Proton Wira 1.8 EXi LE salah satu produk ‘masterpiece’ keluaran Proton hasil daripada pembabitan meraka dalam arena rali. Kalau sebut sahaja model Proton mana yang digiur ramai, selalunya tak sah kalau nama Wira 1.8 EXi ini tak disebut sekali dengan Satria GTi dan Putra.
Perusahaan Automobil Nasional, atau lebih dikenali sebagai Proton, suatu ketika dahulu lincah bersaing di arena sukan permotoran rali tempatan dan juga antarabangsa. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan.
Maklumlah, kerjasama mereka dengan salah satu otai dalam rali iaitu Mitsubishi menjadikannya ia sebagai pilihan natural kepada Proton untuk membuktikan kehebatan mereka.
Namun begitu, berbanding Satria GTi dan Putra, Wira 1.8 EXi ini lebih unik dan istimewa. Ia satu-satunya produk Proton yang mempunyai pengiktirafan homologasi oleh Fédération Internationale de l’Automobile, atau lebih dikenali sebagai FIA, badan sukan permotoran sedunia yang membolehkan Wira bertanding di dalam acara rali, terutamanya Group N pada masa itu.
Ini dah kira sama taraf dengan Toyota GR Yaris, Mitsubishi Lancer Evolution, dan juga Subaru Impreza. Bukan kaleng-kaleng.
Sebagai pemilik Proton Wira 1.5 GL 1993 standard yang telah saya miliki sejak 10 tahun lalu, saya acap kali bertanya, “apa yang ‘power’ sangat pasal Wira ni sampai dia jadi ‘legend’?,”
Akhirnya, pada hari Jumaat, 10 haribulan September 2021, persoalan itu akhirnya terjawab.
Nampak macam Wira dengan kit badan, tetapi ia lebih daripada itu
Bagi orang biasa, mesti mereka tidak dapat membezakan apa yang unik sangat pasal Wira C99 ini. Mungkin sayap ‘tiang gol’ itu je lah kot.
Hanya peminat kereta sejati yang boleh melihat perincian yang berbeza seperti ketinggian kereta yang lebih rendah, roda 14-inci AAC, brek cakera depan dan belakang, serta warna kereta yang unik kepada 1.8 EXi LE ini.
Berbalik semula kepada ciri ikonik model C99 ini, iaitu sayap ‘tiang gol’ di belakang – ia sebenarnya bukan setakat gaya sahaja, kerana sayap ini direka khas bagi memenuhi ciri-ciri homologasi FIA.
Walaupun Mitsubishi dan Proton adalah rakan kongsi, Proton tidak boleh dengan selambanya memasang sayap daripada Lancer Evolution 1, 2, ataupun 3.
Menurut legenda yang dikongsikan oleh beberapa individu yang terlibat dalam projek C99 seawal pengembangannya, jurutera Proton mencipta reka bentuk sayap belakang dengan sendirinya.
Hasilnya, sayap ‘tiang gol’ ini membolehkan Wira C99 ini kekal stabil pada kelajuan melebihi 150 km / j, melepasi ujian terowong angin yang juga sebahagian daripada standard homologasi Group N FIA.
Segala yang ada pada Wira C99 ini mempunyai fungsi dan bukan setakat gaya, daripada 20 kimpalan sirat berganda (double stitch welded) di mana frem dan cantuman komponen cesis telah dikimpal sebanyak dua kali bagi menguatkan struktur dan mengurangkan tahap lentur (body flex) ke jumlah yang minima, bar penstabil di belakang dan depan, hingga ke tempat duduk Recaro Enjoy serta stereng dan tombol gear Momo.
Tahukah kamu Proton Wira 1.8 EXi LE ini kereta Malaysia pertama yang menggunakan beberapa aksesori dan kemasan dalaman daripada jenama Itali ini? Memang mantap.
Selain itu, Wira C99 juga dilengkapi dengan beberapa ciri yang pertama dalam aspek lain, seperti kereta Proton pertama yang menggunakan dengan enjin dual-overhead cam (DOHC) dan sistem brek anti-kunci (ABS).
Kereta ini adalah 1 daripada 1,380 unit yang dibina pada 1996. Secara keseluruhan, 2,500 C99 LE dibuat; 2,450 daripadanya di Majorca Black (seperti ini) dan 50 lagi dalam bentuk RS yang lebih asas dan ringan.
Otai masih berbisa
Kredit untuk restorasi ini diberikan kepada Dream Street Restoration (DSR), diketuai oleh Encik Suriya Sankaran, anaknya Encik Dharveen (pengasas DSR & DSR Production House) serta Nizar Faez (media).
Sebagai perniagaan keluarga yang ditubuhkan pada 2020, DSR dengan pantasnya menjadi terkenal sebagai pakar pemulihan casis Proton C99.
Ini didukung oleh pengalaman yang diambil dari masa Encik Suriya bekerja sebagai bekas kakitangan Proton R3 dan pemandu rali pada era 90an.
Casis yang diberi nombor DSR-009-C99 ini, dimiliki oleh seorang individu di Pulau Pinang, dan kereta ke-9 yang melalui restorasi mendalam oleh DSR. Menariknya, ada beberapa bahagian yang telah dikekalkan menurut keadaan asal semasa Wira ini keluar daripada kilang Proton pada 1996.
