Posted on March 16, 2020
Pengajaran Coronavirus paling penting yang perlu kita ingat sampai bila-bila ialah untuk menjaga kebersihan diri walau dalam apa jua situasi. Langkah berjaga-jaga paling kerap diingatkan kepada kita waktu ini ialah untuk sentiasa membasuh tangan, menggunakan sanitizer dan menjaga kebersihan diri. Biar pun pada saya ini ialah keperluan asas setiap manusia waima ada coronavirus atau tidak.
Ada pula sesetengah yang begitu fobia dengan kebersihan sampai sanggup mengelap setiap permukaan di sekeliling mereka dengan alkohol. Lihat sahaja Naomi Campbell yang mengambil penerbangan dari Los Angeles ke New York. Sampai memakai sarung badan, sarung tangan dan goggle. Pada saya ini agak keterlaluan.
Ketiadaan vaksin untuk merawat Coronavirus membuat banyak orang tak senang. Yalah, kalau terkena susah pula hendak sembuh. Buat masa ini hanya langkah kuarantin dan bantuan pernafasan sahaja yang disediakan. Seperti kata Judith Fox, phD, Pengarah program International Disaster Psychology Universiti Denver, “Kalau terkena selsema biasa, kita tahu ada vaksin merawatnya, tapi Coronavirus penyakit baru. Ketidaktentuan tentang penyakit inilah yang meningkatkan anxiety orang.”
Pengajaran Coronavirus
Cara terbaik mengawal emosi, pada saat di mana kalau boleh kamu hanya mahu duduk di rumah di bawah selimut ialah dengan merendahkan tahap anxiety kerana ketidaktentuan dengan meningkatkan kepastian kamu. Bermula dengan mengikuti semua langkah penjagaan untuk mengelak daripada merebaknya wabak ini. Antaranya ialah amalan membasuh tangan, elak menyentuh muka dan kuarantin kalau mengalami simptom.
Kata Fox lagi, “Pastikan juga kamu cukup tidur, makan sempurna, exercise dan mengurus emosi dengan membuat rutin harian kamu seperti biasa.” Bukan sahaja kajian membuktikan bahawa individu yang cukup rehat lebih senang melawan virus, kajian lain turut mendapati lebih kamu risau, lebih mudah virus menghinggap. Kerana stres akan melemahkan sistem imun tubuh.
Kawal emosi & minda
Memang penting untuk mendapat maklumat dan bersedia, tetapi yang lebih penting ialah untuk kita meletakkan setiap berita yang dibaca ke dalam konteks yang betul. “Saya rasa kita tak perlu panik, kerana kita tahu kebanyakan kes Coronavirus hanyalah biasa-biasa (mild). Dan kita boleh sembuh tanpa perlu pun masuk hospital,” kata Amar Adalja, MD, sarjana senior di Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health.
“Ingatlah bahawa kita pernah dilanda wabak seperti ini dahulu seperti pandemik H1N1 pada 2009 di mana pada awalnya banyak juga ketidaktentuan tentang penyakit ini.” Dr. Adjala juga menasihatkan agar orang ramai membaca informasi daripada sumber-sumber sahih seperti akhbar dan wartawan sains berbanding teman-teman dan Instagram. Elok juga bertanya dengan hospital atau klinik kesihatan tempatan kata Dr Adalja. “Tanya rancangan mereka dan dapatkan updates, supaya kamu tak terkejut jika apa-apa terjadi.”
Uruskan anxiety sebaik-baiknya
Untuk mereka yang sudah pun memiliki anxiety – seperti di Amerika, ada 40 juta dewasa memiliki anxiety – kerana berita Coronavirus ini boleh membuat anxiety lebih parah. Kata Fox, “Tanggapan buruk terhadap malapetaka yang tiada ketentuan seperti ini amat normal.” Jika kamu ada anxiety dan merasa risau melampau dengan berita wabak ini, bercakaplah dengan kaunselor untuk mengetahui apa yang patut kamu lakukan.
Bagi saya pabila berita-berita tentang Coronavirus ini semakin membimbangkan, saya tutup terus semua saluran berita. Kemudian saya hanya akan ingat kata Dr Adalja: Kebanyakan kes Coronavirus hanyalah biasa-biasa (mild). “Sedikit demi sedikit panik ini akan hilang,” katanya. “Mungkin akan ambil sedikit masa untuk mentaliti orang berubah, tetapi harapan saya, ia akan tiba juga.”
Apa pandangan anda?