Posted on November 11, 2019
Walaupun kita banyak mendengar diet-diet ekstrem yang diamalkan oleh selebriti Hollywood yang tidak patut kita contohi, sebenarnya ada sahaja antara mereka yang masih waras mengamalkan diet sihat dan bebas daripada simptom yang membahayakan tubuh. Mungkin diet esktrem itu cara selebriti dahulu, kini mereka sudah tahu bagaimana hendak menjaga tubuh mereka dengan baik. Ada yang mengambil pendekatan seperti mengamalkan yoga, ke gim, amalan gaya hidup yang seimbang serta pelbagai lagi. Mari saya kongsikan tip dan cara diet sihat selebriti Hollywood yang boleh kamu contohi.
Carrie Underwood: Catat Rutin Pemakanan Dalam Jurnal Harian
Menurut Underwood, jurnal makanan antara faktor utama yang membuatkan tubuh badannya kekal langsing dan fit. “Saya memang menyimpan jurnal makanan saya sepanjang masa. Memandangkan tubuh badan saya ini mudah menghadam makanan, saya boleh makan apa sahaja tanpa perlu rasa risau. Dan apabila saya dapat tahu tentang perihal ini, saya mula merekod pemakanan saya. Itu membuatkan saya lebih peka dengan apa yang saya makan”. Underwood berkongsi yang dia menggunakan aplikasi MyFitnessPal untuk mencatat segala pemakanan yang diambilnya setiap hari.
Meghan Markle: Diet Sihat Menerusi Makanan
Avocado toast makanan kegemaran Duchess of Sussex ini. Roti gandum bersama buah avokado yang dilenyek kemudian dicampur dengan sedikit lada, garam dan minyak zaitun. Bukan itu sahaja, Markle juga dikatakan gemar memulakan harinya dengan secawan air panas bersama lemon. Kemudian dia juga gemarkan bijirin oat bersama pisang serta sirap agave sebagai sarapan paginya dan salad pasta sebagai santapan makan tengah harinya.
Selena Gomez: Jangan Obses Dengan Penimbang Berat
Untuk mengelakkan daripada diri terlalu obses untuk menimbang berat setiap masa lalu membuatkan diri jadi tidak tentu keruan dan kemudian mulalah menggelabah dan tiada mood, Gomez lebih gemarkan mengukur bentuk tubuh melalui ujian jean test! Jika dia perasan jean kegemarannya sudah tidak muat untuk disarung, dia akan mula memperkasakan lagi rutin workout nya serta mengurangkan pengambilan garam selagi boleh!
Chrissy Teigan: Amal Protein on the go!
Sememangnya kita tahu Teigan seorang foodie. Antara hidangan kegemarannya ialah udang sautee, spaghetti pesto serta lasagna. Teigan akui keluarganya bukanlah daripada keturunan mereka yang berbadan ramping, mereka mudah membesar. Namun kata Teigan, dia seorang yang sangat aktif dan mengamalkan pemakanan protein yang cukup. Jadi, dia langsung tidak gusar, malah masih boleh menikmati segelas champange bila-bila masa dia mahukan.
Jenna Dewan: Mulakan Hari dengan Minuman Smoothie
Dewan amat menggemari smoothie yang diperbuat daripada kandungan ‘hijau’. Antara resipi unik yang pernah dikongsinya, “Saya suka mencampurkan daun ketumbar, parsley atau serbuk spirulina ke dalam smoothie saya. Ini kerana, ia bahan alkali yang juga makanan premium yang diperlukan tubuh untuk peredaran darah, oksigen dan sel-sel tubuh kamu. Ia sangat menakjubkan.”
Apa pandangan anda?