Posted on July 6, 2025
Sambungan daripada jurnal kembara saya dua minggu lepas ke Gangwon Korea Selatan, saya teruskan penerokaan ke beberapa tempat yang bukan sahaja mendamaikan jiwa, tetapi juga sarat dengan pengalaman yang sukar dilupakan. Kalau dalam Bahagian 1 saya terokai keindahan sekitar Chuncheon dan Sokcho, kali ini perjalanan membawa saya lebih jauh ke arah kawasan pergunungan, ladang tinggi, galeri seni tersembunyi dan jambatan pejalan kaki yang mendebarkan.
Ini dia beberapa lokasi menarik di Gangwon yang kamu patut masukkan dalam itinerari kamu:
1.Mt. Seoraksan National Park – Ikon Alam Semula Jadi Korea
Sebagai salah satu gunung paling ikonik di Korea dan kebanggaan wilayah Gangwon, Gunung Seoraksan memang tak boleh dilepaskan. Terletak dalam kawasan UNESCO Biosphere Reserve, taman negara ini menjadi destinasi kegemaran pencinta alam dan pendaki dari seluruh dunia. Jika kamu kurang gemar mendaki, jangan risau – lawatan ke Pusat Pelawat Seoraksan masih berbaloi untuk memahami kepelbagaian biodiversiti dan sejarah ekologi kawasan ini.
📍833, Seoraksan-ro, Sokcho-si, Gangwon
🌐 seorak.knps.or.kr





2.Balwangsan Cable Car & Skywalk – Menyatu Dengan Langit Gangwon
Di Pyeongchang, kamu boleh menaiki Balwangsan Cable Car, kereta kabel terpanjang di Korea sejauh 7.4km yang membawa kamu ke puncak gunung setinggi 1,458 meter. Sepanjang perjalanan 18 minit ini, kamu akan disajikan dengan pemandangan memukau yang sangat sesuai untuk refleksi dan relaksasi. Di puncak, Balwangsan Skywalk memberi peluang untuk kamu menikmati udara gunung yang segar sambil menyerap keindahan panorama sekeliling.
📍715 Olympic-ro, Daegwallyeong-myeon, Pyeongchang-gun, Gangwon
🌐 www.yongpyong.co.kr






3.Samyang Ranch – Ladang Tinggi & Tenang Di Puncak Gunung
Terkenal sebagai padang rumput terbesar di Asia, Samyang Round Hill Ranch menawarkan suasana ladang yang luas dengan latar belakang turbin angin dan haiwan ternakan yang bebas meragut. Ini adalah lokasi yang sempurna untuk aktiviti keluarga – kamu boleh memberi makan biri-biri dan burung unta, menyaksikan pertunjukan menggembala, dan menikmati udara segar pada ketinggian 1,470 meter.
📍708-9, Kkotbadyangji-gil, Pyeongchang-gun, Gangwon
🌐 www.samyangranch.co.kr







4.Oak Valley – Gabungan Rekreasi & Rehat Sepanjang Tahun
Oak Valley di Wonju adalah destinasi pelancongan yang menyatukan aktiviti sukan, alam dan ketenangan dalam satu tempat. Kamu boleh bermain golf, menyewa basikal gunung, atau menikmati kemudahan spa dan penginapan selesa. Ia sesuai dikunjungi pada bila-bila masa sepanjang tahun – dari musim bunga yang menghijau hingga musim sejuk yang bersalji.
📍58, Oak valley 2-gil, Wonju-si, Gangwon
🌐 www.oakvalley.co.kr

5.Museum SAN – Seni Kontemporari Di Tengah Alam
Tersembunyi di dalam pergunungan Oak Valley, Museum SAN membawa konsep seni yang menyatu dengan alam. Reka bentuk bangunan oleh arkitek bertaraf dunia menjadikan muzium ini bukan sahaja mempamerkan lukisan dan seni kertas, tetapi juga menjadi objek seni itu sendiri. Kamu boleh bersantai di Café Terrace sambil menikmati pemandangan pergunungan yang tenang – sesuai untuk mereka yang mencari inspirasi dan ketenangan jiwa.
📍260, Oak valley 2-gil, Wonju-si, Gangwon
🌐 www.museumsan.org







6.Jambatan Gantung Sogeumsan – Pengalaman Berjalan Di Atas Awan
Jika kamu sukakan pengalaman unik, jangan lepaskan peluang ke Jambatan Gantung Sogeumsan – jambatan pejalan kaki tertinggi dan terpanjang di Korea, menjangkau 200 meter dan tergantung 100 meter dari permukaan tanah. Dari atas, kamu akan dapat melihat pemandangan indah Sungai Seomgang, dan jika teruskan perjalanan ke puncak skywalk, pemandangan 360 darjah yang menanti memang tak ternilai.
📍12 Sogeumsan-gil, Jijeong-myeon, Wonju-si, Gangwon
🌐 cms.wfmc.kr





7.Gangwon Tourist Taxi – Cara Pintar Jelajah Gangwon Dengan Mudah
Untuk perjalanan yang selesa antara lokasi-lokasi ini, gunakan perkhidmatan Gangwon Tourist Taxi. Ia direka khusus untuk pelancong yang ingin menjelajah dengan fleksibel tanpa perlu memikirkan arah atau jadual pengangkutan awam.
📅 Tempahan: www.gangwontaxi.com
🕘 Waktu operasi: 09:00 – 17:30
💰 Tambang: KRW 30,000 (3 jam pertama) | Maksimum 4 orang


Gangwon Masih Banyak Lagi Untuk Diterokai
Walaupun ini kali kedua saya mengunjungi Gangwon Korea Selatan, setiap sudutnya masih terasa baru dan penuh kejutan. Dari gunung ke muzium, dari ladang ke jambatan udara – Gangwon benar-benar memenuhi keinginan pelancong yang sukakan alam, seni dan ketenangan. Dan walaupun artikel ini sudah sampai ke penghujung, saya tahu pasti masih banyak lagi tempat menarik di Gangwon yang belum sempat saya lawati. InsyaAllah, saya harap dapat kembali lagi satu hari nanti – untuk terus meneroka wilayah yang cukup istimewa ini.
Sudah sedia untuk merancang perjalanan ke Korea?
Tempah tiket penerbangan terus ke Korea Selatan bersama AirAsia hari ini dan alami sendiri keunikan alam, budaya dan makanan yang hanya boleh kamu temui di Gangwon!
📌 Jangan lupa untuk semak www.airasia.com dan rancang kunjungan kamu dengan bantuan www.gangwon.to
Apa pandangan anda?