Posted on May 6, 2019
Perth, ibu kota di Australia Barat menjemput semua tamu dari luar negara untuk menikmati keunikan alam semula jadi di sini. Kota mesra Muslim ini menyediakan kemudahan terbaik dari segi makanan halal, tempat peranginan hingga ruang ibadat, pasti bikin pelancong tidak gusar menunaikan kewajipan sambil melancong. Ketenangan kota ini boleh membuatkan kita jatuh cinta kepadanya. Ikuti lokasi ideal untuk mengajak teman, keluarga dan rakan akrab mencipta memori paling manis di kota Perth. STAIL.MY mengikuti jajaran Elfira Loy dan Rita Nadira ke 16 lokasi InSTAILgramWorthy di Perth yang menarik untuk pengisian karpet Instagram kamu. Ayuh ikuti penjelajahan menarik kami terbang ke ‘negara kanggaru’ bersama Air Asia!
AirAsia Terbang Ke Perth Setiap Hari!
Tempah tiket ke Perth dengan penerbangan AirAsia dari KLIA2 setiap hari, serendah RM299 sahaja! Atau kamu boleh memilih pakej percutian hebat termasuk tiket penerbangan + penginapan hotel 4 hari 3 malam + cukai dari RM1,399/ kepala hanya di airasia.com. Nikmati keselesaan berganda dengan Premium Flatbed pada harga bermula RM1,190 serta kelebihan seperti 40kg peruntukan bagasi, makanan, akses ke Premium Red Lounge, Xcite (hiburan atas penerbangan), daftar masuk dan boarding ekspres.
1. #quokkaselfie di Rottnest Island
Trend paling comel ini pernah menjadi tular sekalian warga net. Swafoto bersama haiwan genit ini adalah perkara yang berbaloi dikongsikan bersama pengikut media sosial kamu. Quokka adalah makhluk yang ‘makan gambar’ jika kita mengambil gambar bersama mereka. Masakan tidak? Selain bentuk wajahnya yang lucu, jika kamu bertuah Quokka membuat mimik muka dan aksi yang mencuit hati mungkin bakal membuatkan pengikut Instagram kamu terhibur melihatnya.
Habis berswafoto bersama Quokka, abadikan kenangan kamu bersama teman dengan melakukan aktiviti berbasikal dan Segway sekitar Pulau Rottnest dan temukan penempatan berpasir dengan kuasa pedal, cabar tahap kardio kamu sambil mengayuh basikal. Dapatkan manfaat daripada perjalanan pergi dan balik dengan feri serta basikal di sekitar pulau bebas kereta ini. Terdapat juga khidmat penghantaran hotel percuma dari lokasi Central Business District (CBD) Perth terpilih untuk ke tempat ini.
2. The Pinnacles
Tidak sama seperti padang pasir di Timur Tengah, Pinnacles terletak di Taman Negara Nambung di Cervantes terdiri daripada lapangan pasir berbatu dengan formasi unik tiap satunya. Kawasan itu mengandungi beribu-ribu tiang batu kapur, ada beberapa Pinnacles tertinggi mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter di atas asas pasir kuning. Sementara yang lain, hanya satu meter atau lebih tinggi dan lebar menyerupai batu nisan yang pendek. Jangan lupa siapkan baju dengan warna-warna terang atau putih untuk ootd sempurna kamu di sini.
3. Hutt Lagoon (Pink Lake)
Bagaikan contengan warna air ke tasik merah jambu yang sungguh unik! Tasik ikonik ini bukanlah tercemar malah ia sumber beta keratin yang terkandung Vitamin A, Dunaliella salina (banyak digunakan dalam kosmetik dan makanan tambahan) bagus untuk kulit. Kunjungan pada jam 10 pagi ke 2 petang adalah disarankan (jika hari cerah) kerana bakal memberikan kontra merah jambu lebih pekat dan menarik dalam gambar. Disebabkan tasik ini luas, saya sarankan kamu bertapak di Port Grerogy Road atau George Grey Drive mengikut ketersediaan tempat letak kereta kamu. Terdapat juga kilang pengeluar mikroalga terbesar di dunia yang menghasilkan bekalan udang air garam yang digunakan khusus oleh nelayan ikan dan udang di sini.
4. Mandurah
Bermimpi untuk dikelilingi ikan lumba-lumba sambil berdiri di depan bot pelayaran? Ini bukan mimpi lagi, dengan pakej Mandurah Cruises yang menawarkan pelayaran dan lawatan di kawasan marin yang dipelihara khazanah alamnya ini. Berpetualang marin selama beberapa jam hingga membawa kamu untuk menerokai jalan air yang luas, tenang, di pedalaman dan Lautan Hindi yang dalam dan kawasan sekitar Mandurah yang indah. Perjalanan ke Mandurah hanyalah mengambil masa satu jam ke selatan Perth dengan tren atau kereta. Eksplorasi dengan Mandurah Cruises adalah satu pengalaman yang kamu akan ingati sampai bila-bila.
