Posted on January 2, 2020
Gambar: Pelbagai Sumber
Cemburu melihat persembahan bunga api di luar negara yang mempunyai pelbagai formasi dengan sambutan besar-besaran tika hadirnya tahun baharu. Hey, siapa kata sambutan di Malaysia kalah? Di ibu negara sahaja banyak lokasi yang meraikan dengan penuh meriah seperti Sunway Lagoon, i-City Shah Alam, St. Regis, KLCC serta Dataran Merdeka sambil meraikan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020. Di sini, saya senaraikan 5 persembahan bunga api terbaik sempena sambutan tahun baharu 2020.
- Wilayah Persekutuan, Putrajaya
Terbabit sekali dengan Festival LAMPU Putrajaya 2019 ataupun Festival of Light and Motion Putrajaya yang kian kali diadakan di hadapan Istana Kehakiman, Tahun Baharu 2020 meriah disambut di sana sebagai acara kekeluargaan. Pengunjung dapat melihat seni visual yang dipancarkan pada bangunan dengan percikan bunga api yang besar.
- KLCC, Kuala Lumpur
KLCC sebagai mercu tanda kota Kuala Lumpur tidak pernah lepas dengan Konsert Ambang Tahun Baharu. Di sinilah titik tumpu orang ramai termasuk pelancong ingin melihat bunga api yang diletupkan sebagai latar belakang Menara Berkembar Petronas. Tahun ini terdapat pentas yang didirikan berhadapan kolam air pancut di taman Suria KLCC sebagai hiburan sempena menantikan detik 12 malam.
- Sunway Lagoon, Selangor
Pesta anak muda di perkarangan kolam air yang dikeringkan untuk pesta tahun baharu lebih meriah tahun ini di Sunway Lagoon. Orang kata, ia akan menjadi pesta yang bakal menarik pengunjung pada tahun-tahun akan datang. Sunway Lagoon, memercikkan bunga api hampir di sekeliling taman temanya. Meriah sekali dengan kehadiran muzik dan penggemar muzik tegar ke sini.
- Kuching, Sarawak
Borneo turut menyambut 2020 dengan penuh gemilang terutamanya di ibu negeri Sarawak, Kuching. Bunga api yang meriah dilepaskan berhampiran Jambatan Darul Hana yang menghadap Bangunan Parlimen Sarawak. Lokasi ikonik tengah bandaraya ini sememangnya menjadi tarikan semua yang hadir ke Kuching.
- The Top, Pulau Pinang
Tinggi, ada taman tema dan kawasan tarikan pelancong, The Top Penang menjadi kemuncak berakhirnya 2019 dan menyambut 2020 penuh cahaya kegembiraan. Kali ini The Top all out meraikan tahun baharu. Ini kerana mereka secara besar-besaran menyusun strategi mempromosikan lokasi baharu itu untuk menaikkan jumlah pengunjung sambil memperkenalkan tarikan-tarikan yang disediakan di sana.
- Genting Highlands, Pahang
Okay ini kelakar sedikit. Genting Highlands menjadi tumpuan saban tahun untuk menyatukan ramai orang dalam acara basar-besaran. Ya, mereka berjaya kali ini tetapi saat mengira detik jam 12 tengah malam, tiada bunga api yang muncul. Semua kamera telah menuju ke langit dengan harapan ada percikan bunga api malangnya malam itu persembahan bunga api terpaksa dibatalkan kerana kabus yang terlalu tebal dan ia tangguhkan ke malam tadi.
- i-City Shah Alam
i-City menjadi taman tema cahaya setiap hari. Namun, bagi penduduk di sebelah Klang dan Shah Alam yang malas ke Kuala Lumpur, i-City adalah lokasi terbaik untuk mereka berkumpul. Bunga api kali ini lebih indah kerana panorama bangunan di i-City yang penuh cahaya turut menyerlah.
Apa pandangan anda?