Posted on December 12, 2019
Bukan rambut panjang sahaja yang perlu kamu titikberatkan soal penjagaannya, rambut pendek juga sama pentingnya. Malah, pada saya, rambut pendek ini lebih memerlukan penjagaan yang rapi. Mari saya kongsikan beberapa tip penjagaan rambut pendek yang harus kamu tahu.
1- Kurangkan menyikat rambut
Rambut pendek tidaklah mudah kusut seperti rambut panjang, jadi penggunaan sikat itu sebenarnya bolehlah kamu abaikan. Bak kata penata gaya rambut, Sapphire Lewis dari salun Bleach London, “Rambut pendek ini kurang potensinya untuk kusut. Jadi, menggayakan rambut menggunakan jari-jemari sahaja sudah cukup untuk mendapatkan hasil rambut yang diingini.” Satu perkara yang perlu kamu tahu juga, jika kamu mahu stail rambut pendek ini, menggunakan jari-jemari lebih cantik kerana ia mampu memberi hasil volume yang lebih hebat berbanding menggunakan sikat.
2- Elakkan penggunaan alat pemanas rambut
Jangan gunakan baik flat irons, curling irons ataupun meniup kering rambut dengan kerap. Sudahlah berambut pendek, kamu pasti tidak mahu helaian rambut kamu itu nampak rosak dengan ketara bukan? Rambut pendek inilah sebenarnya lebih cepat kering, jadi apa kata, daripada kamu asyik meniup kering rambut, apa kata biarkan sahaja ia kering semula jadi. Layangkan produk rambut seperti penyembur tekstur jika kamu mahu gayakan rambut pendek kamu itu.
3- Cuci rambut setiap hari
Tahukah kamu, rambut pendek ini lebih cepat berminyak daripada mereka yang berambut panjang? Ini apa yang dipersetujui oleh kesemua pakar rambut. Mungkin kerana minyak ini lebih mudah dan cepat meresap ke seluruh bahagian rambut yang pendek. Malahan, penggunaan produk tekstur juga boleh menyebabkan gumpalan kotoran pada kulit kepala sebenarnya. Jadi, jika kamu memilih untuk syampu rambut setiap hari, amalkan rangkaian pelembap khas untuk memberi lembapan mendalam kepada kulit kepala serta helaian rambut. Atau, jika kamu tidak suka dengan idea mencuci rambut setiap hari, gunakan sahaja syampu kering.
4- Bilas rambut dengan air sejuk untuk rambut ekstra berkilat
Penata gaya rambut, Sarah Potempa, berkongsi trik mudah ini untuk menaikkan seri rambut pendek kamu. Bilas rambut dengan air sejuk. Ia juga membantu meredakan rambut kamu yang rosak akibat penggunaan alat pemanas. Dan kamu tidak perlu duduk lama di bawah air sejuk, kata Potempa, “Walau lima saat sudah memadai.” Cubalah!
Apa pandangan anda?