Beberapa kelengkapan ‘kapsul-masa’ ini termasuk tayar ganti (yang bermula pada minggu ke-23 tahun 1996), kit kecemasan (botol cecair, penyumbat tayar, jek kereta), dan ‘sunblind’ di bahagian belakang yang masih lagi berfungsi dengan cemerlang.
Bagaimana perasaan memandu Wira C99 ini?
Terdapat banyak lagi perincian yang boleh kami kongsikan seperti kemasan trim kayu ASLI di papan pemuka, dan gril yang spesifik kepada varian, tetapi dalam artikel ini, kami ingin memberikan perhatian lebih khusus kepada pengalaman pemanduan.
Maklumlah, banyak media lain asyik-asyik melaporkan perkara yang sama, jadi kami di WapCar ini melihatnya dari sudut yang berbeza.
Tempat duduk Recaro Enjoy dengan corak 90an memegang anda dengan begitu selesa, dan mencari kedudukan memandu yang ideal bukanlah sesuatu yang sukar sama sekali.
Walaupun ia kereta yang dilengkapi dengan pelbagai ciri homologasi, masih terdapat banyak lagi pelarasan dan penyesuaian yang boleh dilakukan. Malah penglihatan di sekeliling Wira C99 ini juga agak baik.
Fokus pemulihan dan penambahbaikan pada trenkuasa ini begitu ketara sekali. Enjin 1.8 liter 4G93P yang telah melalui proses ‘blueprint’ ini ringan, lancar, dan senyap.
Proses ‘blueprint’ ini kerap kali disebut oleh Encik Suriya pada kesemua projek restorasi C99 di DSR, tetapi kamu jangan tersilap pula dengan mengatakannya ia adalah ayat glamor untuk baik pulih (overhaul)!
‘Blueprinting’ adalah proses pemesinan besar-besaran yang memakan masa, mengorek, mengasah, ‘squaring’, dan segala macam lagi untuk mengembalikan enjin ke toleransi yang lebih ketat daripada kilang.
Dalam ayat yang ringkas, membina semula enjin ke keadaan lebih baik daripada yang baru.
Hasilnya, ia adalah sebuah kereta yang sememangnya sesuai dengan legasi dan aura Wira berlegenda in. Penghantaran kuasa teramatlah lancar, termasuklah transmisi 5-kelajuan dengan yang klac ringan dan penukaran gear yang lembut, hampir setara dengan kereta pada zaman itu.
Angka 140 PS dan 167 Nm pada enjin 1.8 liter 4G93P ini mungkin bukan angka yang menakjubkan pada masa kini, tetapi ia terasa begitu sebati dengan casis ini.
Berbanding Wira standard, ia lebih keras dan tegap. Penggunaan tayar Goodyear moden dengan sisi yang keras memberikan input stereng yang begitu langsung.
Antara poin tambahan lain ialah pengendalian casis. Ia amatlah mengagumkan, terutamanya dari segi meresap segala lekuk dan liku di jalan raya.
Sebahagian dari kehebatan pengendaliannya berasal daripada kekuatan pakar yang dipilih sendiri oleh DSR. Fawster Suspension, milik anak tempatan dan pemandu profesional Faidzil Alang telah menggabungkan strut Satria GTI dengan gegelung daripada Wira SE, serta ‘mangkuk’ strut yang lebih rendah untuk memastikan geometri suspensi yang lebih optima, Wira ini menawarkan perjalanan yang selesa di samping pengendaliannya yang hebat.
Ia adalah sebuah kereta yang sangat komunikatif, tidak pernah terasa kekok, mempunyai dinamik casis yang mantap, dan paling penting – mempunyai jiwa pemanduan yang amat menusuk kalbu.
Ikon dan khazanah Malaysia?
Ini mungkin kedengaran seperti terlalu ‘over’, tetapi kami rasa yang Proton Wira 1.8 EXi ini berada pada taraf yang sama dengan Lancer Evolution, Impreza WRX STI, malah juga Toyota GR Yaris.
Apa yang membuatkannya kami berkata sebegitu? Seperti yang kami sebutkan, ia adalah sebuah kereta yang mampu anda ‘belasah’ di hujung minggu ataupun di trek, tetapi pada masa sama selesa untuk membawa ahli keluarga/isteri/rakan-rakan berjalan.
Yang penting, harga barang tidaklah terlalu mahal dan banyak alat ganti masih boleh lagi dicari (melainkan yang unik kepada kereta ini sahaja).
Terdapat banyak poin yang saya suka tentang mengenai Wira C99, dan ia membuatkan saya sayang lebih kepada Wira 1.5 GL standard milik saya.
Antara pendapat yang saya dan Encik Suriya setuju adalah kereta-kereta sebegini patut dipelihara untuk generasi akan datang agar mereka tahu Proton bukan setakat sebuah syarikat yang menjual SUV daripada China, tetapi mereka lebih daripada itu.
Tidak dapat dinafikan, untuk wang yang tuan punya badan belanja untuk projek restorasi Wira ini, kamu boleh membeli sebuah Perodua Axia baru. Namun begitu, kepuasan memiliki legenda, ikon, dan juga perincian yang telah dihasilkan oleh DSR, membuatkan jumlah itu terasa seperti biasa sahaja. Hidup Proton Wira.
Terima kasih kepada Dream Street Restoration kerana menjemput saya dan Sanjay, rakan sekerja di WapCar untuk mengetahui apakah yang membuatkan Wira ini ‘crème de la crème.
Artikel ini ditulis oleh Zamil Syaheer untuk WapCar
Apa pandangan anda?