Putri Damia

Sitting Editor: Ardi Idewani
Pakaian: UNIQLO
Gambar: Edmund Lee
Solekan: Emmy Agung
Rambut: Fendi Sani
Arahan Seni: Merrissa Emilda
Penata Gaya: Azreezal Hafidz & Ardi Idewani
Video: Jordi Harris, Ryan Mohamad & Ashura Hakim

PUTRI DAMIA, 15 – PELAJAR, PELAKON & MODEL

1- Pertama, kongsikan segalanya tentang diri kamu.

Assalamualaikum… Bismillah… Nama saya Putri Damia Tasri binti Aslah. Saya adalah anak tunggal dalam keluarga dan kini berumur 15 tahun. Masih belajar di Sekolah Islam Adni. Dalam masa sama, saya juga amat aktif dalam bidang lakonan iklan tv, filem-filem pendek, drama, pengacaraan, model pentas fesyen juga katalog. Bukan itu sahaja, saya juga aktif dalam bidang sukan seperti lumba lari, bola jaring, badminton serta lompat tinggi.

2- Bagaimana kamu boleh berkecimpung dalam dunia model? Adakah sejak kecil? Ceritakan pengalaman kamu.

Sebenarnya ibu juga seorang yang aktif dalam bidang peragaan sebelum ini. Jadi daripada situ, ibu banyak memberi galakan kepada saya untuk menyertai pelbagai jenis pertandingan. Semenjak saya masih bayi lagi. Pertandingan bayi comellah, ratu cilik, dan bermacam lagi. Alhamdulillah banyak yang menyebelahi saya dan membolehkan saya menjuarai pertandingan-pertandingan tersebut. Ibu juga ada menghantar saya ke kelas modelling sebagai persediaan untuk diri saya lebih berjaya ke peringkat yang lebih tinggi. Insha Allah.

3- Memandangkan kamu pernah berlakon, boleh kongsikan bersama kami apakah antara pencapaian lakonan kamu itu?

Ya saya pernah berlakon. Banyak juga antaranya iklan tv dan cerita pendek seperti iklan raya Petronas, iklan raya RHB Bank, Toyota The Promise. Saya pernah berlakon untuk iklan Coca Cola Ramadhan. Ketika itu di Lebanon dan umur saya baru sahaja 13 tahun. Ia satu pengalaman hebat yang tidak terkata. Walaupun umur masih muda, namun saya bersyukur dapat bekerjasama dengan tim produksi luar negara.

Manakala drama dan rancangan tv pula antaranya seperti Pustakala, Uda dan Dara, Boboi dan Kengkawan serta banyak lagi. Saya juga pernah berlakon di dalam filem Upin dan Ipin Jeng Jeng Jeng. Alhamdulillah, menerusi kerjaya ini saya mampu menjana pendapatan lumayan.

4- Bercerita tentang idola, siapakah yang memberi banyak inspirasi dalam hidup kamu?

Idola saya sudah tentu ibu saya. Hidup dan mati saya adalah untuk ibu saya.

5- Kerjaya pilihan kamu dewasa nanti?

Kerjaya utama pilihan saya adalah sudah tentu ingin berkecimpung terus dalam bidang industri hiburan tanah air. Namun dalam masa sama, pendidikan profesional juga amat penting bagi saya. Maka melanjutkan pelajaran ke peringkat paling tinggi sehingga dapat menggenggam segulung ijazah dalam bidang undang-undang adalah impian saya. Ini kerana cita-cita saya juga adalah untuk menjadi seorang peguam suatu hari nanti. Insha Allah.

6- Baiklah, mari kita beralih ke soalan seterusnya. Kamu punya sebarang bakat terpendam?

Jika kamu hendak tahu, saya ini seorang yang kreatif. Saya ini amat kreatif dalam menghasilkan apa jua bentuk kerja dan tugasan yang diberikan.

7- Lima fun facts tentang diri kamu?

Kalau menurut saya, saya ini seorang yang sangat gila-gila dan pada masa sama sangat clumsy. Saya juga seorang yang sangat penuh dengan kejutan dan boleh menjadi seorang yang sangat spontan pada satu-satu masa. Jika menurut pandangan teman baik saya, katanya saya ini seorang yang suka menggembirakan orang sekeliling, terbuka, sentiasa forgive and forget serta sukakan makanan laut walaupun saya ini punya alahan teruk!

8- Dalam usia yang muda ini, bagaimanakah kamu rasa ingin menjadikan diri kamu sebagai contoh yang baik kepada anak-anak muda di luar sana?

Jaga akhlak, itu yang paling penting. Saya dididik untuk tidak membuang masa pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Hormati orang dewasa, jauhi maksiat, jaga ketrampilan diri dan yang paling penting rajin menolong orang. Ini antara perkara-perkara penting yang saya sering amal dan terapkan dalam rutin harian saya.

9- Dan adakah kamu rasa usia muda boleh menjadi faktor penghalang untuk kamu bebas bersuara memberi pendapat?

Prinsip orang muda ini kebiasaannya akal fikiran itu ada tetapi kami kurang daripada segi pengalaman. Kesimpulannya, kami boleh beri pandangan namun pengalaman itu perlu diambil kira daripada mereka yang lebih matang. Ini pendapat peribadi saya.

10- Soalan terakhir, apakah azam 2020 kamu?

Tiada apa yang saya inginkan selain daripada ingin mencipta lebih banyak kejayaan dalam setiap apa jua yang saya pilih untuk ceburi.

What do you think?

Your email address will not be published. Required fields are marked *

No Comments Yet.

Previous
BTS Bakal Lancar Album Baru Map of the Soul: 7 Februari Ini
Putri Damia