Posted on April 16, 2019
Langit terang nilakandi di Bangkok, dengan hangatnya lagi yang menghalau angin tempoh hari tidak menggencat semangat kami untuk bertemasya bersama Samsung. Bayangkan, pusat konvensyen Impact Arena di Muong Thong Thani jadi gegak-gempita ruang acaranya dibanjiri ratusan manusia, lantainya bukan sahaja mempertemukan barisan media segenap dunia malah sekumpulan besar Blinks serta insan-insan terpenting. Disaingi lagi gelombang pancaran cahaya neon dan muzik tidak putus-putus berkumandang mengujakan suasana.
Dalam lebih kurang 30 representasi dari Malaysia – media, influencers dan termasuklah selebriti – yang diundang untuk menyemarakkan pengalaman Samsung Unpacked A Galaxy Event dan kami, STAIL.MY antara yang bertuah. Sebaik sahaja satu arena dihidangkan penyampaian lanjut dan teliti tentang model terbaru Samsung rangkaian Galaxy, whoa, serasa menghidupkan suasana konvesyen sebenar! Apatah lagi konvensyen terbesar sebegini pertama kali dianjurkan di Bangkok.
Unpacked A Galaxy Event bertambah rancak lagi pabila kumpulan Blackpink membuat kemunculan sebelum berakhirnya acara yang menggegarkan lagi malam itu. Blackpink selaku wajah rasmi juga jurucakap untuk rangkaian Galaxy daripada Samsung, menyanyikan dua lagu yakni Du Du Du dan hit terbaru Kill This Love. Sehinggakan gema arena ‘dipadati’ siulan semua yang hadir melaungkan suara mengikut nyanyi Blackpink.
SAMSUNG GALAXY A80 – TERCIPTA UNTUK BUDAYA LIVE
Siapa jangka, interaksi secara langsung kita menerusi Instagram Live, Facebook Live, Twitch TV dan tidak ketinggalan juga budaya Podcast bisa dijadikan teras yang mencorakkan permintaan teknologi masa kini. Sebagai pengeluar elektronik terunggul dunia, Samsung akur dengan peredaran kemajuan pasca-moden tersebut, lalu mempengaruhi daya inovasinya. Mengerat teguh falsafah ‘Built for the Era of Live’, Samsung memperkenalkan tambahan baharu buat keluarga siri ‘Galaxy’ yakni Galaxy A80!
Semuanya tercetus daripada bagaimana perspektif Samsung terhadap menghargai nilai perhubungan dan mementingkan gaya hidup digital konsumer. Paradigma Samsung beranjak daripada ‘era of the selfie’ kepada ‘era of live’. Samsung mengamati hal-hal seperti peningkatan bilangan manusia zaman sekarang yang bukan sahaja asyik dengan kebolehan telefon pintar, namun subbudaya yang terbentuk di sebalik kemudahan sosial media.
Interaksi secara langsung – yang menaruh cinta manusia terhadap menangkap gambar-gambar spontan, strim video dan tidak segan berkongsi pengalaman, malah merencanakan jurnal perjalanan berupa live – yang menyemai hubungan jujur dan menyingkir aspek-aspek tersirat mengilhami Samsung Galaxy A80.
Daripada situ, Samsung Galaxy A80 tidak alang-alang dalam menampilkan inovasi. Bukan setakat skrin pamer besar, malah buat julung kalinya, mengetengahkan revolusi kamera boleh putar dan bateri pintar! Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Komunikasi Samsung, DJ Koh yang menjadi panel utama dalam menyampaikan Galaxy A80 di Impact Arena, “Kami memusatkan perhatian pada apa yang konsumer mahu dan Samsung Galaxy A80 memenuhi segala kehendak itu.”
KAMERA BOLEH PUTAR!
Itulah poin unik yang memenangkan Samsung. Setelah Samsung memperkenalkan kamera boleh putar pada Galaxy A80, riuh bertepuk tangan satu arena. Iyalah, kerana orang sekarang tidak lagi terlalu memberatkan hal-hal rumit dalam memilih telefon pintar dan apa yang menjadi keutamaan adalah kamera.
Mengapa Galaxy A80 mencipta kamera boleh putar? Kerana Galaxy A80 membenarkan kita untuk melihat dunia dalam vista yang lebih luas! Saat pengguna memilih mod swafoto pada aplikasi kamera, tiga kamera akan muncul secara automatik dari bahagian belakang badan telefon dan berputar. Mekanisme ini sama sahaja efeknya dengan triple camera experience yang berbekalkan lensa resolusi tinggi yang tidak mencacatkan kualiti.
Piksel 48MP pada kamera utama menghasilkan imej yang sangat jelas, tidak kiralah gambar pada waktu siang mahupun malam. Kamera 3D Depth Galaxy A80 menampilkan video Live Focus yang bisa mengesan serta mengukur objek-objek tertentu bagi mendapatkan hasil depth pada imejan. Yang menariknya lagi, kita tidak perlu risau dengan limitasi dalam menangkap gambar kerana lensa Galaxy A80 begitu luas bak pandangan mata kasar manusia dan tidak membatasi sudut bergambar.
Buat si gamer, blogger, vlogger dan yang gemar merakam video live pasti puas bukan kepalang dengan teknologi kamera boleh putar ini, yang bisa mencetus pengalaman luar biasa. Kerana ia menegaskan setiap butiran atau perincian, yang terdapat pada permainan video, video, foto dan juga story. Semua ini terhasil daripada New Infinity Display Galaxy A80 yang dilengkapi 6.7 inci skrin FHD+ Super AMOLED. Tidak cukup dengan itu sahaja, Galaxy A80 turut disempurnakan oleh mod video Super Steady yang mampu mengurangkan gegaran setiap kali menggunakan kamera, agar syot-syot yang diambil kelihatan ‘bersih’ dan tidak menyakitkan mata. Hebat, bukan?
Tambahan lagi, efek bunyi Dolby Atmos pada Galaxy A80 yang seakan-akan menjelmakan pengalaman 360 darjah. Bayangkan saat memainkan lagu dan mendengarnya menerusi speaker Bluetooth atau menonton filem juga siri-siri web… pasti menimbulkan rasa takjub!
BATERI TAHAN LAMA
Satu lagi hal yang sering-sering menjadi isu pengguna telefon pintar adalah bateri dan Samsung Galaxy A80 telah menemukan solusi. Galaxy A80 menampilkan 3,700mAh bateri yang membolehkan kita menggunakan telefon pada kadar masa yang lebih panjang. Super-Fast Charging pada 25W pula adalah kemudahan Galaxy A80 agar tidak memakan masa yang lama sewaktu mengecaj telefon dan menjimatkan setiap saat atau minit kita.
Dan sudah nama pun telefon pintar, Samsung Galaxy A80 menggunakan bateri pintar yang boleh mengetahui penggunaan aplikasi serta rutin harian dan membantu mengoptimumkan kadar guna.
SUASANA DI SEPANJANG UNPACKED A GALAXY EVENT
Wakil dari Malaysia, penyanyi Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Christina Ng dan Nabila Razali
Suasana meriah sewaktu Blackpink muncul di atas pentas
Blackpink mempersembahkan lagu Du Du Du dan Kill This Love
[soliloquy id=”65481″]
Apa pandangan anda?