Kita pasti dah dengar betapa orang ramai memuji Proton X50 2020 – ia lebih murah berbanding abangnya, Proton X70, dan ia juga dipadatkan dengan enjin 1.5 liter TGDi dan MPi berpengecas turbo dengan 3 silinder yang juga enjin generasi baru.
Ia juga menawarkan pelbagai kelengkapan lain seperti sistem infotainmen GKUI baharu yang mengalahkan sistem di dalam pesaingnya, Honda HR-V. Ya, semuanya nampak hebat, tapi satu perkara yang membuatkan SUV ini tidak begitu sesuai untuk wanita dan gadis-gadis ialah kemasan kerusi kulitnya yang kasar.
Walaupun X50 dilengkapi dengan kerusi kulit, material kulitnya tidak terasa seperti kulit langsung. Malah, kemasannya terasa seperti plastik dan kasar bila disentuh. Disebabkan permukaannya yang tidak begitu lembut dan halus disentuh, wanita pasti akan rasa sukar untuk beralih dan ‘slide’ keluar-masuk kereta.
Bukan apa, kami dah cuba. Tempat duduk kulit yang bagus sepatutnya lembut dan licin pada kulit dan fabrik pakaian. Ia sepatutnya cukup licin untuk melancarkan pergerakan tanpa rasa kurang selesa. Yang pastinya tahap kelicinannya haruslah sedang-sedang saja supaya kamu tidak tergelungsur semasa memandu.
Walaupun bila dibandingkan dengan Perodua Myvi, yang dikenali dengan kerusinya yang kurang selesa, kerusinya tidak sekasar kemasan kulit kerusi Proton X50 2020. Ia tidak terasa seperti ada ‘grip’ atau cengkaman pada pakaian kamu yang mengehadkan pergerakan.
Inilah satu kekurangan yang kita jarang sekali perasan sehinggalah kita temui dan rasai perbezaannya. Mungkin ramai yang tak kisah dengan kekurangan ini memandangkan kelengkapan X50 yang lainnya masih lagi boleh menebus satu kekurangan kecil ini, tapi bagi wanita dan gadis-gadis, kekurangan ini akan terasa lebih ketara dan melecehkan.
Ya, ini bukanlah satu kekurangan yang besar. Tapi, bayangkan apabila kamu dah bersiap cantik-cantik dengan OOTD ‘girls’ night out’, terutama sekali dengan pakaian ketat, proses keluar-masuk SUV baru ini akan jadi sukar.
Memandangkan kamu tak dapat nak ‘slide’ masuk untuk duduk, kamu terpaksa mengangkat badan dan mengengsot sambil mengangkat punggung sedikit demi sedikit. Bagi kaum lelaki yang tak faham, perkara ini menyukarkan dan gadis-gadis kena berhati-hati jika pakaian ketat dan singkat.
Malah, tak kisahlah pakaian apa sekalipun, baju kurung chiffon atau renda pun lagi lah melekat. Permukaan kerusi yang kasar boleh menarik baju dan kejadian tak diingini boleh berlaku.
Tambahan pula, X50 ini lebih tinggi berbanding sedan dan hatchback. Gadis-gadis kenit dan comel mungkin kena berusaha sikit untuk masuk ke dalam SUV ini.
Oleh itu, kami nasihatkan jika kamu merancang untuk keluar dengan geng bawang atau ‘girl gang’ kamu dengan OOTD cantik-cantik, tinggalkan sajalah X50 anda di rumah dan minta orang lain (dengan kereta lain) untuk bawa kamu ke sana ke mari.
Ladies, tak percaya? Pergi dulu ke bilik pameran Proton X50 2020 dan rasakan kemasan kerusinya sendiri.
Seperti yang kami pernah katakan, walaupun Proton X50 mungkin kurang selesa untuk perjalanan jauh, tapi dengan harganya yang lebih mampu milik (bermula dari RM 79,200) dan pelbagai kelengkapan moden serta pilihan enjin yang lebih berkuasa, kelebihan-kelebihan yang ada pada X50 membuatkannya satu pilihan yang lebih menarik berbanding Honda HR-V walaupun ia tidak sepraktikal SUV Honda tersebut.
Jom baca lebih banyak lagi kelebihan serta kekurangan Proton X50 di sini.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?