Posted on December 2, 2019
Sebelum ini saya sering juga bleach (meluntur) rambut baik buat sendiri di rumah mahupun secara profesional di salun. Dan seiingat saya ketika di salon itu, penata gaya rambut saya ketika itu kata maksimum hanya tiga kali sahaja meluntur dalam satu-satu masa untuk mengelakkan kulit kepala melecur. Tiga kali pun sudah ngeri bagi saya, apatah lagi mereka yang tidak berhenti meluntur rambut dari semasa ke semasa hanya untuk mendapatkan rona rambut idaman. Ada teman saya mengadu, kepalanya rasa seperti terbakar dan sakit, sehingga kini tidak tahu apa hendak buat. Hmm, mari saya kongsikan cara untuk merawat buat kamu yang meluntur rambut secara berlebihan ini.
1
Kulit kepala terbakar, kemerah-merahan atau melecur ini tidak semestinya akan terjadi pada mereka yang meluntur rambut secara berlebihan sahaja. Ia juga boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang melakukan proses bleaching pada rambutnya. Dan ini semua bergantung kepada berapa gelap rambut kamu, jumlah kandungan peroxide yang digunakan salun kamu serta berapa dekat acuan bleach itu pada akar rambut kamu. Jika ini terjadi kepada kamu, elakkan syampu rambut beberapa hari sebelum kamu melakukan proses luntur rambut ini. Ini kerana, minyak yang terkumpul akan menjadi dinding pelindung kepada kulit kepala kamu daripada terbakar dengan teruk.
2
Kulit kepala kamu mungkin akan kering dan menggelupas. Ini jarang terjadi pada mereka yang meluntur rambut, namun jika ia terjadi, ini bermakna kamu memiliki kulit kepala yang sangat sensitif. Perlu diingatkan, jangan sesekali syampu rambut selama beberapa hari selepas kamu meluntur rambut kamu itu. Kamu mahukan minyak natural yang terkandung pada kulit kamu itu menjadi bahan pelembap kepada kulit kepala kamu yang kering itu dan kemudian biarkan ia jatuh dengan sendirinya apabila kamu menyikat rambut. Ingat, jangan sesekali guna syampu ataupun menggaru kepala dengan terlalu kuat untuk mengeluarkan habuk-habuk kulit kering ini.
3
Jika kamu melihat kulit kepala kamu kemerahan juga, seeloknya kamu sapukan gel aloe vera yang boleh membantu meredakan serta menyamankan rasa panas pada kulit kepala kamu itu. Walaupun kemerahan tidak ketara, kamu perlu merawatnya sebaik mungkin agar ia tidak menjadi lebih teruk. Dan jangan sesekali menggunakan alat pengering rambut atau sebarang alat styling yang bersuhu panas.
Boleh hendak bleach rambut, namun berpada-pada, jangan ikut nafsu sahaja. Yang penting, kamu perlu mengambil berat soal kulit kepala kamu. Pelbagai penyakit boleh melanda kamu jika kamu pandang remeh soal ini terutama sekali kanser kulit. Kamu tidak mahu kan?
Apa pandangan anda?