Posted on December 7, 2020
Tayar lebar lebih elok? Ini yang selalu kita dengar daripada enthusiast kereta. Benar atau tidak, faktau atau auta…
Dari segi penampilan, tayar lebih lebar sememangnya nampak lebih baik pada kereta kamu. Untuk pengetahuan kamu, kebanyakan kereta yang berprestasi tinggi menggunakan tayar lebih lebar. Disebabkan itu, ramai berpendapat bahawa ia lebih baik.
Maka itu, mereka terfikir untuk menaik taraf kepada tayar yang lebih lebar. Hakikatnya, ada baiknya tapi dalam masa sama ada juga buruknya.
Kenapa?
Seperti sifat alam, tiada apa yang sempurna. Begitu juga dengan tayar lebar di mana ia mungkin tidak muat dengan kereta kamu. Kereta kamu juga mungkin terlalu lemah atau terlalu ringan* untuk menggunakan tayar lebar.
*( Terlalu lemah = tidak cukup tenaga untuk memusingkan tayar; Terlalu ringan = tidak cukup berat untuk mencengkam jalan)
Disebabkan ramai yang tertarik dengan tayar lebar, mari kita mulakan dengan kelebihannya terlebih dahulu.
Kebaikan – pecutan yang lebih baik (untuk kereta yang berkuasa tinggi)
Pernah tak kamu lihat perlumbaan drag? Betapa besarnya tayar yang memacukan kuasa (depan atau belakang). Kereta yang berprestasi lebih tinggi memerlukan cengkaman yang lebih kuat untuk memecut dengan lebih berkesan.
Sekiranya kuasa tidak cukup, tayar yang lebar hanya meningkatkan rintangan golek (rolling resistance) di mana ia hanya akan menambah beban pada enjin.
Bolehkah kereta menggunakan tayar kurus?
Sudah tentu. Cuba lihat tayar ganti kamu. Sebab itulah ia hadir dengan had kelajuan.
Kebaikan – pemberhentian yang lebih baik (untuk brek yang berprestasi tinggi)
Seperti aspek kuasa, kereta kamu juga perlu hadir dengan sistem brek yang baik sekiranya hendak menukar ke tayar yang lebih lebar.
Tayar lebih lebar memberikan pemberhentian yang lebih berkesan kerana ia mempunyai permukaan yang lebih besar untuk mencengkam jalan. Walau bagaimanapun, sistem brek haruslah baik terlebih dahulu. Kalau tidak, berat tayar itu sendiri akan membebankan sistem brek kereta kamu.
Kebaikan – cengkaman yang lebih baik ketika membuat selekoh
Ketika memandu, kereta menggunakan kedua-dua cengkaman longitudinal dan lateral. Cengkaman longitudinal digunakan ketika memecut atau membuat pemberhentian. Cengkaman lateral pula digunakan ketika membuat selekoh.
Cengkaman lateral membantu melekatkan kereta ke permukaan jalan ketika mengambil selekoh secara laju.
Kebaikan – kereta nampak lebih tegap
Tayar lebar dengan rim besar antara langkah mudah untuk penampilan yang lebih baik. Ia membuatkan kereta kamu nampak lebih tegap dan sasa. Malah ia cukup menarik sehingga boleh tenggelamkan ciri yang kurang digemari pada badan kereta kamu sendiri.
Keburukan – rolling resistance yang lebih tinggi
Tidak mengira tayar lebar ataupun rim yang besar, ia meningkatkan rolling resistance di mana ia menambahkan beban pada enjin kereta.
Melainkan kamu menggunakan kereta berprestasi tinggi yang memerlukan lebih cengkaman, tayar yang lebar semestinya bermanfaat.
Keburukan – jimat minyak
Lebih rolling resistance = lebih beban pada enjin
Lebih beban pada enjin = lebih memakan minyak
Logik kan?
Keburukan – bukan yang terbaik pada waktu hujan
Selain cengkaman, corak pada permukaan tayar juga berfungsi untuk menolak air ke tepi supaya bahagian yang bersentuhan dengan jalan sentiasa mencengkam.
Menariknya, tayar yang kurus berfungsi dengan lebih baik ketika waktu hujan kerana ia mempunyai halangan (friction) yang lebih rendah untuk melalui permukaan basah. Halangan yang lebih tinggi oleh tayar lebar boleh mengakibatkan kereta terpusing (aquaplaning).
Keburukan – lebih mahal
Sekiranya duit bukan masalah, kamu tidak perlu hairan dengan harga tayar lebar. Antara sebab yang menjadikannya lebih mahal ialah kerana ia tidak dihasilkan sebanyak tayar bersaiz biasa. Selain itu, tayar lebih lebar menggunakan lebih getah di mana ia meningkatkan kos pembuatan. Disebabkan bersaiz lebih besar dan lebih berat, tayar lebar juga lebih mahal untuk dihantar ke pelabuhan mahupun ke peniaga kedai tayar.
Konklusi Tayar Lebar Lebih Elok?
Secara keseluruhan, tayar lebar lebih memanfaatkan kereta yang cukup berkuasa. Ia juga paling berkesan sekiranya dipandu dalam cuaca yang kering. Maka itu, tidak hairanlah sekiranya ia menjadi pilihan utama di perlumbaan litar.
Di samping itu, tayar lebar menjadikan kereta kamu lebih menarik untuk dilihat. Namun begitu, kebaikannya dalam pemanduan harian tidaklah begitu dirasai lebih-lebih lagi kalau kereta kamu tidak mempunyai kuasa yang mencukupi.
Untuk lebih banyak artikel sebegini, lawati www.wapcar.my
Apa pandangan anda?