Posted on January 6, 2020
Jika merujuk kepada pengalaman saya bekerja di dunia penerbitan majalah dahulu, Januari adalah bulan ‘kering’ (dry month), bulan di mana tidak banyak iklan yang masuk, bilangan muka surat juga berkurangan dan seakan-akan bulan sendu walaupun ia pembuka tahun baharu. Sama juga seperti kehidupan harian. Jika kamu sudah menetapkan beberapa resolusi baharu, tidak mudah untuk mengubahnya dalam sekelip mata. Contohnya jika kamu berazam untuk berhenti merokok, tidak semestinya pada 1 Januari kamu terus berhenti dan membuang segala rokok yang ada. Apakah aktiviti-aktiviti yang boleh membangkitkan Januari kamu yang hampir mati itu?
Saya ada 6 Cadangan Menarik Untuk Kamu Cuba;
1. Pelan Masa Depan
Merancang masa depan sepatutnya dilakukan sebelum Januari. Tetapi apa salahnya bermula tahun baharu, mood untuk pelan masa depan juga baru datang. Dari sini juga kamu mungkin akan mencongak kembali pengajaran yang kamu dapat daripada pengalaman yang kamu tempuhi.
2. Pinjam Haiwan Peliharaan
Memiliki haiwan peliharaan sangat menyeronokkan, tetapi ia juga komitmen yang serius. Tetapi bertanggungjawab untuk membela haiwan peliharaan benar-benar menggegarkan trajektori hari kamu. Jika kamu benar-benar sayang pada haiwan peliharaan seperti kucing tetapi tidak mampu membelanya, apa kata pinjam daripada teman kamu dan bawa kucing itu berjalan-jalan dan bermain di rumah. Mungkin daripada membawa kucing itu ke taman, kamu dapat berkenalan dengan teman baharu yang mempunyai minat yang sama?
3. Belajar Memasak
Bila masanya lagi dapur mengidam keberadaan kamu di situ? Cuba buka website cef kegemaran kamu dan tiru masakan yang kamu rasa paling ringkas boleh kamu tiru. Tambahkan beberapa bahan untuk dijadikan signature kamu. Ala, Masak Ikan Stim juga mudah. Mulakan dengan yang itu. Barulah skil kamu tercipta.
4. Membuat Tembikar
Kenapa saya senaraikan membuat tembikar di bawah aktiviti di bulan kering ni? Kerana aktiviti ini mengkhayalkan, kamu akan taasub dan fokus membuatnya. Saya pernah belajar membuat tembikar di salah sebuah kelas seni di Singapura. Selain mengajar kamu bersabar, ia juga melentur jari-jari kamu untuk membentuk tembikar dengan lembut supaya dapat hasil yang cukup membanggakan. Setidaknya, kamu akan berbangga dengan mangkuk atau cawan yang kamu cipta sendiri.
5. Belajar Bermain Alat Muzik
Tidak kiralah apa juga jenis alat muzik. Daripada gitar, seruling, piano, serunai dan pelbagai lagi. Kamu, boleh belajar melalui YouTube yang tidak memerlukan kos tinggi. Kalau kamu perlukan khidmat profesional tentulah harus berguru secara praktikal. Jangan terlalu ambitious, pilih lagu kesukaan yang mudah untuk dimainkan. Ia akan mencetuskan satu hobi yang orang lain akan kagumi.
6. Baring & Jangan Bangun Sehingga Februari
Maksud saya, tiada siapa yang akan mengkritik kamu selain rambut kamu akan kelihatan serabai dan bau badan kamu akan busuk.
Apa pandangan anda?