5. Caversham Wildlife Park
Kalau tadi haiwan-haiwan genit dan comel, kali ini di Swan Valley berdirinya Caversham Wildlife Park, di mana tempat memelihara haiwan liar yang mungkin tidak ada di negara lain seperti wombat, koala, kanggaru, burung hantu, ular, biri-biri dan banyak lagi. Ada juga persembahan ladang yang mungkin pertama kali kamu menyaksikannya. Tempat ini dibuka setiap hari (kecuali Hari Natal dari jam 9 pagi sehingga 5.30 petang. Bayaran masuk bagi dewasa ialah $30 dan $14 kanak-kanak (3 hingga 14 tahun). Menariknya, terdapat ruang solat untuk jemaah yang ingin menunaikan kewajipan dengan selesa di sini.
6. Canal Rocks
Pemandangan lautan biru, irama ombak dari Lautan Hindi dengan haruman samudera yang segar membawa satu panorama menakjubkan. Ombak telah mengukir crevasses dan saluran ke dalam batuan di tanjung pantai hingga meninggalkan rangkaian pulau-pulau berbatu. Ekspresikan diri kamu di jeti kayu sambil ombak menari ke awangan. Ada beberapa cara untuk ke sini. Antara pilihan terbaik untuk ke Canal Rock dari bandar Perth ialah menaiki bas selama 4 jam 25 minit dari Transwa Bay East Perth ke Caves Road dan ambil teksi ke Canal Rocks atau memandu selama 2 jam 52 minit ke Canal Rocks. Kawasan tumpuan ramai ini turut menempatkan tempat letak kereta yang besar, mudah untuk pelancong yang memandu kereta sendiri.
7. Nature’s Window di Taman Negara Kalbarri
Siapkan fizikal dan mental sebelum ke sini, sarungkan pakaian paling selesa kerana kamu perlu mendaki sedikit, bawa air yang mencukupi, fokus pada trek yang disediakan, ambil masa dan nikmati perjalanan kamu sebelum sampai ke ‘jendela alam’ ini. Nature’s Window adalah salah satu tarikan semula jadi ikonik daripada lapisan batu pasir Tumblagooda. Terdapat tarikan lain di Taman Negara Kalbarri antaranya The Loop dan Z Bend, Hawk’s Head dan Ross Graham Lookout.
8. Fremantle Markets & Rainbow Sea Contaianer
Bukan seperti pasar rakyat biasa, Fremantle Markets tumpuan pelbagai budaya menjual barangan asas yang segar seperti sayur-sayuran, daging, buah-buahan, keju, cenderahati dan makanan. Teletak dalam bangunan pra sejarah yang terbina sejak 1897, mengetengahkan banyak produk lokal. Fremantle Market hanya dibuka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 9 pagi hingga 8 malam. Ada juga persembahan muzik secara langsung untuk hiburan pengunjung yang duduk sambil menikmati hidangan panas di kafe-kafe berhampiran.
Masih di wilayah Fremantle, berhampiran Sungai Swan terletaknya instalasi seni berukuran 9 meter tinggi, 19 meter panjang dan seberat 66 tan berat, kontena pelangi berdiri megah sebagai satu kawasan rekreasi dan tumpuan jurufoto media semasa. Kontena Instagram Worthy ini terletak 1.6 km sahaja dari stesen bas Fremantle. Tersedia kawasan letak kereta berhampiran Jeti East Street atau kamu boleh menyewa basikal percuma dari Fremantle Visitor Centre di town hall.
9. Elizabeth Quay (Spanda)
Reka bentuk setinggi 29 meter ini diberi nama Spanda. Bentuk arca diinspirasikan daripada orbit atau ombak kecil terletak di The Landing yang menghubungkan Sungai Swan, daratan dan langit sebagai tanda ‘selamat datang’ kepada tetamu ke bagan. Spanda telah dicipta oleh artisan terkenal dunia iaitu Christian de Vietri. Spanda dapat dilihat dari kejauhan dan dapat memberi interaksi dengan sesiapa yang melewati kawasan itu melalui kepingan-kepingan seni. Ambil tren dari Stesen Perth di Platform 7 menuju ke Stesen Fremantle di Platform 2, kemudian tukar ke tren Fremantle Stand 7 ke South Terrace.
10. Margaret River Chocolate Factory
Lawati tempat paling manis di Kilang Coklat Margaret River yang dibuka sejak 1999 dan salah satu destinasi pelancongan paling popular di Australia Barat. Ia mempunyai pelbagai jenis produk coklat, dengan tiada bayaran kemasukan dikenakan dan dapat uji rasa coklat percuma, serta tetamu dapat melihat di tetingkap bagaimana proses produk dibuat di kilang ini.
