Posted on February 16, 2021
Tangas faraj amalan yang sudah lama diamalkan wanita sejak zaman-berzaman. Ia bertujuan untuk menjaga kesihatan vagina.
Kamu mungkin pernah dengar tentang amalan nenek moyang kita yang masih lagi diamalkan dalam penjagaan kesihatan faraj, iaitu bertangas.
Sungguhpun tidak begitu popular, tradisi bertangas masih lagi dilakukan oleh mereka yang pakar dan telah dimodenkan.
Selain mengecutkan rahim bagi wanita bersalin, bertangas dapat mengurangkan keputihan, membantu masalah kedinginan seks dan melancarkan haid.
Tetapi selain memberikan kehangatan yang menenangkan ‘di bawah’, adakah ia benar-benar berfungsi? Dan adakah ia selamat? Teruskan membaca ya!
Bertangas, bagaimana ia berfungsi?
Bertangas adalah satu proses ‘mandi wap’ herba yang melibatkan anggota sulit wanita, iaitu faraj.
Selain menjadi tradisi masyarakat Melayu kita, ia juga turut diamalkan dalam masyarakat lain di luar negara contohnya di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
Di negara Barat juga, ia lebih dikenali sebagai proses vaginal steaming.
Dengan bayaran yang agak mahal, beberapa spa ada menawarkan perkhidmatan ini.
Kamu juga boleh melakukannya di rumah, walaupun kebanyakan doktor tidak mengesyorkannya.
Prosesnya cukup mudah; anda hanya duduk atau bertangas di atas bekas wap yang dipenuhi herba.
Antara jenis herba yang sering digunakan termasuk:
- Serbuk manjakani
- Daun inai
- Kunyit hidup
- Jintan hitam
- Halba
- Garam kasar
- Limau nipis
- Asam gelugur
Cara-caranya:
- Tambahkan secawan ramuan pilihan anda ke bekas air panas
- Biarkan ramuan mendidih sekurang-kurangnya 1 minit
- Letakkan ramuan yang telah ditumbuk halus di atas batu dan sedia untuk digunakan
- Balut tuala di pinggang dan kaki untuk mengelakkan wap keluar
- Sesi steaming secara purata berlangsung antara 20 hingga 60 minit
- Bergantung pada seberapa panas air, wap akan cepat sejuk
Apakah faedah-faedah tangas faraj?
Bertangas adalah remedi yang digunakan sebagai rawatan semula jadi untuk membersihkan faraj, rahim, dan keseluruhan saluran pembiakan.
Tetapi dakwaan manfaatnya tidak hanya terhenti di situ…
Ia juga dikatakan dapat melegakan:
- Kemurungan
- Buasir
- Jangkitan
- Kemandulan
- Ketidakseimbangan hormon
- Sakit kepala
- Keletihan
- Masalah pencernaan
Bertangas bagus untuk kesihatan faraj, benar ke?
Bagi menjawab persoalan utama artikel ini, tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan vaginal steaming berkesan menjadi rawatan alternatif masalah wanita.
Menurut Dr. Manny Alvarez, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Sains Reproduktif di Pusat Perubatan Universiti Hackensack di New Jersey, bertangas mungkin hanya dapat membantu kamu berehat dan tidak lebih daripada itu.
Tambahnya, kemungkinan wap herba menembusi tisu faraj adalah kecil, apalagi mengatur hormon, meningkatkan kesuburan atau menjaga kesihatan faraj secara keseluruhan.
Satu faedahnya, haba yang hangat daripada wap mungkin meningkatkan aliran darah ke kawasan faraj, walaupun hal ini masih tidak dikaji dengan baik.
Pandangan lain yang ditekankan, amalan ini lebih berkaitan dengan budaya, bukan fizikal.
Adakah tangas faraj selamat?
Sebilangan besar pakar kesihatan bersetuju, risiko amalan ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kemungkinan manfaatnya.
Salah satu risiko terbesar dan paling jelas, vaginal steaming boleh menyebabkan luka bakar di dalam dan di sekitar kawasan faraj.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana kulit di sekitar faraj bersifat lebih nipis dan sensitif terhadap haba berbanding bahagian badan yang lain.
Malah, wap panas juga berisiko meningkatkan suhu di dalam faraj, yang mengubah pH organ pembiakan, sehingga meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat jangkitan!
Mereka yang mempunyai masalah kronik dan keradangan, termasuk vestibulodynia atau vulvodynia, juga berisiko tinggi mendapat jangkitan dan kerengsaan jika mencuba amalan ini.
Bagi mereka yang menderita luka terbuka di kawasan faraj, sama ada disebabkan oleh faktor bersalin atau jangkitan, wap panas daripada proses bertangas dapat merengsakan kawasan ini lantas menyebabkan jangkitan!
Amalan ini mungkin kelihatan seronok untuk dicuba, tapi harus kalian faham, faraj adalah organ yang membersih secara sendiri (self-cleansing).
Tambahan lagi, penyelidikan mendapati kaedah membersihkan faraj yang lain, termasuk meruang, dapat menyebabkan peningkatan risiko vaginosis bakteria.
Rumusan
Seperti yang kalian sudah maklum, faraj bersifat self-cleansing dan tidak memerlukan sebarang bantuan daripada sesi wap herba, meruang dan sebagainya.
Bahkan, bertangas meningkatkan risiko jangkitan faraj dengan mengubah ekosistem bakteria di dalamnya.
Herba yang digunakan mungkin semula jadi, tetapi juga ‘kuat’ kandungannya.
Jika digunakan secara topikal, ia boleh menyebabkan reaksi alergi. Tempat terakhir kamu mahukan reaksi alergi untuk berlaku pastinya di faraj, kan?
Namun jika kamu masih berminat untuk mencuba, berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu untuk menimbang baik buruknya sebelum diteruskan.
Untuk lebih banyak artikel sebegini lawati Hello Doktor
Apa pandangan anda?