Pernahkah kamu dengar tentang penyakit jantung membengkak? Jantung bengkak atau cardiomegaly bukanlah sejenis penyakit dan selalunya berlaku disebabkan kondisi lain. Namun, apakah punca jantung bengkak?
Terma cardiomegaly merujuk kepada saiz jantung yang semakin membesar atau membengkak. Ia dapat dikesan ketika melakukan ujian X-ray.
Walau bagaimanapun, punca jantung bengkak perlu diperiksa dengan lebih lanjut menggunakan beberapa ujian lain.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai penyakit jantung bengkak serta puncanya? Mari ikuti penjelasan kami di bawah.
Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.
Apakah maksud jantung bengkak?
Seperti namanya, jantung membengkak (cardiomegaly) bermaksud saiz jantung yang lebih besar daripada normal.
Untuk pengetahuan kamu, jantung boleh membesar jika otot bekerja dengan kuat sehinggakan ia menebal dan kamar jantung membesar.
Jantung membengkak boleh berpunca daripada stres jangka pendek terhadap badan seperti kehamilan atau penyakit seperti lemah otot jantung, penyakit arteri koronari, masalah injap jantung dan aritmia.
Jantung boleh membengkak dengan dua cara:
- Dilatation – Dinding jantung menjadi nipis dan lemah ketika jantung menjadi semakin besar. Pembengkakan jantung jenis ini boleh menyebabkan kegagalan jantung.
- Hypertrophy – Dinding jantung membengkak dan menyebabkan jantung menjadi kurang efisien. Kondisi ini sering terjadi kepada atlet dan wanita mengandung yang menggunakan jantung secara berlebihan.
Punca penyakit jantung bengkak
Sebenarnya, ada banyak punca di sebalik penyakit ini. Antaranya ialah:
1. Tekanan darah tinggi
Tekanan darah tinggi atau hipertensi salah satu punca jantung bengkak. Penyakit ini memaksa jantung untuk mengepam darah dengan lebih kuat ke seluruh badan dan menyebabkan otot jantung menjadi tebal.
Selain itu, hipertensi juga boleh menyebabkan ventrikel kiri membesar dan menyebabkan otot jantung menjadi lemah. Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan kamar jantung bahagian atas menjadi besar.
2. Penyakit injap jantung
Di dalam jantung kita, terdapat 4 injap yang berfungsi untuk memastikan darah mengalir mengikut arah yang betul.
Walau bagaimanapun, jika injap ini tercedera oleh kondisi seperti demam reumatik, jangkitan, degupan jantung tidak tetap (aritmia), rawatan kanser atau ubat-ubatan tertentu, jantung kamu berisiko untuk membengkak.
Bukan itu sahaja, injap yang tidak berfungsi dengan baik juga akan menyebabkan darah tidak dapat mengalir dengan betul. Oleh itu, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat daripada biasa.
3. Kardiomiopati
Penyakit ini menyebabkan jantung kamu mengalami kesukaran untuk mengepam darah ke seluruh badan. Lama-kelamaan, jantung kamu akan semakin membesar untuk mengepam lebih banyak darah.
Selalunya, pesakit akan alami simptom seperti sesak nafas dan buku lali membengkak. Pesakit juga mungkin akan alami pening kepala dan juga sakit dada.
4. Hipertensi pulmonari
Hipertensi pulmonari adalah tekanan darah tinggi di dalam arteri yang menghubungkan organ jantung dan juga paru-paru.
Penyakit ini menyebabkan jantung perlu mengepam darah dengan lebih kuat di antara jantung dan juga paru-paru. Akibatnya, bahagian kanan jantung kamu mungkin akan membengkak.
5. Penyakit arteri koronari
Individu yang mengalami kondisi ini mempunyai plak lemak dalam kawasan arteri yang boleh menghalang pengaliran darah dan menyebabkan sakit jantung.
Apabila satu bahagian otot pada jantung mati, jantung kamu terpaksa bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan.
Lama-kelamaan, jantung akan membengkak kerana terpaksa bekerja dengan lebih keras.
6. Penyakit tiroid
Kedua-dua jenis penyakit tiriod iaitu hipertiriodisme dan hipotiriodisme boleh menyebabkan masalah jantung yang membuatkan jantung membengkak.
Jika kondisi ini tidak dirawat, penyakit tiroid boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, peningkatan kolesterol dalam darah, degupan jantung tidak teratur dan jantung membengkak.
7. Pernah mengalami serangan jantung
Jantung manusia boleh menjadi lemah selepas terkena serangan jantung. Oleh sebab itu, otot yang lemah mungkin akan membengkak atau membesar untuk terus berupaya mengepam darah ke seluruh badan.
8. Obesiti
Mempunyai terlalu banyak lemak badan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Seperti yang dijelaskan di atas, tekanan darah tinggi adalah salah satu punca utama jantung membengkak.
9. Kurang bersenam
Mereka yang mempunyai gaya hidup sedentari lebih berisiko untuk menghidap pelbagai jenis penyakit termasuklah penyakit arteri koronari dan juga tekanan darah tinggi.
Semua penyakit ini akan meningkatkan risiko jantung membengkak pada masa hadapan.
10. Umur yang kian meningkat
Apabila kita semakin tua, arteri kita akan hilang keanjalannya.
Apabila salur darah ini semakin ‘keras’, mudah untuk kita mengalami tekanan darah tinggi yang juga salah satu faktor utama jantung membengkak.
Kesimpulan
Jika kamu mempunyai sejarah keluarga mengenai penyakit jantung bengkak seperti kardiomiopati, pastikan kamu berjumpa doktor secepat mungkin.
Kondisi ini dapat dirawat dan dielakkan jika ia dikesan dengan lebih awal.
Untuk mengelakkan penyakit jantung bengkak, pastikan kamu menjauhi faktor risiko penyakit ini seperti amalan merokok, mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan juga diabetes.
Pastikan kamu makan secara sihat dan selalu bersenam.
Mengawal tekanan darah tinggi dengan diet, senaman dan ubat-ubatan juga boleh mengelakkan kamu daripada mengalami masalah jantung membengkak pada masa hadapan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?