Tiba masa untuk alas perut di Chocolate Café, kafe ini mempunyai pelbagai makanan ringan yang lazat. Di mana kamu boleh menikmati burger, kerepek, salad dan sup, pelbagai kek berperisa, pencuci mulut, susu shake dan coklat terbaik dari Australia.
11. Membuat Balsam Bibir di Vasse Virgin
Usai beraktiviti riadah, kita melancong sambil menimba ilmu di Vasse Virgin pula. Ketahui cara membuat balsam bibir semulajadi sendiri menggunakan madu asli, mentega shea, lilin lebah dan bahan organik. Dalam kelas berdurasi 45 minit yang penuh informasi menarik dan mudah ini, kamu akan menemui bagaimana untuk mencipta dua pelembap bibir di dalam bekas 15gm dan boleh membawa pulang. Seakan membuat projek sains di sekolah! Pilih perisa yang kamu gemari antara cengkih, lavender atau oren tetap mudah atau masukkan rasa lazat seperti anisid, lavender atau oren dan tekapkan ke bibir. Selain itu Vasse Virgin juga pusat mencipta produk kulit dan badan. Dari sini kita dapat mengenalpasti bahan apa yang sesuai dengan kulit kita setelah sesi konsultasi bersama pekerja yang ramah di sini.
12. Gua & Rumah Api Cape Naturaliste Di Margaret River
Cape Naturaliste Lighthouse boleh didaki dengan mudah untuk sampai ke dasar menara. Ganjarannya, kamu dapat menikmati keindahan lautan Hindi atau dapat melihat haiwan liar bermain di laut jika bernasib baik. Tiupan angin yang deras mencipta efek dramatis ketika kamu berfoto di sekitar rumah api ini.
Eksplorasi pula ke Wilayah Margaret River kerana ada sesuatu yang menakjubkan di bawah tanah. Lebih daripada 100 batu kapur yang sangat unik terletak di bawah permukaan Leeuwin-Naturaliste Ridge di dalam Lake Cave, Jewel Cave, Mammoth Cave dan Ngilgi Cave. Empat gua yang luar biasa ini terbuka kepada orang ramai sepanjang tahun.
13. Wonky Windmill Farm & Eco Park
Bermain bersama haiwan ternakan ladang yang sihat dan jinak boleh membawa kegirangan berbeza bersama anak-anak dan teman. Terdapat anak biri-biri, kuda, llama, rusa, kambing, arnab, burung unta, kanggaru dan banyak lagi untuk kamu bermesra bersama. Setiap pengunjung bakal menerima beg berisi makanan haiwan untuk disuapkan secara percuma. Antara aktiviti lain yang disediakan di sini ialah berehat di ladang, memetik buah-buahan bermusim dan membeli-belah produk tempatan seperti jem dan makanan berasaskan buah yang enak hasil dari ladang ini.
14. Underwater Observatory Di Busselton Jetty
Terokai satu daripada enam balai cerap di bawah laut di Jeti Busselton. Tempat pemerhati bawah laut ini memberi pemandangan 360 darjah untuk kamu selami bersama hidupan lautan Hindi di sini. Apabila kamu dibawa turun 8 meter di bawah lautan, kamu akan mengetahui keajaiban semula jadi yang ada di bawah jeti di mana terletaknya terumbu buatan manusia terbesar di Australia.
Temui lebih daripada 300 spesies marin di habitat semulajadi mereka melalui sebelas tingkap tontonan di pelbagai peringkat dalam ruang pemerhatian berdiameter 9.5 meter. Terdapat enam daripada sepuluh tangga di dalam balai cerap dan ada juga lif yang membolehkan akses untuk golongan kelainan upaya.
15. MURRAY STREET
Lorong-lorong seni mural di kawasan Central Business District (CBD) Perth ini terkenal bagi pelancong millennial yang menginap di kawasan sekitar bandar. Seni-seni dinding di sini menggunakan warna-warna yang kontra selain corak haiwan, manusia dan elemen-elemen seni yang baik untuk dibuat foto ootd juga sebagai gambar-gambar seni untuk memasuki pertandingan fotografi. Pasti juara!
16. Blue Boatshed
Dibina pada 1930-an, daripada rumah ke bot berlindung, ia telah berubah pemilik beberapa kali, serta menjalani pelbagai pembaikan dan pengubahsuaian sejak beberapa dekad selepas ribut dan banjir. Ia dipulihkan pada 2004 dan menjadi tarikan pelancong. Rumah bot biru ini wajib diabadikan ke dalam karpet Instagram kamu dan carilah sudut terbaik dan unik berlatarkan Blue Boatshed ini. Rumah bot ini terletak di tepi Jalan Mounts Bay dan kamu boleh ke sini menaiki pengangkutan awam seperti Uber atau bas bernombor 950 dari Elizabeth Quay berhampiran Perth CBD menuju ke Mounts Bay Road.
Apa pandangan anda?