Posted on May 5, 2021
“Seks berapa kali seminggu perlu buat ya untuk melakukan hubungan suami isteri?”
Persoalan sebegini pasti akan wujud dalam fikiran mana-mana pasangan suami isteri.
Adakah sekali seminggu sudah memadai? Adakah perlu kurang atau lebih daripada jumlah itu?
Jangan risau, Hello Doktor ada jawapannya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Seksual, sila dapatkannya di sini.
Kepentingan seks dalam hubungan suami isteri
Dalam kehidupan berumah tangga, tiada apa yang lebih penting daripada perasaan cinta, rindu, bahagia dan kasih sayang.
Persoalannya, bagaimana untuk mengecapi semua ini?
Mudah sahaja, sudah tentulah dengan kehidupan seks yang sihat dan sejahtera.
Setiap pasangan perlu melakukan hubungan intim bagi memenuhi keperluan dan kemahuan seksual masing-masing.
Dalam pada itu, aktiviti inilah yang akan merapatkan lagi perhubungan di antara suami isteri.
Tanpanya, tiada ertinya pertalian kamu berdua.
Cuba bayangkan kehidupan kamu dan pasangan di bawah satu bumbung, di dalam satu bilik, dan di atas satu katil, namun tiada apa yang kamu berdua lakukan kecuali tidur.
Ya, ia satu kerugian yang kemudian akan menjejaskan keharmonian hidup dalam rumah tangga.
Jadi, usah bertangguh dan beralasan lagi. Sila berbincang bersama pasangan tentang aktiviti seks kamu berdua.
Namun, adakah kalian tahu berapa kali seks untuk seminggu yang suami isteri perlu buat? Jika tidak, teruskan membaca!
Seks berapa kali seminggu untuk hubungan suami isteri?
Jelas Dr. Logan Levkoff, Pakar Seks dari New York University, sebenarnya tiada jumlah normal untuk melakukan seks dalam seminggu kerana setiap perhubungan berbeza bergantung kepada individu.
Dalam erti kata yang lain, istilah ‘normal’ itu perlu difahami oleh kamu dan pasangan.
Jadi, komunikasi antara kamu berdua adalah kunci utama untuk memastikan kalian puas atau tidak dalam konteks hubungan intim.
Pun begitu, ada kajian yang mengatakan sebenarnya ada jumlah berapa kali seks untuk seminggu yang ideal dipraktikkan oleh suami isteri!
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Archives of Sexual Behavior pada 2017, majoriti pasangan yang tinggal di Amerika Syarikat akan melakukan hubungan seks sekurang-kurangnya 54 kali dalam masa setahun.
Jika dihitung kembali, kebanyakan mereka ini akan melakukan seks sekali seminggu!
Jumlah ini dipersetujui dalam kajian lain yang berlangsung selama hampir 40 tahun dan diterbitkan dalam jurnal Social Psychological and Personality Science.
Tambah mereka lagi, seks sekali seminggu sudah memadai untuk membuat pasangan suami isteri bahagia.
Seks sekali seminggu sudah memadai untuk suami isteri?
Mengikut kajian yang dinyatakan di atas, ya! Seks sekali seminggu sudah memadai untuk memastikan hubungan kamu dan pasangan kekal sihat dan sejahtera.
Namun begitu, angka ini bukanlah satu kayu ukur yang perlu dijadikan panduan.
Sebaiknya kamu dan pasangan perlu mengetahui berapa kali seks dalam seminggu yang kamu berdua perlukan untuk keharmonian rumah tangga. Kenapa?
Mungkin bagi sesetengah pasangan, sekali sehari adalah kekerapan seks yang paling ideal.
Bagi pasangan lain pula, sebulan sekali atau dua bulan sekali.
Pendek kata, tiada jumlah tetap yang perlu diikuti.
Jadi, sila berkomunikasi dengan pasangan.
Ini kerana kekerapan berapa kali seks untuk seminggu yang perlu dilakukan oleh setiap pasangan akan dipengaruhi oleh banyak faktor yang berbeza, termasuklah:
- Usia
- Kondisi kesihatan
- Hormon dalam tubuh badan
- Pengambilan ubat-ubatan
- Perancangan keluarga
- Kesibukan bekerja
- Isu fizikal yang dirasakan tidak lagi menarik perhatian pasangan
- Isu psikologi seperti depresi atau stres
- Masalah dalam perhubungan
Dalam erti kata yang lebih mudah, sudah tentu faktor-faktor di atas akan mempengaruhi keperluan, kemahuan atau kekerapan berapa kali seks untuk seminggu setiap individu!
Tip suami isteri boleh cuba untuk menyemarakkan hubungan intim
Dalam kehidupan suami isteri yang penuh pancaroba kini, ramai pasangan yang tidak berkesempatan untuk bergurau dan bercanda bersama individu yang dicintainya.
Tenang, ini tip yang boleh kamu cuba untuk menyemarakkan hubungan intim:
#1. Buat jadual untuk berasmara
Jangan jadikan kesibukan bekerja dan menguruskan anak sebagai alasan untuk menolak ajakan pasangan untuk berasmaradana. Sebaiknya, cari masa dan buat jadual khusus untuk kamu bersama agar kehidupan seks lebih teratur.
Sama seperti membuat jadual kerja di pejabat, kamu dan pasangan boleh buat ‘jadual keintiman’ ini bersama-sama.
Carilah hari dan waktu di mana kamu berdua mempunyai waktu senggang dan terluang yang boleh digunakan untuk beraksi di ranjang.
Namun, jangan terlalu menjadi seperti robot pula ya!
Jika pasangan mengajak kamu di luar jadual yang ditetapkan, kenapa perlu tolak?
#2. Jadi seksi di depan pasangan
Apa salahnya bukan? Untuk pengetahuan kamu, tip ini bukan sahaja untuk wanita malahan lelaki juga ya!
Jadi, janganlah memakai pakaian semborono seperti kain batik atau kain pelikat di rumah.
Sebaliknya, pakailah baju yang boleh membangkitkan keghairahan pasangan atau boleh cuba untuk tidak langsung memakai baju.
#3. Kalau tidak larat, foreplay juga boleh dipertimbangkan
Menurut kajian untuk menjawab soalan berapa kali seks dalam seminggu paling ideal, sekali seminggu sudah memadai untuk pasangan.
Namun, ia hanya tertakhluk kepada seks penetrasi sahaja.
Jadi, ia tidak bermakna ‘foreplay’ tidak boleh dilakukan.
Apa pandangan anda?