Posted on March 2, 2021
Kalaulah kamu sedang mencari sedan segmen B, barangkali Honda City dan Toyota Vios dah masuk dalam senarai pendek pilihan. Ramai juga yang barangkali lupa terus dengan Nissan Almera. Ia bukanlah model sepopular yang lain, dan kami pun tertanya-tanya – kenapa Nissan Almera N18 kurang laku jika dibandingkan dengan yang lain?
Tiga bulan setelah pelancarannya, agak susah untuk kamu lihat Almera generasi ini di jalan raya. Lainlah Honda City 2020, bersepah juga di sana sini. Bukan itu saja, Toyota Vios 2020 pun cukup popular, banyak saja yang meluncur laju di mana-mana. Inilah hakikatnya walaupun Vios dilancarkan lebih lambat daripada Almera.
Adakah City dan Vios jauh lebih bagus berbanding Almera? Bila dibandingkan risalah spesifikasinya, lebih kurang sama saja dan Almera menang dalam beberapa aspek. Di mana silapnya?
Nissan Almera N18: Generasi sebelumnya menjadi angkara
Salah satu sebab utama yang membuatkan Nissan Almera N18 sukar diterima ramai ialah model generasi sebelumnya yang cukup menghampakan. Sepanjang tempoh 8 tahun ia dijual di pasaran Malaysia, Nissan Almera N17 menjadi satu model yang kurang menonjol bagi konsumer.
Kekurangan yang ada pada model ini tidak begitu ketara apabila ia baru saja dilancarkan. Namun, pesaing-pesaingnya semakin maju ke depan dengan pelbagai inovasi dan peningkatan. Rasanya seperti Nissan sudah berhenti mencuba untuk jadi lebih baik dan akhirnya ia semakin ketinggalan dan tenggelam di dalam segmennya sendiri.
Prestasinya hanya suam-suam kuku dan pastinya tak cukup menonjol. Tahap keselesaannya biasa-biasa saja, pengendaliannya serupa naik bot, dan rupa bentuknya juga kurang menarik. Jika kita betul-betul nak cari kelebihannya sekalipun, sememangnya mempunyai ruang dalaman yang luas. Itu saja.
Tahap penawarannya cukup ‘lemau’ dan konsumer tertarik padanya hanya kerana ia dijual dengan harga diskaun. Malah, pemandu e-hailing pun cukup puas hati dengan hanya Perodua Bezza.
Diakui, saya pun pada mulanya mempunyai tanggapan sebegini terhadap Almera 2020 yang mungkin lebih kurang sama saja dengan model sebelumnya. Tanggapan itu meleset sama sekali kerana Almera 2020 memang betul-betul hebat.
Bila masuk saja, kualiti ergonominya terus dapat dirasai. Stereng, pedal, dan sudut pandangan pemandu cukup ngam ngam sui. Kerusi ‘Zero Gravity’nya hebat dan cukup sesuai walaupun bagi orang berbadan besar dan tinggi. Kemasan dwi-tonanya membuatkan ruang kabin terasa selesa.
Kualiti binaannya yang agak bagus juga boleh dirasai dan ruang tempat duduk belakangnya cukup luas sama seperti Almera generasi sebelumnya.
Pengalaman pemanduannya juga mengagumkan. Enjin 1.0 liter berpengecas turbo yang dipadatkan di dalam kereta ini padan sungguh dengan transmisi jenis CVTnya untuk memaksimakan ‘output’ 100 PS dan 152 Nm yang ada.
Tak dinafikan yang kuasanya semput sedikit sekitar 5,000 rpm, tapi Almera bukanlah kereta yang dipandu sampai begitu sekali. Walau dengan enjin 3 silinder, ia cukup lancar dan selesa dipandu.
‘Ride’ dan ‘handling’nya memang hebat. Kawalan badannya cukup tegap dan tenang apabila dipandu walau pada kelajuan tinggi. Pendek cerita, ia tidak seteruk model terdahulu. Respons kereta juga cukup kemas dan ‘direct’. Kabin juga senyap, lebih bagus daripada Honda Accord.
Pastinya pasukan produk yang menghasilkan Almera baharu ini sepatutnya diberi penghargaan yang lebih lagi kerana kamu boleh rasakan betapa bersungguhnya mereka dalam penghasilan model baharu ini. Rupa bentuknya juga sudah diperhalusi untuk nampak lebih cantik.
Almera serba baru ini boleh jadi satu titik perubahan bagi Nissan untuk penghasilan kereta-kereta yang lebih hebat di masa akan datang.
Kesimpulan
Nissan Almera 2020 layak diberi pujian melambung dan diundi sebagai salah satu Kereta Terbaik 2020. Mungkin ada yang berbeza pendapat, tapi penambahbaikan dan kehebatan pada Almera nyata terbukti dalam pandu uji kami.
Walaupun ia tidak didatangkan dengan Android Auto yang barangkali jadi ‘deal breaker’ bagi sesetengah orang, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara yang mudah.
Ia sememangnya kereta yang patut dipertimbangkan setiap kali kamu mencari kereta baru. Sebelum kamu buat sebarang keputusan, cuba pandu uji Nissan Almera N18 ini terlebih dahulu. Bukan maksud kami untuk mengatakan yang City dan Vios kereta yang kurang kualitinya, namun Almera sememangnya boleh bersaing dengan model-model lain dalam segmen ini. Tak kenal maka tak cinta.
Untuk lebih banyak artikel sebegini layari WapCar
Apa pandangan anda?