Posted on January 1, 2020
Kami percaya pasti kamu pernah melalui masalah kulit pada bahagian belakang badan kamu seperti benjolan jerawat (a.k.a bacne) atau kulit kemerah-merahan. Sama ada ia berpunca daripada hormon atau mungkin disebabkan oleh kadar cucian badan yang tidak mencukupi. Mungkin selama ini kamu yakin bahawa mandi secara harian sudah cukup. Tahukah kamu, mandi sekadar sabun tanpa gosok dan sental badan dengan betul pun boleh mengakibatkan jerawat badan atau gumpalan daki berkumpul. Jika kamu salah seorang daripada mereka yang memiliki bacne, jangan risau, ia masih boleh dirawat. Biar kami kongsi cara merawat masalah kulit badan berjerawat ini.
Secara jujurnya, saya juga pernah mengalami masalah ini sewaktu zaman muda remaja dahulu. Namun, semakin meningkat usia ini, barulah saya sedar, kebersihan diri itu amat penting. Baju yang disarung juga hendaklah bersih dan bebas bakteria terutama yang terhasil daripada peluh dan pencemaran sekeliling. Mengapa saya tekankan pada bahagian belakang badan? Ini kerana bahagian badan ini paling susah untuk dibersihkan dengan teliti. Dan kini saya tahu bagaimana hendak mengelakkan kulit belakang badan daripada timbulnya jerawat-jerawat menyakitkan yang tidak diingini.
Pertama sekali, jangan sesekali amalkan mandi air panas. Seeloknya jika kamu mahukan mandian air hangat, pilih atau sukat suhu kepada suam. Ini kerana mandian air panas yang melampau ataupun secara kerap boleh menyebabkan kulit badan menjadi kering. Air panas ini boleh menanggalkan minyak semula jadi pada kulit badan. Bukan sekadar masalah bacne boleh terjadi, masalah seperti kulit kering yang melampau juga boleh merosakkan kulit belakang badan kamu.
Elakkan menyarung baju yang sama berkali-kali. Boleh sarung banyak kali, akan tetapi pastikan ia dibasuh dahulu. Perangai seperti ini harus kamu lupuskan sempena tahun baru ini. mungkin kamu tidak sedar, baju yang sudah disarung itu punya kesan peluh. Peluh yang kotor boleh menyebabkan bakteria.
Scrub atau sental badan seminggu sekali. Ini bagi membuang daki yang terhasil. Mungkin kamu tidak nampak melalui mata kasar, namun daki inilah punca kulit kamu nampak kusam dan boleh menyebabkan bacne terhasil. Dan walaupun perkara ini remeh, saya masih mahu mengingatkan, mandilah sekurang-kurangnya dua kali sehari. Ada yang kadang-kadang sekadar mandi pagi, kemudian balik kerja pula sekadar siram badan tidak beria kata orang. Gunakan loofah setiap kali mandi, ia mampu membantu mengurangkan daki dan kotoran pada badan akibat seharian bekerja.
Akhir sekali, jagalah pemakanan kamu. Amalkan pemakanan seimbang, lebihkan sayur-sayuran serta kurangkan pengambilan makanan berminyak. Minum air putih 8 gelas sehari mampu memberikan hasil kulit lebih sihat (bukan sekadar pada kulit wajah, malah pada kulit badan).
Apa pandangan anda?