkat, bilangan sperma sihat akan menurun.
Keupayaan badan untuk menapis sperma yang buruk juga akan berkurang.
3. Ramai lelaki 30-an berisiko untuk menghidap kanser
Kanser testis
Kanser testis sesuatu yang agak jarang berlaku. Namun, kanser ini adalah sangat biasa bagi golongan lelaki berumur 15 – 35 tahun.
Peluang pesakit kanser testis untuk sembuh adalah tinggi. Walau bagaimanapun, penting untuk kamu mengenal pasti faktor risiko untuk anda menghidapi kanser testis.
Jika kamu ada sejarah kanser testis dalam keluarga, mempunyai testis yang tidak turun (undescended testis) ataupun mempunyai pertumbuhan testikel yang tidak normal (seperti Klinefelter syndrome), anda dinasihatkan untuk berjumpa pakar untuk nasihat lanjut. Kamu juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan sendiri kepada testis kamu.
Sama seperti pemeriksaan sendiri payudara, jika kamu mengesan sebarang abnormaliti pada testis seperti ketulan ataupun benjolan luar biasa, segeralah berjumpa doktor anda untuk pemeriksaan lanjut.
Kanser prostat
Kanser prostat bukanlah sesuatu yang merisaukan bagi lelaki yang berumur 30 tahun. Namun, seperti kanser-kanser lain, peluang untuk sembuh akan meningkat jika mendapat pengesanan awal.
Jika kamu mengalami simptom seperti sukar untuk kencing, aliran air kencing yang tidak lancar, selalu ingin buang air kecil, ada darah dalam air kencing dan juga rasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil, ini mungkin tanda kamu menghidap kanser prostat.
Jika kamu mengalami gejala ini, segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.
Kesimpulan
Jika kamu lelaki yang sihat, semua penyakit di atas mungkin bukanlah sesuatu yang merisaukan. Bagi lelaki 30-an, pasti semua mahukan kesihatan yang baik lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga. Pastikan kamu kekal sihat supaya dapat memberikan yang terbaik kepada keluarga dan anak-anak.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Sumber artikel: Laman web Hello Doktor
Apa pandangan anda?