Posted on December 16, 2019
Di suatu petang yang redup, saya meluncur naik ke tingkat 58 Banyan Tree Kuala Lumpur di Restoran Horizon Grill untuk bertemu dengan empat cef dari empat buah negara yang menghidangkan 4 menu terbaik mereka untuk STAIL. Petang itu, saya diperkenalkan dengan Cef Tamara Chavez, Cef Kurt Sombero, Cef Fodil dan Cef Daniel untuk siri Cef Jemputan di Banyan Tree Kuala Lumpur yang menyediakan resipi terbaik mereka kepada pelanggan dalam satu pakej istimewa. Yang membuatkannya eksklusif, hidangan itu hanyalah disediakan pada hari tersebut sahaja. Ini kerana mereka tidak ditempatkan di sini tapi di negara masing-masing.
Apa 4 Menu Terbaik Itu?
Cef Tamara Chavez dengan menu Ceviche Tono yang teramatlah sedap! Bahan-bahannya cukup ringkas. Mengambil resipi daripada tanah airnya Puerto Rico. Ia terdiri daripada scallop, sotong goreng, cili kuning, keledek ungu dilenyek dan digoreng.
Cef Kurt dari Filipina dengan Ikura Papadom. Sebaik saja melihat menu, dalam hati saya berkata papadom pun mahu di fusion kan. Tapi sangkaan tadi dihadirkan dengan kejutan papadom yang dihias seperti pizza mini atau nachos yang kita makan bersama daging potong untuk pembuka selera. Boleh dicuba di rumah, kerana pendapat saya ia sempurna untuk dijamah ketika menonton Netflix sambil santai.
Cef Daniel adalah cef di Horizon Grill Banyan Tree Kuala Lumpur membawa menu Risotto Goreng. Saya bukanlah penggemar risotto dan tidak akan memilih risotto jika ada pilihan lain. Tetapi Rissoto Goreng buatan Cef Daniel berjaya menukar pandangan saya terhadap risotto selama ini. Paling menarik, telur yang dihias di atas risotto yang disatukan bersama jeruk salad, kari madras, kacang merah pedas dan kaluga caviar (telur ikan). Hidangan ini cukup mengenyangkan, jadi ia boleh menjadi menu utama kamu jika ke sini.
Sementara itu, Chef Fodil dari Timur Tengah menghidangkan manisan ciptaannya, bertajuk “Summer”. Satu hidangan lazat daripada buah ara karamel yang berliku-liku dengan sos karamel thyme, dan disalut dengan ais krim karamel.
Jika kamu berkesempatan, apa kata singgah dan tempah meja untuk makan malam di sini. Lihat promosi terkini di laman web ini. Untuk tempahan, sila hubungi Horizon Grill, Banyan Tree Kuala Lumpur di 03 2113 1821 atau e-mel Horizongrill-kl@banyantree.com.
Apa pandangan anda?